Ibadah Korban Terlaksana, Manfaat Dirai Bersama

SERI KEMBANGAN – Sempena sambutan Aidiladha 1446 H, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) di beberapa negeri dan kawasan telah menganjurkan pelbagai program ibadah korban.

Program-program sebegini bukan sahaja menyempurnakan tuntutan syariat tetapi juga untuk menzahirkan semangat kebersamaan dan menyantuni masyarakat setempat.

Antara negeri yang mencuri perhatian ialah Kedah. Di Kuala Kedah, Yayasan Ikram Malaysia bersama Jawatankuasa Kebajikan IKRAM Alor Setar berjaya mengagihkan 100 pek daging korban kepada penduduk Kampung Tepi Pantai.

Keistimewaan program ini terletak pada keterlibatan aktif anak muda kampung dan Jawatankuasa Masjid Kuala Kedah yang berganding bahu dalam menjayakan agihan pada malam 8 Jun lalu.

Di Kubang Pasu pula, program Korban Prihatin anjuran IKRAM setempat bersama Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Padang Terap menyaksikan penyembelihan dua ekor kerbau hasil sumbangan ahli IKRAM Kubang Pasu dan Alor Setar. Yang Dipertua IKRAM Kubang Pasu, Tn Hj Rusmidin Ahmad, turut turun padang menyempurnakan sembelihan.

Sementara itu, IKRAM Alor Setar turut mengadakan program korban di Surau Asy-Syafie, Kampung Pantai Jamai dengan kerjasama Persatuan Komuniti setempat. Menariknya, pelaksanaan gotong-royong melibatkan penduduk lelaki dan wanita serta kehadiran sukarelawan dari Albukhary International University (AIU). 

Dalam masa sama, Wanita IKRAM Alor Setar menyempurnakan Program WANGI 5.0 yang menekankan nilai adab berjiran, menyuntik roh sosial dalam suasana ibadah. Acara ini turut diserikan dengan jamuan sup tulang dan rendang serta agihan rumah ke rumah oleh komuniti.

Di bandar raya bersejarah, IKRAM Bandaraya Melaka bersama YADIM dan KRT Jalan Panjang Selatan telah melaksanakan ibadah korban dengan penyembelihan empat ekor lembu dan dua ekor kambing. 

Selain agihan kepada penduduk sekitar Bandar Hilir dan PPR Krubong, majlis tahlil, doa selamat dan sumbangan Bakul Rahmah turut diadakan. Menu istimewa asam pedas tetel dan kari kambing memeriahkan jamuan selepas Asar. Program ini juga mendapat kerjasama daripada Bomba dan pelbagai sukarelawan.

Tidak kurang meriah, pelaksanaan korban oleh IKRAM Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak, Titiwangsa, Setiawangsa, Wangsa Maju dan Batu melalui inisiatif i-Qurban 2025 telah berjaya menyembelih enam ekor lembu dengan jumlah agihan mencecah 504 kg daging. 

Agihan dibuat kepada komuniti berpendapatan rendah seperti Flat Sri Johor, PPR Hiliran Ampang dan Flat Taman Melati, hasil kerjasama erat dengan jawatankuasa penduduk dan surau tempatan.

Sementara itu, IKRAM Hulu Selangor menjalankan ibadah korban di empat lokasi iaitu Dewan Suria Felda Sg Tengi Selatan, Kg Orang Asli Serigala di Sg Selisik, Kg Jelutong Tambahan di Ulu Bernam dan Taman Telipot, Bukit Beruntung.

Sebanyak tujuh ekor lembu dan seekor kambing telah dikorbankan dan diagihkan kepada golongan fakir miskin serta penduduk kampung dan taman sekitar. Program ini merupakan hasil kerjasama erat antara IKRAM Hulu Selangor, Jawatankuasa Pembangunan dan Pengurusan Komuniti (JPPK) Sg Tengi serta JK Surau Kg Orang Asli Serigala.

Merentas Laut China Selatan di Sabah, IKRAM Kota Kinabalu dengan kerjasama Surau Kampung Lapai, Tenghilan pula menyaksikan penglibatan 56 orang dalam penyembelihan dua ekor lembu.

Timbalan Yang Dipertua IKRAM Kota Kinabalu, Dr Ashrul Affiq menyampaikan harapan untuk memperluas jaringan kerjasama masa hadapan dan mengukuhkan pembangunan komuniti luar bandar di Sabah.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan ibadah korban oleh IKRAM di seluruh negara tahun ini menampakkan sinergi yang baik antara pertubuhan, masyarakat setempat dan pelbagai lapisan sukarelawan.

Aidiladha mengajar kita bahawa nilai sebenar korban bukan hanya pada daging yang disembelih, tetapi pada takwa, kepedulian dan persaudaraan yang disemai.

Semoga segala usaha yang dilaksanakan ini diterima sebagai amal soleh dan menjadi pemangkin kepada masyarakat yang lebih berjiwa besar serta berjiwa rakyat.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia