IPOH – IKRAM Negeri Perak telah meraikan 20 orang pelajar yang cemerlang SPM dan STAM 2024 bersama ibu bapa mereka dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Kecemerlangan pada Ahad lalu.
Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Presiden IKRAM, Jusni Yusoff dan disaksikan Yang Dipertua IKRAM Perak, Hj Abdul Jalil Abdullah dalam majlis yang diadakan di Surau Hassan al-Banna, Pusat Pendidikan Al-Hidayah di sini.
Jusni mengucapkan tahniah atas kecemerlangan semua pelajar tersebut dan menekankan bahawa kejayaan itu bukan semata-mata hasil usaha individu.
Ujarnya, ia adalah anugerah Allah SWT, hasil sokongan dan doa ibu bapa, guru serta seluruh komuniti, bahkan kejayaan itu wajar disyukuri dengan sikap merendah diri dan terus berusaha.
Jelas beliau, di samping kecemerlangan akademik, anak-anak ini juga perlu menjadi orang yang baik, bermula dengan membina kefahaman yang betul terhadap agama, seterusnya menjadi insan yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara.
Beliau optimis program sebegini memberi semangat dan harapan baru bahawa IKRAM bukan sekadar sebuah organisasi, tetapi sebuah keluarga besar yang menghargai, menyantuni dan mendidik generasi pewaris umat.
Majlis penyampaian sumbangan ini dianjurkan dengan koordinasi Jawatankuasa Kebajikan Ahli IKRAM Perak sebagai tanda sokongan moral dan pengiktirafan terhadap usaha gigih pelajar serta peranan besar ibu bapa dan keluarga.