KUALA LUMPUR – Khabar gembira buat pencinta buku dan pendukung perjuangan rakyat Palestin! Novel “Antara Duri dan Bunga Cengkih”, karya agung Asy-Syahid Yahya Sinwar yang menyentuh dan menggugah jiwa, kini boleh didapati secara eksklusif di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.
Orang ramai yang hadir ke pesta buku ini boleh mendapatkan naskhah istimewa tersebut di Hikayat Fandom yang terletak di Tingkat 2, reruai bernombor A-4-03 bersebelahan Bilik Mawar. Para pengunjung digalakkan untuk segera mendapatkannya sementara stok masih tersedia.
Novel “Antara Duri dan Bunga Cengkih” merupakan karya separa autobiografi yang ditulis oleh Yahya Sinwar semasa beliau dipenjarakan dalam penjara Israel. Penulisan ini menyingkap perjalanan hidup sebuah keluarga Palestin yang tinggal di kem pelarian al-Shati, Gaza selepas pengusiran besar-besaran pada tahun 1948.
Cerita ini dikisahkan menerusi sudut pandang Ahmed, cucu bongsu dalam keluarga tersebut dan merangkumi zaman dari selepas Perang Arab-Israel 1967 hingga awal tahun 2000-an.
Setiap ahli keluarga yang dinukilkan menggambarkan perbezaan ideologi dan pendekatan mereka dalam perjuangan masing-masing. Si anak sulung menyertai gerakan Fatah manakala adik-adiknya memilih jalan perjuangan Islam.
Kisah ini memaparkan realiti kehidupan di bawah penjajahan, termasuk penderitaan akibat penahanan tanpa bicara, seksaan dalam penjara, tekanan psikologi serta strategi halus rejim Israel dalam memecahbelahkan rakyat Palestin melalui dadah, perpecahan ideologi dan sogokan kewangan.
Pemilihan judul “Antara Duri dan Bunga Cengkih” sendiri membawa simbolisme yang mendalam. Duri melambangkan penderitaan, penindasan dan perjuangan berdarah yang dilalui rakyat Palestin, manakala bunga cengkih melambangkan harapan, semangat perjuangan dan keindahan yang masih wujud walaupun dalam kesengsaraan.
Novel ini mengangkat tema perjuangan antara generasi, ketabahan dan pengorbanan, taktik peperangan psikologi oleh rejim Zionis, serta pencarian nilai-nilai kemanusiaan walaupun dalam suasana penindasan yang amat berat.
Majlis pelancaran rasmi novel ini telah berlangsung pada pagi tadi, Isnin bertempat di Pentas Dunia Buku, Aras 4, Dewan Merdeka. Pengunjung yang hadir berpeluang mendapat tandatangan penterjemah buku, Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria yang merupakan Timbalan YDP IKRAM Putrajaya.
Menurut Ustaz Tajul Arifin, naskhah ini bukan sekadar sebuah kisah biasa. Ia adalah suara dari Gaza, darah para syuhada dan harapan umat yang tidak pernah mati.
“Biarlah tinta ini ‘menjeritkan’ kebenaran pada saat luka rakyat Gaza tidak lagi mampu berbicara,” ujar beliau.
Novel ini diterbitkan hasil kerjasama antara Aqsa Syarif dan Risalah Harmoni Sdn. Bhd. Ia diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu agar masyarakat Malaysia khususnya dapat menghargai sejarah, perjuangan dan emosi yang mengiringi peristiwa-peristiwa besar di bumi Palestin.
Naskhah ini bukan sekadar karya fiksyen, tetapi merupakan catatan perjuangan sebenar yang menggambarkan kesedaran politik dan semangat rakyat Palestin yang tidak pernah padam walaupun ditindas secara sistematik.
Diharapkan ia dapat membuka mata pembaca terhadap realiti yang jarang digambarkan dalam media arus perdana iaitu dari sudut pandang seorang pejuang yang hidup sendiri dalam sistem penindasan tersebut.
Novel ini pada asalnya ditulis oleh Yahya Ibrahim al-Sinwar ketika berada di dalam penjara penjajah bertahun-tahun lamanya. Beliau telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup sebelum akhirnya dibebaskan selepas perjanjian pertukaran tahanan .
Yahya telah menulis tinta ini dalam kegelapan, kemudian disalin dan diseludup oleh para tahanan dengan penuh risiko demi memastikan karya ini sampai kepada masyarakat luar. Ia kini hadir sebagai satu karya yang bukan sahaja menyentuh, tetapi menggetarkan hati.
Pengunjung yang ingin memiliki novel ini boleh terus ke reruai Hikayat Fandom di PBAKL 2025, atau membelinya secara dalam talian menerusi laman rasmi Risalah Harmoni di pautan ini. Sebarang pertanyaan atau pembelian secara borong boleh dibuat melalui talian 017-6334712.
Novel “Antara Duri dan Bunga Cengkih” bukan sekadar bacaan. Ia adalah amanah sejarah, ia adalah suara rakyat yang ditindas dan ia adalah seruan yang menuntut untuk didengari.