Perhimpunan Nakba 77: “Palestin Akan Bebas!”

KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat telah berhimpun dalam satu perarakan aman bagi memperingati ulang tahun ke-77 Peristiwa Nakba, iaitu tragedi pengusiran besar-besaran rakyat Palestin dari tanah air mereka yang bermula pada 1948. 

Perhimpunan yang berlangsung pada petang Jumaat, 16 Mei lalu membawa tema “Berdiri Untuk Keadilan,” dengan perarakan bermula dari Bangunan Tabung Haji ke Suruhanjaya Tinggi United Kingdom dan berakhir di Kedutaan Amerika Syarikat.

Salah satu detik penting perhimpunan ini ialah penyerahan memorandum peringatan Hari Nakba oleh Pengerusi Gerakan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia, Profesor Emeritus Dr. Mohd Nazari Ismail kepada Kaunselor Politik United Kingdom di Malaysia di Menara Binjai.

Dalam ucapannya selaku wakil penganjur, Profesor Nazari menyampaikan kebimbangan serius terhadap penglibatan kuasa besar dalam menyokong kekejaman ke atas rakyat Palestin melalui pembekalan senjata kepada rejim Israel. 

Beliau mendedahkan bahawa pihak kedutaan memberikan alasan terikat dengan lesen kontrak untuk terus membekalkan senjata, walaupun senjata itu digunakan dalam serangan yang membunuh ribuan wanita dan kanak-kanak tidak berdosa.

“Alasan ini tidak boleh diterima. Wanita dan anak-anak sedang dibunuh dan mereka masih berdalih tentang lesen? Ini bukan sahaja ketidakpekaan moral, malah membuktikan persekongkolan mereka dengan kezaliman yang berlaku di bumi Palestin,” ujar beliau.

Profesor Nazari dengan tegas menyeru rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk tidak berdiam diri. Beliau menyatakan bahawa kecaman awam terhadap kekejaman ini mesti diteruskan tanpa kompromi sehingga kerajaan-kerajaan yang bersekongkol berhenti menyokong penindasan di Palestin.

“Sekarang ini, rakyat Palestin semakin kuat dalam semangat dan perjuangan mereka. Kita tidak boleh membiarkan mereka berjuang sendirian. Kita mesti menjadi kekuatan di belakang mereka, menyokong mereka dengan segala kemampuan yang kita ada,” ujar beliau.

Antara usaha paling asas dan minimum yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia, katanya, adalah dengan memboikot produk yang berkaitan dengan syarikat-syarikat yang menyokong atau mendapat manfaat daripada pendudukan haram Israel.

“Boikot bukan sekadar tindakan ekonomi, ia adalah pernyataan moral dan solidariti kita terhadap mereka yang dizalimi,” tegasnya.

Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Haji Badlishah Sham Baharin dalam ucapannya di hadapan peserta perhimpunan, menegaskan bahawa peringatan terhadap Nakba bukan sekadar mengenang sejarah silam, tetapi satu seruan untuk bertindak dalam memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan sejagat. Ia adalah panggilan nurani untuk membela maruah kemanusiaan yang terus diinjak-injak.

“Hari ini, kita berkumpul untuk mengenang salah satu tragedi kemanusiaan terbesar dalam sejarah moden, iaitu Peristiwa Nakba 1948,” ujar beliau di hadapan para peserta perhimpunan. 

“Nakba bukan sekadar sejarah tetapi ia adalah luka yang masih berdarah hingga ke hari ini. Peristiwa ini bukan sekadar konflik politik, malah merupakan usaha jahat untuk menghapuskan identiti, budaya dan hak sebuah bangsa.”

Presiden IKRAM turut mengingatkan bahawa lebih 750,000 rakyat Palestin telah diusir dari tanah mereka sejak 1948 dan sehingga hari ini, jutaan pelarian Palestin masih tidak dapat kembali ke tanah asal mereka walaupun hak tersebut dijamin oleh undang-undang antarabangsa.

Badlishah Sham turut mengecam kezaliman rejim Israel yang secara terang-terangan mengamalkan dasar penindasan dan diskriminasi sistematik terhadap rakyat Palestin.

Beliau mengalu-alukan langkah Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

“Netanyahu adalah Adolf Hitler moden abad ke-21, manakala Yoav Gallant tidak ubah seperti Adolf Eichmann iaitu pelaksana genosid yang turut dihukum gantung kerana jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya dengan tegas.

Badlishah Sham menyarankan agar rakyat Malaysia memikul tanggungjawab kemanusiaan dengan memperkukuh suara solidariti, menyebarkan maklumat yang benar dan mendesak tindakan ke atas kezaliman.

Beliau turut menyeru masyarakat agar memainkan peranan aktif dalam perjuangan ini melalui tiga tindakan utama:

  1. Menyebarkan kesedaran mengenai sejarah Nakba dan penindasan sistematik oleh rejim Zionis.
  2. Menuntut keadilan melalui tekanan politik, kempen boikot (BDS) dan usaha diplomasi.
  3. Menerangkan bahawa isu Palestin adalah isu kemanusiaan sejagat, bukan hanya konflik agama atau etnik.

Perarakan ini disertai dengan laungan solidariti, kibaran bendera Palestin, serta pelbagai poster yang membawa mesej kecaman terhadap kezaliman Israel dan desakan agar dunia menghentikan genosid di Gaza.

Peserta perhimpunan turut menuntut agar kerajaan Malaysia dan masyarakat antarabangsa lebih lantang bersuara dan bertindak tegas terhadap jenayah yang dilakukan oleh Israel.

“Jangan kita berdiam diri! Suara kita adalah senjata yang ampuh! Bersama kita tuntut keadilan! Bersama kita perjuangkan kebebasan Palestin!” seru Badlishah Sham.

Perhimpunan yang berakhir sekitar jam 5.00 petang itu berjalan dalam keadaan aman dengan kawalan keselamatan yang teratur.

Ia turut disertai oleh lebih 30 NGO, termasuk tokoh masyarakat, mahasiswa dan rakyat prihatin dari seluruh negara yang membawa aspirasi sejagat untuk melihat bumi Palestin bebas daripada penjajahan.

77 tahun telah berlalu sejak Nakba, namun semangat perjuangan masih menyala. Malaysia terus berdiri teguh bersama Palestin.

Palestin akan bebas!

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia