KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pendidikan Masyarakat, Pertubuhan IKRAM Malaysia buat julung kalinya telah menganjurkan Kuliah #AISAR (Asas Islam Rahmah) di Masjid Ibn Khaldun, Pekan Sungai Besi di sini pada Khamis lalu.
Antara objektif Kuliah Asas Islam Rahmah ini adalah untuk berusaha mendidik masyarakat ke arah Islam yang wasatiy, cemerlang dan syumul.
Kuliah Maghrib tersebut disampaikan oleh Naib Presiden IKRAM, Ustaz Hj. Burhanuddin Lukman, salah seorang tokoh pendakwah di Malaysia dan bekas pensyarah UIAM, yang juga lulusan sarjana Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Al-Bayt, Jordan.
Menurut Ketua Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM, Dr Hj Mohd Faridz Ismail, kuliah ini akan diadakan secara bulanan pada hari Khamis setiap minggu keempat bermula selepas solat Maghrib sehingga masuk waktu solat Isyak.
“Buku AISAR digunakan sebagai bahan rujukan dalam mengupas apakah itu komponen-komponen Asas Islam Rahmah,” jelas beliau.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Masyarakat IKRAM, Sdr. Mohd Hafiz Abd. Hamid bersama kakitangan IKRAM yang mengambil peluang berkenalan dan bergaul dengan Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid serta para jamaah yang hadir.
Bagi pihak IKR AM, Mohd Hafiz merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi dan Ketua Imam Masjid Ibn. Khaldun, Ustaz Abdul Halim Abdullah serta kepimpinan masjid yang memberikan kebenaran kepada IKRAM untuk mengadakan Kuliah AISAR.
Menariknya, Kuliah AISAR ini juga boleh ditonton secara langsung (live) di media sosial TV IKRAM iaitu di saluran Facebook, YouTube dan TikTok.