Palestin: Ramadan Ini, Apa Peranan Kita Membelanya?

Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan saban tahun bagi mendidik jiwa yang bertakwa. Namun, di sebalik keghairahan menyambut Ramadan, kita tidak boleh memandang enteng penderitaan saudara seagama di Palestin.

Mereka berpuasa dalam keadaan serba kekurangan, sedangkan kita di sini menikmati juadah berbuka puasa dengan aman dan selesa. Justeru, jika Ramadan benar-benar mendidik diri menjadi insan bertakwa, apakah sumbangan kita terhadap saudara kita yang tertindas? 

Isu Palestin: Tragedi berterusan yang menuntut kesedaran 

Dunia terus menyaksikan bagaimana bumi Palestin menjadi saksi kekejaman rejim Zionis. Serangan ke atas Gaza masih tiada kesudahan.

Angka korban meningkat setiap hari. Data daripada laporan media Al-Jazeera dan British Broadcasting Corporation (BBC) menunjukkan sejak Oktober 2023, lebih 47,583 telah terkorban, majoritinya wanita dan kanak-kanak, manakala ratusan ribu pula mengalami kecederaan parah dan kehilangan tempat tinggal sehingga terpaksa berlindung di kem-kem pelarian yang serba daif. 

Hospital-hospital pula musnah akibat serangan udara, menyebabkan sistem kesihatan lumpuh sepenuhnya. Para doktor dan petugas perubatan terpaksa merawat pesakit dalam keadaan serba kekurangan tanpa bekalan ubat-ubatan, alat perubatan mahupun bekalan elektrik yang stabil.

Sekolah-sekolah yang dahulunya menjadi tempat menimba ilmu kini hanya tinggal sisa runtuhan sahaja. Malah, dalam keadaan yang semakin memburuk, dengan bekalan makanan dan air bersih pula semakin terhad, sekatan bantuan kemanusiaan menjadikannya lebih kritikal.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, rakyat Palestin bukan sahaja kehilangan tanah air, malah hak asasi mereka juga terus dinafikan tanpa belas kasihan.

Pada bulan Ramadan, penderitaan mereka lebih terasa. Tiada iftar yang mewah dan tiada sahur yang mengenyangkan. Mereka hanya mengharapkan bantuan kemanusiaan semata-mata. Bagi rakyat Palestin, Ramadan merupakan ujian bertahan hidup bagi menghadapi kezaliman yang tidak berkesudahan.

Walaupun demonstrasi solidariti diadakan di pelbagai negara, bantuan yang dihulur itu pula sering kali disekat, memperlihatkan bagaimana sistem antarabangsa masih gagal dalam melindungi hak asasi mereka. 

Namun, di sebalik keperitan itu, semangat juang rakyat Palestin tetap menyala. Mereka tidak sekadar bertahan, tetapi terus melawan dengan keberanian, ilmu dan keteguhan jiwa. “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, mereka berganding bahu dalam mempertahankan tanah air biarpun berdepan kuasa besar yang menindas.

Penyair Usman Awang dalam puisinya Thaurah Palestin menggambarkan keberanian luar biasa rakyat Palestin: 

Saudaraku Rakyat Palestin 

Semangatmu lebih waja dari kereta kebal Israel 

Genggaman tanganmu lebih kuat dari bom Zionis 

Kau berikan cakrawala baru 

Puisi ini menggambarkan perjuangan rakyat Palestin tidak sekadar mempertahankan tanah air, tetapi juga maruah dan hak mereka sebagai manusia.

Dalam setiap batu yang dilemparkan oleh anak-anak muda Palestin, dalam setiap lafaz doa yang dipanjatkan oleh ibu-ibu mereka, dan dalam setiap seruan takbir yang bergema di lorong-lorong sempit Gaza, tersemat satu tekad yang tidak mungkin dipadamkan iaitu kebebasan untuk Palestin. 

Dunia boleh terus berpura-pura buta, tetapi sejarah tidak sesekali melupakan kezaliman yang sedang berlaku. Rakyat Palestin akan terus berjuang kerana bagi mereka, kemerdekaan bukan sekadar impian, tetapi satu kepastian yang akan tiba kelak. 

Solusi: Apa peranan kita? 

Dalam konteks ini, ada beberapa langkah yang boleh diambil bagi menyokong perjuangan mereka secara realistik dan berterusan: 

Pertama, sokongan ekonomi melalui boikot dan infak. 

Kempen boikot produk mempunyai impak besar terhadap ekonomi Zionis. Kajian menunjukkan boikot yang dijalankan secara konsisten menyebabkan beberapa syarikat mengalami kejatuhan keuntungan yang drastik.

Pada masa sama, infak kepada tabung-tabung bantuan Palestin seperti MyCARE dan MERCY Malaysia sangat penting bagi memastikan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan. 

Kedua, doa dan solidariti berterusan

Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Perumpamaan orang-orang beriman dalam kasih sayang, rahmat dan kelembutan mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh berasa sakit, maka seluruh tubuh akan turut berasa sakit dengan demam dan tidak dapat tidur.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim

Hadis ini memberi peringatan bahawa penderitaan rakyat Palestin bukan sekadar isu politik atau kemanusiaan, tetapi ujian keimanan bagi kita semua. Jika kita benar-benar menghayati nilai persaudaraan Islam, kita tidak boleh bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Sebaliknya, kita harus merasakan kesakitan mereka seolah-olah menimpa diri sendiri dan cuba membantu dengan segala daya yang ada, sama ada melalui doa, sokongan moral, bantuan kewangan atau usaha untuk menyebarkan kesedaran. 

Syeikh Ahmad Yassin, pengasas Harakat al-Muqawamah al-Islamiyyah (HAMAS) berkata, “Penentangan di Palestin akan berterusan sehinggalah akhirnya tanah Palestin dapat dibebaskan.”

Kata-kata ini menjadi bukti bahawa perjuangan rakyat Palestin bukan sekadar perjuangan biasa, tetapi perjuangan menuntut tanah air mereka dikembalikan kepada yang berhak. Sejarah menyaksikan bahawa penjajahan tidak kekal selamanya, dan dengan izin Allah SWT, keadilan pasti akan ditegakkan. 

Ketiga, penggunaan media sosial sebagai alat dakwah.  

Dalam era digital hari ini, platform seperti Facebook, Instagram dan sebagainya boleh dijadikan medium menyebarkan fakta sahih mengenai Palestin.

Ramai terpengaruh dengan propaganda Barat yang sering memutarbelitkan fakta mengenai konflik ini. Oleh Itu, kita boleh memainkan peranan dengan berkongsi artikel, video dan infografik yang menjelaskan realiti sebenar di luar sana. 

Keempat, memperkukuh solidariti ummah di peringkat global.

Isu Palestin bukan hanya tanggungjawab rakyat Palestin semata-mata, tetapi satu perjuangan yang perlu didukung oleh seluruh umat Islam dan masyarakat yang cintakan keadilan. Negara-negara Islam seharusnya proaktif dalam menekan kuasa besar yang menyokong penindasan rakyat Palestin.

Pertubuhan seperti Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Liga Arab perlu memainkan peranan tegas dalam menyalurkan bantuan, mengetengahkan isu di peringkat antarabangsa dan memastikan hak rakyat Palestin dipertahankan di forum-forum global. 

Selain itu, kesatuan dalam kalangan masyarakat Islam seantero dunia perlu lebih diperkukuh lagi. Hal ini demikian kerana perpecahan dunia Islam sering menjadi faktor mengapa perjuangan Palestin tidak mendapat sokongan yang maksimum.

Sejarah membuktikan bahawa apabila umat Islam bersatu, mereka mampu membawa perubahan besar. Oleh itu, sebagai individu, kita perlu menyemai semangat persaudaraan dan memastikan isu Palestin tidak dilupakan dalam perjuangan ummah sepanjang masa. 

Kesimpulan 

Ramadan merupakan waktu terbaik untuk kita membina takwa dalam diri masing-masing. Umumnya, kepedulian terhadap saudara-saudara kita di Palestin merupakan sebahagian daripada manifestasi takwa yang sebenar.

Bahkan, Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga bulan memperjuangkan keadilan, menzahirkan solidariti dan membina masyarakat yang lebih prihatin. Dengan membangunkan jiwa takwa, kita mampu mengubah dunia ke arah yang lebih baik. 

Semoga Ramadan kali ini menjadi detik kebangkitan buat kita semua, bukan sekadar diri sendiri, tetapi juga untuk saudara-saudara kita di Palestin.

Marilah kita mengambil peluang dalam bulan penuh keberkatan ini untuk merenung, bertindak dan berdoa agar dunia menjadi tempat yang lebih aman dan adil buat kita semua. 

Norhafiza Ramli
Suri Rumah
Pemenang Ketiga Pertandingan Artikel Ramadan 1446 H

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia