Sejarah Kaabah: Simbol Tauhid dan Inspirasi Keimanan

Sejarah Kaabah: Simbol Tauhid dan Inspirasi Keimanan | IKRAM

Kaabah merupakan pusat ibadah yang pertama dibina serta menjadi simbol tauhid umat Islam sejak zaman Nabi Adam alaihissalam.

Setelah beberapa generasi, Kaabah mengalami kerosakan akibat perubahan zaman dan banjir besar pada zaman Nabi Nuh a.s. Kemudian ia dibina semula oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. bagi menzahirkan ketaatan mutlak kepada Allah SWT.

Proses pembinaan semula tidak hanya merangkumi  struktur fizikal tetapi juga menghidupkan ajaran tauhid dan ibadah kepada Allah SWT.

Kisah pengorbanan tanpa syarat 

Sejarah Kaabah tidak lengkap tanpa kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan isterinya Saidatina Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. di lembah Makkah yang tidak ada tumbuhan, air dan kehidupan.

Nabi Ibrahim a.s. menerima perintah Allah SWT dengan hati yang penuh keimanan, walaupun berat untuk meninggalkan keluarga tercinta. Keputusan ini adalah ujian yang amat besar bagi seorang ayah dan suami.

Ketika Saidatina Hajar bertanya kepada suaminya, “Adakah ini perintah Allah?” dan mendapat jawapan ya, beliau menjawab, “Jika begitu, Allah tidak akan mensia-siakan kami.

Tanpa ragu, beliau menyerahkan sepenuh diri dan kehidupan mereka kepada Allah SWT.  Saidatina Hajar menunjukkan pengorbanan luar biasa sebagai seorang isteri dan ibu. Beliau tidak mempertikaikan keputusan Nabi Ibrahim a.s, tetapi menerima dengan penuh keimanan kepada Allah SWT.

Ketika anaknya Nabi Ismail a.s. mula menangis kelaparan, Saidatina Hajar tidak hanya duduk berserah mengharapkan pertolongan Allah SWT semata-mata, malah beliau berusaha dengan sepenuh tenaga mencari jalan untuk menyelamatkan anaknya.

Saidatina Hajar berlari-lari antara bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali dengan penuh harapan agar ditemukan air atau bantuan.

Ketika itu, Allah SWT mengurniakan pertolongan dengan memancarkan air dari tanah akibat hentakan kaki Nabi Ismail a.s. yang sedang menangis. Air tersebut dikenali sebagai air Zamzam. Ia menjadi contoh dalam menghadapi ujian dengan usaha, doa dan tawakal kepada Allah SWT. 

Pembinaan Kaabah: Misi bersejarah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail

Proses pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim a.s. bersama anaknya Nabi Ismail a.s. bermula dengan membangunkan dinding Kaabah di atas tapak yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Nabi Ibrahim a.s. mengangkat batu-batu besar dan Nabi Ismail a.s. menyusun dan membantunya. Ketika mereka sedang membina, Nabi Ibrahim a.s. berdiri di atas sebuah batu sebagai sokongan untuk mencapai tempat yang lebih tinggi. Batu tersebut dikenali sebagai Maqam Ibrahim yang kini menjadi salah satu tanda bersejarah berhampiran Kaabah. 

Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. merupakan pengorbanan besar dalam menyebarkan misi dakwah kepada umat manusia.

Dalam proses ini, kedua-duanya menunjukkan keikhlasan, ketaatan dan ketabahan yang luar biasa bagi memulakan pembinaan Kaabah di lembah tandus Makkah dengan batu-batu besar yang diangkat dan disusun secara bersama.

Semasa pembinaan berlangsung, mereka berdoa kepada Allah SWT sebagaimana dirakam dalam Surah al-Baqarah (2:127):

“Ya Tuhan kami, terimalah amal kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Doa ini menunjukkan bahawa usaha mereka bukan sekadar memenuhi perintah Allah SWT, tetapi juga sebagai amalan ibadah yang penuh keikhlasan dan harapan agar diterima oleh Allah SWT. Misi ini akhirnya menjadikan Kaabah sebagai pusat ibadah tauhid dan tempat tumpuan umat manusia hingga ke hari ini.

Kesucian Kaabah dicemari

Kaabah yang terpelihara sebagai tempat ibadah mengesakan Allah SWT mula tercemar oleh tindakan seorang pemimpin daripada suku Khuza’ah bernama Amru bin Luhai.

Pada suatu hari dia pergi ke Syam atas urusan perniagaan. Amru melihat masyarakat di sana menyembah berhala dan percaya amalan tersebut menjadikan negeri Syam maju sebagai pusat perdagangan.

Hingga seterusnya ia terpengaruh oleh amalan tersebut lalu membawa pulang berhala pertama yang dikenali sebagai ‘Hubal’ ke Makkah dan meletakkannya di dalam Kaabah. Tindakan tersebut merupakan  permulaan perubahan besar dalam tradisi keagamaan masyarakat Arab.

Kaabah mula dipenuhi dengan berhala-berhala yang disembah oleh masyarakat Arab. Kisah ini tercatat melalui hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Aku melihat Amru bin Luhai bin Qama’ah menyeret ususnya di dalam neraka.”  (Sahih Bukhari, No: 3349)

Perjuangan Rasulullah SAW membersihkan Kaabah

Setelah dilantik menjadi rasul, Nabi SAW bertekad untuk mengembalikan Kaabah kepada kesuciannya dan membersihkannya daripada amalan syirik. Pada hari Fath Makkah, Rasulullah SAW telah berjaya menghapuskan berhala-berhala yang mencemari kesucian Kaabah.

Baginda mengarahkan agar semua berhala dihancurkan. Dalam hadis Sahih Bukhari daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata yang bermaksud:

Rasulullah SAW memasuki Makkah pada hari Fath Makkah dan baginda mengungkapkan kemenangan yang besar. Baginda masuk ke dalam Kaabah dan ketika berada di dalamnya, baginda mengarahkan agar berhala-berhala yang ada di Kaabah dihancurkan.” (Riwayat Bukhari, Kitab Al-Jihad, Hadis No. 4300)

Sebanyak 360 buah berhala termasuk berhala Hubal telah dimusnahkan. Kaabah telah kembali kepada kesuciannya atas perjuangan Rasulullah SAW serta para sahabat r.a. Kaabah telah membawa kisah-kisah inspirasi yang menguatkan keimanan dan tauhid. 

Pengorbanan Nabi Ibrahim a.s., Saidatina Hajar dan Nabi Ismail a.s. bersama dengan usaha Rasulullah SAW memulihkan kesucian Kaabah telah mempamerkan nilai ketaatan serta keikhlasan kepada Allah SWT.

Sebagaimana Kaabah dipelihara sebagai simbol tauhid dan penyatuan umat Islam, iman juga merupakan anugerah teragung yang perlu dipelihara dengan penuh kesungguhan. Menjaga iman memerlukan usaha berterusan melalui ibadah, doa dan keazaman menjauhi perkara-perkara yang merosakkan akidah.

Iman bukan sekadar kepercayaan tetapi juga perlu dizahirkan melalui amalan dan akhlak yang mulia. Sama seperti penjagaan Kaabah yang memerlukan usaha serta penghormatan, iman juga harus dipertahan dengan keteguhan hati dan ketaatan kepada Allah SWT.

Kaabah diuji dengan pelbagai perkara, namun ujian tersebut tidak mengurangi martabatnya sebagai simbol tauhid yang agung. Jika rumah Allah SWT yang suci ini diuji, apatah lagi manusia biasa yang serba lemah. Ujian yang dihadapi manusia adalah sebahagian daripada kasih sayang Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji?” (Surah al-Ankabut, 29:2)

Hakikatnya, ujian adalah peluang untuk mengukuhkan keimanan sepertimana Kaabah kekal sebagai lambang penyatuan umat Islam meskipun melalui pelbagai cabaran sepanjang sejarah.

Rujukan

Farid Mat Zain, Khairun Najiha Kamaruzaman (2022). Sejarah Pembinaan Kaabah Oleh Nabi Ibrahim (a.s.) Dan Nabi Ismail (a.s.). Jurnal Islam Dan Masyarakat Kontemporari © Penerbit Universiti Sultan Zainal Abidin Issn 1985-7667 • E-Issn: 2289-6325

Ibnu Hajar Al-asqalani (Edisi Terjemahan) (2017). Fathul Bari Syarah Shahih Al-Bukhari. Pustaka Azzam

Abdul Aziz Hussin  (2014).  Suatu tempat bernama Kaabah. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

 

Ustazah Hasliza Talib
Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia