Israk Mikraj merujuk kepada suatu peristiwa terpenting dan bersejarah bagi umat Islam. Ia merupakan kisah penuh bersejarah yang telah mengheret umat manusia menguji kekuatan keimanan dengan mempercayai peristiwa agung ini.
Peristiwa Israk Mikraj ini secara tidak langsung telah menjadi medan krisis keimanan dengan mempercayai perjalanan baginda Nabi dari Masjidil Haram menuju ke Masjid al-Aqsa dengan hanya satu malam yang singkat, kemudian Nabi diangkat menuju ke langit untuk bertemu Allah.
Israk membawa makna perjalanan Nabi SAW di bumi dalam masa yang sangat singkat iaitu hanya memakan masa sebahagian daripada satu malam, perjalanan Nabi bermula dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjid al-Aqsa di bumi Palestin.
Manakala Mikraj pula membawa maksud perjalanan baginda Nabi SAW dari alam dunia ke langit yang juga disebutkan sebagai ‘Sidratul Muntaha’, kemudian kembali semula ke Masjidil Haram.
Peristiwa agung ini telah dirakamkan oleh Allah Azzawajalla dalam al-Quran, menerusi Surah al-Israa’ ayat 1 yang bermaksud:
“Maha suci (Allah) yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Dari sudut penetapan tarikh peristiwa ini, para sarjana berbeza pandangan dalam menentukan tarikh bila terjadinya peristiwa ini. Menurut Imam an-Nawawi dan juga Imam Qurtubi, peristiwa ini telah berlaku setelah lima tahun baginda Nabi diangkat menjadi Rasul.
Ada juga yang menyebut peristiwa ini berlaku pada tahun di mana Allah mengangkat baginda sebagai Nabi. Pendapat ini dipilih oleh Imam al-Tabari.
Juga terdapat pandangan yang masyhur dalam kalangan kita di Malaysia, ada yang menyebut peristiwa ini berlaku pada 27 Rejab pada tahun ke-10 dari kenabian.
Walau apa pun, penentuan tarikh bukanlah perkara yang besar. Lebih daripada itu ialah hikmah sebalik peristiwa agung ini.
Peristiwa Israk Mikraj ini telah terjadi kepada baginda Nabi Muhammad SAW secara sedar dan bukan berlaku melalui mimpi. Perkara ini turut ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Qayyim dalam kitab sirahnya Zad al-Ma’ad, kata beliau:
“Ketika Rasulullah SAW kembali kepada kaumnya pada pagi hari, baginda memberitahu kepada mereka tanda-tanda kebesaran Allah yang Allah perlihatkan kepadanya. Ternyata segala pendustaan, penganiayaan dan kebengisan mereka terhadap baginda semakin keras. Mereka meminta baginda untuk menerangkan ciri-ciri Baitulmaqdis kepada mereka. Maka Allah menampakkan Baitulmaqdis dengan sangat jelas pada benak Rasulullah seolah-olah baginda melihatnya dengan mata kepalanya sendiri. Rasulullah SAW memberitahu ciri-ciri Baitulmaqdis kepada mereka sehingga mereka tidak dapat membantahnya sedikit pun. Memang faktanya sama dengan apa yang baginda katakan.”
Peristiwa agung ini telah menceritakan kepada kita bagaimana perjalanan Nabi SAW ditemani oleh Jibril AS bertemu Allah SWT menerima wahyu dengan mewajibkan solat yang pada asalnya Allah memerintahkan sebanyak 50 waktu sehari semalam.
Dan akhirnya Nabi naik turun bertemu Allah untuk diminta pengurangan sehinggalah menjadi lima waktu sahaja. Kisah perjalanan ini ada direkodkan dalam beberapa hadis yang panjang lebar riwayat Imam Bukhari dan Muslim.
Dalam peristiwa Israk Mikraj juga terdapat beberapa dakwaan amalan dan cerita palsu atau tidak benar yang seringkali berkumandang apabila tibanya tarikh Israk dan Mikraj.Â
Antaranya dakwaan yang mengatakan digalakkan berpuasa sunat pada 27 Rejab kerana pada tarikh tersebut berlakunya peristiwa tersebut.
Walhal, kita semua tahu bahawa para sarjana berbeza pendapat dalam menentukan tarikh peristiwa ini. Malah tidak ada sebarang petunjuk dari Al quran mahupun hadis berkaitan galakkan berpuasa sunat sempena Israk Mikraj.
Juga terdapat beberapa kisah palsu seperti Nabi melihat dunia seperti dalam keadaan wanita yang telah tua, kisah sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka, dan banyak lagi kisah palsu dan tidak benar disabitkan daripada peristiwa Israk Mikraj.
Hikmah terbesar yang boleh kita pelajari dalam peristiwa agung ini antaranya ialah setiap kesedihan dunia, Allah jualah tempat kita mengadu.
Hal ini kerana sebelum terjadinya Israk Mikraj ini, baginda Nabi mengalami kesedihan yang mendalam dengan beberapa peristiwa sedih seperti kehilangan isteri tercinta Nabi, Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib.
Bahkan Nabi juga pada tahun yang sama, telah dicemuh dengan hebatnya dalam usaha dakwah baginda di Thaif.
Ini memberi pengajaran kepada kita bahawa biarpun ramai orang yang ingin menghalang dakwah kita, merintih dan mengadulah pada Allah yang tidak pernah pekak daripada mendengar dan tidak pernah buta daripada melihat.
Selain itu, hikmah terbesar yang boleh kita pelajari ialah kepentingan ibadah solat fardu. Kewajipan solat melebihi kewajipan ibadah yang lain.
Hal ini kerana perintah solat diterima oleh Nabi SAW secara langsung daripada Allah sewaktu Nabi bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan. Ini membuktikan keistimewaan ibadah solat amatlah istimewa dan bermakna untuk kita sebagai hamba-Nya mentaati.
Peristiwa agung ini juga telah mengajar kita tentang kepentingan memberi salam dan sentiasa berdoa kebaikan. Hal ini kita boleh lihat dalam hadis yang menceritakan tentang perjalanan Nabi menuju ke langit, baginda Nabi tidak pernah terlepas memberi salam kepada para Rasul dan Nabi yang telah baginda temui.
Sebagai Muslim, Israk Mikraj adalah sebuah peristiwa ajaib tetapi sahih yang akan menguji keimanan kita, sama ada kita mahu yakin dan percaya dengan peristiwa ini ataupun sebaliknya kita mahu menolak dan tidak mempercayainya.
Juga sebagai Muslim, kita wajib memastikan kesahihan sesuatu penceritaan agar tidak menyebarkan cerita dan amalan palsu yang tidak ada asas dalam agama. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.
Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir JAIPs