Keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 November 2024 yang memberikan perintah pelepasan tanpa pembebasan (discharge not amounting to acquittal) kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia.
Keputusan ini melibatkan enam tuduhan pecah amanah yang berkaitan dengan dana International Petroleum Investment Company (IPIC). Keadaan ini menjadi membingungkan apabila keputusan tersebut dibuat atas alasan kegagalan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan perbicaraan kepada pasukan pembelaan.
Hal ini menimbulkan pelbagai persoalan mengenai integriti sistem perundangan negara dan kredibiliti serta kecekapan pihak pendakwaan dalam mengendalikan kes-kes berprofil tinggi seperti ini.
Kegagalan pihak pendakwaan untuk menyerahkan ratusan dokumen yang relevan amat mengecewakan kerana tuduhan terhadap kedua-dua individu ini telah dikemukakan sejak tahun 2018.
Tempoh enam tahun yang berlalu sepatutnya memberikan masa yang mencukupi untuk pihak pendakwaan mempersiapkan dokumen dan bukti yang diperlukan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Sebaliknya, kelemahan ini memberikan gambaran bahawa pihak pendakwaan tidak serius dalam membawa kes ini ke muka pengadilan. Lebih membimbangkan, ia membuka ruang kepada persepsi bahawa mungkin wujud campur tangan politik yang mempengaruhi perjalanan kes ini.
Dalam konteks Malaysia, yang mana masyarakat semakin peka terhadap isu integriti dan ketelusan, persepsi sebegini boleh merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman.
Isu ini menjadi lebih kontroversi apabila ia dibandingkan dengan kes-kes lain yang serupa. Misalnya, pada 4 September 2023, YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, turut diberikan pelepasan tanpa pembebasan daripada 47 pertuduhan jenayah melibatkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi.
Dalam kes tersebut, Jabatan Peguam Negara sendiri memohon untuk menggugurkan kesemua pertuduhan, satu tindakan yang turut mencetuskan kritikan hebat.
Apabila kes-kes seperti ini berulang dalam tempoh yang singkat, ia mencerminkan kelemahan mendalam dalam sistem perundangan dan tadbir urus negara. Lebih buruk lagi, ia memberi isyarat kepada masyarakat bahawa keadilan tidak ditegakkan secara konsisten terutama apabila melibatkan individu berprofil tinggi.
Keputusan pelepasan tanpa pembebasan ini bukan sahaja mencalarkan imej sistem perundangan negara tetapi turut membawa implikasi yang lebih luas kepada masyarakat dan negara.
Pertama, ia merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman. Apabila rakyat melihat kelemahan dalam pengendalian kes-kes berprofil tinggi, mereka cenderung untuk mempercayai bahawa undang-undang tidak ditegakkan secara saksama.
Kedua, ia menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa. Negara yang gagal menunjukkan ketegasan dalam memerangi rasuah dan menegakkan tadbir urus yang baik akan dilihat lemah dalam mengekalkan integriti sistem pentadbiran.
Ketiga, keputusan sebegini juga boleh memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara. Keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan ketelusan sistem undang-undang adalah faktor penting dalam menarik pelaburan asing. Apabila keyakinan ini tergugat, peluang untuk meningkatkan daya saing ekonomi negara turut terjejas.
Dalam konteks ini, desakan untuk melaksanakan reformasi institusi menjadi semakin meningkat.
Mewakili IKRAM, saya bersama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia berkenaan Integriti, Governans dan Anti-Rasuah (KRPPM-IGAR) turut berbincang bersama dan prihatin mengenai status kemajuan pelaksanaan reformasi institusi oleh kerajaan, lebih-lebih lagi berkaitan dengan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Pemisahan ini penting bagi memastikan bahawa fungsi pendakwaan dan nasihat undang-undang tidak terpengaruh oleh kuasa eksekutif. Di negara-negara maju, pemisahan ini telah terbukti berkesan dalam meningkatkan ketelusan dan mengelakkan konflik kepentingan.
Sebagai contoh, di United Kingdom, Crown Prosecution Service (CPS) berfungsi secara bebas daripada Pejabat Peguam Negara dan ini memastikan integriti serta kebebasan dalam setiap keputusan pendakwaan.
Oleh itu, untuk mengembalikan keyakinan rakyat, kerajaan perlu mengambil beberapa langkah segera.
Pertama, reformasi struktur Pejabat Pendakwa Raya perlu dimulakan tanpa berlengah. Pemisahan ini akan memastikan bahawa keputusan pendakwaan dibuat berdasarkan bukti dan fakta tanpa pengaruh politik atau tekanan daripada mana-mana pihak.
Kedua, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak-pihak yang didapati cuai dalam mengendalikan kes-kes berprofil tinggi. Dalam kes Najib dan Irwan Serigar, siasatan dalaman perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca kelemahan dan individu yang bertanggungjawab harus dikenakan tindakan sewajarnya.
Ketiga, komunikasi yang jelas dan telus perlu disampaikan kepada rakyat. Jabatan Peguam Negara perlu memberikan penjelasan sebaiknya mengenai keputusan yang dibuat, terutama apabila melibatkan kes-kes besar yang menjadi perhatian umum.
Keputusan pelepasan tanpa pembebasan dalam kes Najib dan Irwan Serigar ini adalah satu peringatan yang jelas bahawa sistem perundangan negara memerlukan perubahan drastik.
Reformasi institusi bukan lagi pilihan tetapi keperluan mendesak untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan tanpa sebarang keraguan.
Kerajaan tidak boleh lagi bertindak secara reaktif atau defensif, sebaliknya ia perlu mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh sistem kehakiman dan pendakwaan.
Pada masa yang sama, masyarakat sivil dan media juga memainkan peranan penting dalam memastikan isu-isu seperti ini terus mendapat perhatian. Tekanan yang berterusan daripada rakyat adalah pemangkin kepada perubahan.
Dalam era digital ini, kesedaran masyarakat terhadap isu integriti dan ketelusan semakin meningkat dan kerajaan harus memanfaatkan momentum ini untuk melaksanakan pembaharuan yang bermakna.
Keputusan pelepasan tanpa pembebasan terhadap Najib dan Irwan Serigar adalah satu peringatan tentang pentingnya reformasi institusi yang menyeluruh.
Dengan mengambil langkah-langkah berani dan tegas, kerajaan boleh memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara, memperkukuh integriti institusi dan meletakkan Malaysia di landasan yang betul untuk menjadi sebuah negara yang telus, adil dan bebas daripada rasuah.
Tindakan segera untuk memisahkan Pejabat Pendakwa Raya Negara daripada Pejabat Peguam Negara sebagai satu langkah penting Kerajaan Perpaduan di bawah YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dalam memerangi rasuah dan memastikan tadbir urus yang baik.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia