SERI KEMBANGAN – Lebih daripada 2 juta rakyat Palestin di Semenanjung Gaza terancam apabila tentera Zionis tidak putus-putus melancarkan serangan udara sejak 7 Oktober lalu mengakibatkan kerosakan infrastruktur yang dahsyat dan memusnahkan tempat tinggal beribu-ribu rakyat.
Bangunan awam seperti masjid, hospital, sekolah dimusnahkan dan berbelas-belas pusat kesihatan lumpuh sepenuhnya.
Sehingga hari ini, angka kematian telah meningkat lebih 3,000 orang yang melibatkan 750 kanak-kanak terkorban dan kira-kira 10,000 orang cedera. Setiap hari pada setiap detik adalah saat yang berbahaya bagi penduduk Gaza.
Serangan rejim Israel semakin memuncak dan biadab apabila menyasarkan orang awam yang kebanyakannya terdiri dari golongan wanita dan kanak-kanak yang jelas melanggar semua norma kemanusiaan, piagam dan undang-undang antarabangsa. Lebih melampau, pihak tentera Zionis menggunakan bom fosforus putih yang diharamkan dalam serangan.
Gaza kini bergelap dan dalam keadaan yang sangat terdesak apabila pihak Israel menghentikan bekalan api kepada satu-satunya loji janakuasa di Gaza dan menyekat sebarang bantuan daripada sampai ke Gaza.
Semenanjung Gaza telah terkepung dan menjadi penjara terbesar di dunia, bahkan kini pula menjadi perkuburan terbesar. Ini adalah tragedi kemanusiaan yang tidak boleh dibiarkan.
Sehubungan ini, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah melancarkan kempen Palestin Di Hati 2.0 dalam kalangan ahli IKRAM pada Selasa.
Kempen ini bertujuan untuk membangkitkan kesedaran dan pendidikan masyarakat tentang isu Palestin, memobilisasi untuk solidariti bersama rakyat Palestin dan mengumpul dana bantuan kemanusiaan untuk Palestin. Kempen Palestin di Hati pernah dilancarkan sebelum ini pada 2021, mengesani masyarakat dengan meluas.
Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin memberitahu bahawa Gaza telah menjadi penjara terbuka yang terbesar apabila dikepung secara menyeluruh dari udara, laut dan darat, menjadikan keadaan di sana menjadi sangat kritikal dan terdesak.
“Operasi Taufan al-Aqsa telah berjaya menanamkan kegerunan dan ketakutan kepada penduduk haram Israel,” kata beliau.
Menurutnya, mitos yang menggambarkan tentera Israel begitu kuat dengan kecanggihan teknologi mereka sehingga tidak dapat dikalahkan berjaya dipecahkan.
Penasihat Kehormat MyCARE, Dr Hafidzi Mohd Noor meminta agar rakyat tidak termakan dengan propaganda media Israel yang membawa naratif palsu berkaitan Operasi Taufan al-Aqsa.
Tegasnya, operasi tersebut bukan pencerobohan ke atas Israel (bahkan kepulangan ke kampung halaman rakyat Palestin yang dijajah), bukan misi membunuh dan menculik orang awam Israel, bukan aksi yang dilakukan pengganas dan bukan tindakan provokasi.
“Gambaran ini harus di perbetulkan dan diluruskan dengan hujah dan fakta, bukan sentimen emosi semata-mata,” ujarnya.
Presiden Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine (MWCQP), Dr Fauziah Mohd Hasan mengatakan, apa yang telah terjadi di Palestin beberapa hari ini seolah-olah bakal menjadi peristiwa Nakbah kedua.
“Israel mendakwa mereka pernah dizalimi melalui malapetaka Holocaust, tapi kali ini mereka pula yang melakukannya pada rakyat Palestin,” katanya.
Ujar beliau, Israel secara jelas melakukan pembersihan etnik dan ini mengambil kuasa seluruh wilayah Palestin.
“Kita tidak boleh biarkan Israel merasakan mereka boleh melakukan sesuka hati tanpa diambil tindakan,” tegas beliau.
Konflik di Palestin bukan semata-mata isu umat Islam, tetapi juga adalah isu hak kemanusiaan dan keadilan. Menjadi tanggungjawab setiap daripada kita untuk memberikan apa jua bentuk usaha dalam kapasiti masing-masing dalam memerangi kezaliman yang telah berdekad-dekad berlaku.
Kami menyeru anda semua untuk bersama berada dalam barisan orang-orang yang dalam perjuangan menentang kezaliman, tegakkan kedamaian dan keamanan serta pulangkan hak kemanusiaan.
Ayuh bersama membantu Dana Bantuan Kemanusiaan Gaza melalui MyCARE. Salurkan sumbangan anda di http://mycare.qrd.by/palestin.
Untuk mendapat maklumat sahih dan terkini Palestin, sertai Telegram Terkini Palestin di pautan https://t.me/terkinipalestin.
#PalestinDiHati
#BangunkanJiwamu
#GazaBangkit