SHAH ALAM – Negara mungkin berdepan peluang yang tipis untuk mengetahui punca tepat nahas pesawat terhempas di Persiaran Elmina, Khamis lalu sekiranya data perakam suara kokpit (CVR) mengalami kerosakan teruk.
“Sekiranya fasa mengeluarkan data daripada CVR itu gagal dibuat walaupun telah dihantar ke kilang pengeluar di Florida, Amerika Syarikat (AS), maka perkara yang boleh dilakukan hanyalah andaian,” demikian menurut bekas Ketua Juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain.
Beliau berkata, sekiranya CVR berjaya diekstrak, maka akan dapat memperoleh maklumat bermula pesawat berlepas dari Langkawi sehingga nahas berlaku.
“Untuk mengetahui punca tepat, ia memang memerlukan CVR. Jika tidak, hanya andaian dibuat berdasarkan maklumat kejadian.”
Nik Ahmad Huzlan menjelaskan, CVR mempunyai beberapa jenis mengikut tahap kecanggihan sesebuah pesawat.
“CVR ada beberapa jenis dan pesawat yang terhempas ini dikategorikan kapal terbang kecil. Dari segi perundangan, tahap kecanggihan CVR pada pesawat mungkin kurang,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa CVR di pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) berkenaan gagal diekstrak pihak makmal di Singapura.
Justeru, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia akan dihantar ke kilang pengeluar di Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat.
Sementara itu, pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata, sekiranya CVR gagal untuk diekstrak, masih ada cara yang boleh dilakukan untuk mengetahui punca nahas iaitu melalui penelitian secara mikro dan makro terhadap bahagian penting pesawat.
Katanya, ia termasuk kaedah seperti X-ray dan metalurgi untuk mencari tanda-tanda seperti kelemahan serta kegagalan mana-mana bahagian.