Sekitar 40 orang pelajar telah terbunuh di sebuah sekolah di barat Uganda dalam serangan kumpulan militan yang dikaitkan dengan gerakan Negara Islam (ISIS) pada Jumaat lalu.
Lapan orang mangsa lain dilaporkan masih dalam keadaan kritikal berikutan serangan ke atas Sekolah Menengah Lhubiriha di Mpondwe, di daerah Kasese.
Pemberontak Uganda yang dikaitkan dengan ISIS, Tentera Demokratik Bersekutu (ADF) yang berpangkalan di Republik Demokratik Congo (DRC) dipersalahkan dalam serangan tersebut.
Jurucakap polis negara, Fred Enanga berkata, beberapa mayat telah dibawa ke hospital Buera.
Serangan tersebut berlaku kira-kira jam 11.30 malam terhadap lebih 60 pelajar di sekolah itu menjadi mangsanya, dan kebanyakan mereka tinggal di asrama sekolah itu.
Dibakar, Ditetak
Inanga berkata, sebuah asrama pelajar di sekolah itu dibakar dan sebuah kedai makanan dirompak semasa serangan tersebut berlaku.
Mejar Jeneral Dick Olum daripada tentera Uganda memberitahu media bahawa beberapa pelajar lelaki itu dibakar dan ditetak hingga mati, manakala kebanyakan pelajar perempuan diculik oleh kumpulan itu.
Dikatakan bahawa beberapa mayat telah dibakar dan ujian DNA akan dijalankan untuk mengenal pasti identiti mereka.
Penyerang juga dikatakan membakar tilam pelajar dan juga dipercayai meletupkan bom di kawasan itu, dan tidak terkecuali, dilaporkan penduduk masyarakat setempat mungkin antara yang mati dibunuh.
Ramai Masih Hilang
“Pasukan kami sedang mengejar musuh untuk menyelamatkan mangsa culik dan memusnahkan kumpulan itu,” ujar jurucakap Kementerian Pertahanan, Felix Kulaygi dalam ciapan Twitternya.
Penyerang melarikan diri ke arah Taman Negara Virunga, iaitu taman negara tertua dan terbesar di Afrika serta rumah kepada spesis haiwan yang jarang ditemui, termasuk gorila gunung.
Militia ADF dikatakan menggunakan taman besar yang terletak di sempadan antara Uganda dan Rwanda itu sebagai tempat persembunyian.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak tentera Uganda telah mengerahkan beberapa pesawat untuk membantu mengesan kumpulan pemberontak itu.
Mereka turut bekerjasama dengan Republik Demokratik Congo (DRC) yang telah menjalankan operasi ketenteraan bersama di timur Congo untuk mencegah serangan militia ADF.
“Pasukan keselamatan mempunyai risikan bahawa pemberontak telah berada di kawasan sempadan di sebelah DRC sekurang-kurangnya dua hari sebelum serangan yang berlaku pada Jumaat malam,” kata Mejar Jeneral Olum.
Episod berdarah itu adalah susulan serangan pada Sabtu lalu oleh ADF di sebuah kampung di DRC berhampiran sempadan dengan Uganda. Berikutan itu juga, dianggarkan lebih 100 penduduk kampung melarikan diri ke Uganda tetapi telah kembali.
Serangan ke atas sekolah itu, yang terletak kurang dua kilometer dari sempadan Uganda dengan DRC, adalah serangan pertama seumpama itu ke atas sebuah sekolah Uganda dalam tempoh 25 tahun.
Tragedi Berulang
Terdahulu pada Jun 1998, seramai 80 pelajar telah dibakar hingga mati di asrama dalam serangan militia ADF ke atas Institut Teknikal Kishwamba iaitu berhampiran sempadan dengan DRC, manakala lebih 100 pelajar telah diculik.
Pasukan ADF telah ditubuhkan di timur Uganda pada 1990an dan mengangkat senjata menentang Presiden Yoweri Museveni yang telah lama berkhidmat dengan mendakwa berlaku penganiayaan kerajaan terhadap umat Islam.
Selepas kekalahannya oleh tentera Uganda pada tahun 2001, ADF berpindah ke wilayah Kivu Utara di DRC. Pengasas utama kumpulan itu, Jamal Makulu telah ditangkap di Tanzania pada 2015 dan kini berada di penjara Uganda.
Pasukan ADF telah beroperasi dari dalam Republik Demokratik Congo sejak dua dekad yang lalu.
Pengganti Makulu, Musa Sika Baluku pada mulanya berjanji setia kepada ISIS pada 2016, tetapi organisasi itu tidak mengakui aktivitinya di wilayah itu buat kali pertama sehingga April 2019.
Pada tahun 2021, pengeboman berani mati berlaku di ibu negara Uganda, Kampala dan bahagian lain di negara itu, dan militia ADF dipersalahkan.