Setelah hampir sebulan Ramadan, kini umat Islam yang berpuasa secara berdisiplin dapat menuai hasil nikmat kesihatan fisiologi dan psikologi yang lebih baik berbanding waktu sebelumnya.
Kesan fisiologi ini termasuk beroleh tubuh badan yang lebih sihat dan segak kesan daripada penurunan paras gula dalam darah, lemak, kolesterol dan tekanan darah sistolik.
Apabila ibadah puasa diselarikan pula dengan ketekunan memperbanyakkan ibadah kerohanian dengan penuh penghayatan, seseorang mampu untuk meraih ketenangan dan kedamaian dalam hidupnya.
Semua nikmat ini diperolehi percuma oleh semua dengan hanya menjalani ibadah puasa sepertimana yang dituntut oleh Allah Taala.
Manfaat Puasa
Banyak kajian telah membuktikan hikmah puasa yang dapat menaikkan fungsi kesihatan seseorang melalui amalan menahan makan dan minum daripada fajar terbit sehingga matahari terbenam selama sebulan.
Bahkan perbuatan ini turut dapat mencegah dan menyembuhkan pelbagai penyakit yang bersarang dalam badan sebagai alternatif kepada pengambilan ubat-ubatan bagi penyakit tertentu.
Hasil kajian-kajian sains ini membuktikan kebaikan puasa melalui penemuan-penemuan yang sukar dinafikan.
Didapati amalan berpuasa dapat menambah baik fungsi dan kesihatan otak, mengawal penyakit diabetes, mengurangkan faktor risiko penyakit kardiovaskular dan menghasilkan hormon anti penuaan.
Nah, begitu banyak sekali hikmah yang diperoleh manusia melalui ibadah yang diwajibkan Tuhan ini. Namun, manusia seakan-akan terlupa mesej berpuasa yang ingin diterapkan sepanjang madrasah Ramadan menjelang tibanya bulan Syawal.
Ramadan dikaitkan sebagai bulan tarbiah bagi menaikkan kawalan diri. Bagaimanapun, apabila tibanya Syawal, sebaliknya pula berlaku dan menjadi waktu membalas dendam dengan pengambilan makanan tanpa beringat-ingat.
‘Serangan’ Makanan
Kawalan pemakanan semasa berpuasa telah menyebabkan berat badan dapat diturunkan dan penyakit yang dihadapi terkawal.
Namun, apabila berlaku perubahan rutin makan yang tidak terkawal pada bulan Syawal, tidak hairan apabila berlakunya kenaikan semula berat badan dan terjadi serangan pelbagai penyakit.
Memang benar keenakan hidangan air bergula yang pelbagai perisa, ketupat, rendang dan beraneka juadah biskut raya sukar untuk ditolak begitu sahaja apabila bertandang ke rumah saudara mara dan sahabat handai.
Malah, boleh terlupa seketika atau saja-saja melupakan paras kandungan minyak, lemak tepu dan ketinggian gula dalam juadah yang kebiasaannya hanya dijamu setahun sekali.
Rasanya terasa begitu enak di mulut untuk ditahan-tahan. Namun begitu beringatlah, awasilah pengambilan makanan sekiranya mahu hidup beterusan dengan tahap kesihatan yang baik.
Gaya Hidup Sihat
Menurut laporan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ogos tahun lalu, diet pemakanan yang tidak sihat dalam kalangan warga Malaysia telah menyumbang kepada dua pertiga (68.8%) kos kehilangan produktiviti akibat kematian pramatang penyakit kardiovaskular.
Sehubungan itu, KKM telah menghasilkan Pelan Strategik Mengurangkan Gula dalam Kalangan Rakyat Malaysia (2023-2025) sebagai langkah proaktif memastikan gaya hidup pemakanan sihat diutamakan.
Pelan kerajaan ini dialu-alukan bagi memantapkan kesedaran amalan pemakanan berkhasiat dalam kalangan rakyat. Walau bagaimanapun, harus disedari bahawa suatu perubahan itu hanya berkesan apabila ada kesedaran dan kemahuan yang kuat serta disertai dengan tindakan yang konsisten oleh individu itu sendiri.
Cakna Cara Makan Sihat
Mulakan langkah pertama dengan meneruskan semangat pengamalan pemakanan sihat pada bulan Ramadan ke bulan seterusnya dengan penuh kesedaran.
Pentingkan pengambilan makanan bernutrisi dan elakkan berlebihan ambil makanan yang bergoreng, banyak perasa tambahan dan kandungan gula tinggi.
Persoalannya, apakah cara untuk mengetahui makanan yang diambil itu berlebihan atau sudah cukup untuk kadar seharian?
Berdasarkan saranan Panduan Diet Malaysia, saranan pengambilan kalori bagi lelaki dewasa yang sihat dan kurang aktif adalah 2,000 kkal sehari, manakala bagi wanita dewasa dalam kategori ciri yang sama adalah sekitar 1,500 kkal sehari.
Tentunya pengiraan kalori menjadi rumit sekiranya perlu dikira satu persatu. Maka cara yang lebih mudah dan praktikal adalah mengamalkan diet suku-suku separuh.
Panduan diet ini meletakkan kuantiti hidangan sayur-sayuran atau buah-buahan adalah separuh pinggan, manakala makanan berupa bijirin dan protein masing-masing diambil ruang suku daripada saiz pinggan.
Pinggan yang diisi mengikut diet suku-suku separuh ini kebiasaannya mencapai 400 hingga 500 kkal sepinggan. Mudah untuk mengira pengambilan kalori seharian dengan membahagikan setiap hidangan berdasarkan disiplin diet suku suku separuh.
Digalakkan juga mengambil pinggan yang kecil untuk mengawal kuantiti saiz makanan. Utamakan pengambilan nutrisi dalam lauk. Misalnya bagi makanan seperti rendang dan lodeh, utamakan ambil sumber protein dan lebihkan sayur-sayuran.
Elakkan daripada mengambil kuah sehingga menjadi nasi banjir kerana kuah biasanya mengandungi lemak dan minyak yang tinggi.
Bagi mengawal selera makan pula, mulakan menu dengan buah-buahan dahulu. Apabila perut sudah penuh dengan serat, kebiasaannya nafsu untuk makan berlebihan dapat dikurangkan. Kemudian, rancang dan pilih menu makanan untuk mengelakkan daripada mencuba pelbagai rasa makanan secara semberono.
Makan Berpada, Raya Bergaya
Sekiranya terlebih makan pada hari itu, susuli dengan aktiviti membakar kalori. Apa yang penting, makan secara sedar. Ambil makanan secara sederhana, nikmati dan makan perlahan-lahan sedikit demi sedikit dan bukan dalam kuantiti yang banyak sekaligus.
Sekiranya dahulu penyakit kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi dikaitkan dengan penyakit warga emas, kini penyakit ini sudah normal menular pada mereka yang berusia 30-an dan 40-an.
Sayangi diri, makan berpada supaya beraya dengan bergaya. Kita adalah apa yang kita makan.
“..dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Al-a’raaf: 31)
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.