SERI KEMBANGAN – Program Perkampungan al-Quran anjuran bersama IKRAM Muda Selangor dan Asatizah IKRAM Selangor telah berlangsung pada Sabtu, 8 April lalu di Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Program yang yang bermula dari 1.00 tengah hari hingga 10.00 malam dihadiri para belia dan anak-anak muda berserta keluarga mereka, yang turut disertai pelajar-pelajar Akademi Tahfiz Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
Sambil beriktikaf, program tersebut diisi dengan perkongsian tadabbur Surah al-Israa’ bertajuk ‘Terluka dan Sembuh’ oleh Ustaz Khubaib Asmadi, yang mengupas mengenai latar belakang surah dan empat ‘ubat’ yang diberikan surah tersebut bagi menyembuhkan ‘luka.’
Kemudian, program Perkampungan al-Quran diserikan dengan forum ‘Ibu Bapa Muda Menghadapi Ramadan’ bersama ahli panel Ustazah Khadijah Husni dan Ustaz Faris Murtadha, serta moderator Ustaz Mirzan Majid.
Dalam forum itu, ahli panel masing-masing menekankan kepentingan penjagaan aspek mental, fizikal dan spiritual anak-anak, serta pecahan perbelanjaan hari raya seorang suami dan kepentingan menabung dari awal.
Program ditutup dengan Majlis Khatam al-Quran yang dimulakan dengan perkongsian oleh Pengerusi Asatizah IKRAM Selangor, Ustaz Amir Izzuddin dan dipimpin oleh Dr Ahmad Harith Zabidi Azhar, sebelum diteruskan dengan iftar beramai-ramai dan qiyamullail bersama.
Semoga program ini menatijahkan impak yang baik bagi menghidupkan ajaran al-Quran dalam diri anak muda, ibu bapa dan anak-anak bagi menjana ketakwaan, sempena bulan Ramadan.
Orang ramai dijemput untuk mengenali IKRAM Muda Selangor atau terlibat sama sebagai sukarelawan projek MySaveFood melalui pautan link berikut: https://linktr.ee/IMSelangor.