SERI KEMBANGAN – Yayasan Ikram Malaysia telah mengadakan program Ziarah Rahmah Ramadan dengan kerjasama IKRAM Negeri Sarawak di Kampung Seri Maimunah, Kuching pada 22 Mac lalu.
Melalui program ini, pek sumbangan diagihkan kepada 100 orang penerima yang berasal dari beberapa buah kampung dan perumahan pekerja kilang di sekitar daerah Kuching seperti Kampung Sri Maimunah, Sungai Periok dan Jalan Mendu.
Pek sumbangan diisi dengan barangan keperluan dapur seperti beras 10 kg, gula, tepung, the , tin makanan, biskut, minyak masak dan pek kurma.
Yayasan Ikram Malaysia turut menaja cermin mata percuma kepada beberapa keluarga yang memerlukan.
Program yang mendapat penajaan Kedutaan Besar China di Malaysia telah dihadiri oleh Menteri Kedutaan, Tang Rui. Beliau diiringi oleh Konsulat Jeneral China di Kuching, Xing Weiping serta beberapa wakil konsulat.
Menurut Tang Rui, program ini adalah contoh nyata yang menunjukkan ikatan persahabatan dan persaudaraan yang erat antara rakyat negara China dan Malaysia.
Turut hadir pada acara penyerahan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ikram Malaysia, Hj Kamsani Nasir, Yang Dipertua IKRAM Negeri Sarawak, Satria Arjuna Julaihi dan Pengurus Negeri, Yayasan Ikram Malaysia (Sarawak), Dr Sadiah Mohamad Ali.
Program ziarah ini bersempena kempen Rayuan Ramadan yang merupakan program kutipan dana bagi membantu golongan yang berkeperluan dan memerlukan. Kempen Rayuan Ramadan pada tahun ini merupakan anjuran kali ke-25 semenjak pertama kali dilancarkan pada tahun 1999.
Inisiatif Rayuan Ramadan ini merupakan usaha dan tanda keprihatinan Yayasan IKRAM Malaysia membantu golongan fakir miskin, asnaf, orang kurang upaya, warga emas, anak yatim, ibu tunggal dan golongan berkeperluan agar lebih ramai orang dapat menyambut Ramadan dengan lebih bermakna.
Program ini telah menerima sumbangan daripada penderma tetap, sumbangan orang ramai, badan korporat dan pelbagai pihak lain yang prihatin.
Yayasan Ikram Malaysia menzahirkan penghargaan kepada para penyumbang budiman yang telah menderma kepada Yayasan Ikram Malaysia bagi membantu golongan yang berkeperluan dan memerlukan.
Untuk menyumbang melalui Rayuan Ramadan, sila klik pautan https://www.billplz.com/RR2023.