Bakar al-Quran: Jangan Harap Sweden Masuk NATO – Turkiye

Bakar al-Quran: Jangan Harap Sweden Masuk NATO - Turkiye | IKRAM

Protes termasuk insiden pembakaran kitab suci al-Quran di Stockholm, Sweden pada Sabtu, 21 Januari lalu meningkatkan ketegangan antara Sweden dan Turkiye pada masa negara Scandinavia itu memerlukan sokongan Ankara untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan keji terhadap kitab suci kami ini,” kata Menteri Luar Turkiye, Mevlut Cavusoglu dalam satu kenyataannya.

Beliau menegaskan, membiarkan tindakan anti-Islam ini yang mensasarkan umat Islam dan menghina nilai-nilai suci di bawah perlindungan kebebasan bersuara, tidak boleh diterima sama sekali.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas ahli politik berhaluan kanan membakar al-Quran berhampiran kedutaan Turkiye.

Berikutan itu, Kementerian Luar Turkiye menggesa Sweden untuk mengambil langkah yang perlu terhadap pelaku dan menyeru semua negara untuk mengambil langkah konkrit menentang Islamofobia.

Dengan kebenaran pihak berkuasa, bantahan berasingan turut berlaku di bandar itu bagi menyokong puak Kurdish dan menentang usaha Sweden untuk menyertai NATO. Berikutan itu, sekumpulan penunjuk perasaan pro-Turkiye berarak di hadapan kedutaan.

Menteri Luar Sweden, Tobias Billstrom berkata pada Sabtu bahawa provokasi anti-Islam adalah mengerikan.

“Sweden mempunyai kebebasan bersuara yang meluas, tetapi itu tidak bermakna kerajaan atau saya sendiri menyokong pendapat yang diutarakan,” tambah Billstrom menerusi Twitternya.

Dalam insiden itu, ketua parti ekstrem Denmark-Sweden, Rasmus Paludan membakar senaskhah al-Quran. Paludan, yang memegang kewarganegaraan Sweden pernah menganjurkan beberapa demonstrasi sebelum ini dengan membakar salinan al-Quran.

Kenyataan yang diperoleh daripada polis menyatakan bahawa bantahannya adalah terhadap Islam dan apa yang disebutnya sebagai percubaan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan untuk mempengaruhi kebebasan bersuara di Sweden.

Kutukan Yang Luas

Beberapa negara Arab termasuk Arab Saudi, Jordan, Kuwait, Maghribi, Qatar, Mesir, Jordan, UAE dan Pakistan turut mengecam insiden pembakaran al-Quran itu. 

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Arab Saudi menyatakan pendirian tegas kerajaan yang menyeru kepentingan menyebarkan nilai-nilai dialog, toleransi dan kewujudan bersama dan menolak kebencian serta ekstremisme.

“Kerajaan Maghribi terkejut bahawa pihak berkuasa Sweden membenarkan tindakan yang tidak boleh diterima ini yang berlaku di hadapan pasukan keselamatan Sweden, dan menyeru mereka untuk campur tangan dalam perintah untuk tidak membenarkan kemudaratan kepada al-Quran dan simbol agama suci umat Islam,” tegas Kementerian Luar Negeri, Kerjasama Afrika dan Maghribi di luar negara.

Tentang Sertai NATO

Tahun lalu, Sweden dan Finland memohon untuk menyertai NATO berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, tetapi kedua-dua permohonan mesti diterima oleh semua 31 negara anggota.

“Sweden khususnya mesti terlebih dahulu mengambil pendirian yang lebih jelas terhadap apa yang dianggapnya sebagai pengganas, kebanyakannya militan Kurdish dan kumpulan yang dipersalahkannya untuk cubaan rampasan kuasa 2016,” kata wakil negara Turkiye.

Dalam pada itu, satu demonstrasi berlangsung bagi membantah percubaan Sweden untuk menyertai NATO serta menunjukkan sokongan kepada Kurdish.

“Kami akan meneruskan penentangan kami terhadap permintaan Sweden untuk menyertai NATO,” kata jurucakap gabungan menentang NATO dan salah seorang penganjur demonstrasi itu, Thomas Peterson.

Demonstrasi di Turkiye

Di Istanbul, sekumpulan kira-kira 200 penunjuk perasaan membakar bendera Sweden di hadapan konsulat Sweden sebagai tindak balas kepada pembakaran al-Quran.

Beratus-ratus orang berdemonstrasi anjuran parti politik tempatan pada Selasa di Lahore, bandar terbesar Pakistan membantah pembakaran naskhah al-Quran dan melaungkan “Shame on Sweden.

“Tabir kebebasan bersuara tidak boleh digunakan untuk menyinggung kepercayaan 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia. Ini tidak boleh diterima,” tulis Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif di Twitter pada Ahad.

Stockholm pula mengecam tingkah laku ini yang disifatkannya sebagai perbuatan yang tidak mencerminkan sedikit pun penghormatan dan menyatakan simpatinya terhadap umat Islam, menegaskan bahawa perlembagaan Sweden tidak membenarkan untuk mencegah jenis tingkah laku ini.

Penghinaan sebegitu adalah isu sensitif di Pakistan, di mana tuduhan yang terbukti menghina Islam boleh membawa kepada pembunuhan dan hukuman mati secara mandatori.

Pakistan telah berulang kali menyatakan kebimbangannya tentang apa yang dianggapnya sebagai Islamofobia yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Tidak terkecuali, kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ekstrem tersebut. Menteri Luarnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerusi kenyataannya berkata, Malaysia turut kesal kerajaan Sweden tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghentikannya.

“Ia tidak boleh diterima sama sekali walaupun ada beberapa bantahan daripada pelbagai pihak dan boleh memberi kesan serius hubungan Sweden dengan umat Islam sejagat,” katanya.

Zambry berkata, Malaysia juga menggesa kerajaan Sweden agar mengambil tindakan serius segera terhadap Paludan untuk memerangi sentimen Islamofobia.

“Tindakan keji pelaku ini jelas serangan secara terang-terangan ke atas Islam dan umat Islam seluruh dunia yang melampaui batas moral serta kebebasan bersuara,” katanya.

Beliau berkata, perasaan ketaasuban selain perkauman dan mencemar keji terhadap kitab suci tanpa kira mana-mana agama adalah tidak boleh diterima serta wajar dikutuk keras.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk bekerjasama memerangi sentimen Islamofobia dan menggalakkan hubungan harmoni yang pelbagai.”

Katanya, ini termasuk prinsip menggalakkan kewujudan bersama secara aman dalam kalangan individu yang berbeza anutan agama dalam komuniti global yang rencam.

“Malaysia terus bekerjasama rapat komuniti sejagat bagi mencegah dan menghapuskan segala bentuk kebencian terutamanya sentimen Islamofobia serta ekstremisme,” katanya.

Jenayah Kebencian

Berikutan itu, Erdogan mengeluarkan kenyataan bahawa Sweden sebagai calon keanggotaan NATO tidak lagi boleh mengharapkan sokongan Turkiye selepas insiden pembakaran al-Quran hadapan kedutaan negara itu.

“Sweden tidak seharusnya menunggu sokongan daripada kami untuk menyertai NATO. Jika anda tidak menghormati kepercayaan agama Republik Turkiye atau umat Islam, anda tidak akan menerima sokongan daripada kami,” kata Presiden Turkiye itu.

Justeru, Turkiye membatalkan lawatan berjadual oleh Menteri Pertahanan Sweden ke Ankara untuk mendorong Turkiye menyokong penyertaan negaranya ke NATO.

Jurucakap Presiden Turkiye, Ibrahim Kalin mengecam insiden pembakaran al-Quran sebagai jenayah kebencian yang melampau.

Dalam pada itu, Menteri Luar Sweden, Tobias Billstrom berkata, Sweden akan menghormati perjanjian antara Finland dan Turkiye mengenai permintaannya untuk menyertai NATO dan menegaskan untuk tidak mengulas kenyataan Erdogan itu.

Terdahulu, Turkiye telah menyekat kemasukan Sweden dan Finland ke dalam NATO sejak Mei, dan menuduh kedua-dua negara itu melindungi aktivis Kurdish,  simpatisan dan sekutunya di utara Syria dan Iraq yang disifatkannya sebagai pengganas.

Atriza Umar
Pegawai Eksekutif Jabatatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia