Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah ibarat yang berlaku dalam isu keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Ketika kes adik Bella OKU yang didera di rumah pengasuh masih lagi dalam proses pendakwaan di mahkamah, kita terus dikejutkan satu per satu dengan isu membabitkan kanak-kanak.
Pada 6 Januari lalu, dilaporkan bahawa seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dirogol oleh bapa tirinya di Seremban, Negeri Sembilan.
Pada hari yang sama, turut dilaporkan kejadian di Bau, Sarawak yang mana seorang kanak-kanak OKU dibunuh, disumbat dalam guni dan dibuang ke dalam semak oleh teman wanita ibunya.
Dua hari lepas, kita dilaporkan pula kejadian yang mengakibatkan seorang bayi lelaki di Kuala Terengganu koma dipercayai didera oleh pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak.
Jelas, kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi dan disayangi sebaliknya telah dizalimi secara kejam.
Wanita IKRAM melahirkan kekesalan dan kebimbangan dengan kejadian demi kejadian yang berlaku terhadap generasi masa hadapan yang sewajarnya dijaga, dibela dan dipelihara kesejahteraannya.
Apatah lagi dalam isu yang membabitkan keselamatan kanak-kanak dalam jagaan pengasuh.
Seorang ibu bekerja untuk keluarga dan negara, meletakkan anak dengan harapan anak mereka dijaga dengan baik, bahkan sebaliknya didera sehingga ada yang menemui ajal seperti yang dilaporkan berlaku pada Disember 2022 di Johor.
Tindakan segera perlu diambil supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
Oleh itu, Wanita IKRAM menyeru supaya pencegahan dilaksanakan melalui pemantauan ketat oleh pihak berwajib dan tindakan tegas diambil jika berlaku kes seperti ini.
Pihak berkuasa dicadangkan supaya memastikan para pengasuh melalui latihan dan mendapat sijil kemahiran. Namun begitu, proses latihan ini hendaklah dipermudahkan prosesnya dan dikenakan kos yang minimum.
Saringan kesihatan mental juga patut diwajibkan kepada pengasuh. Perkara ini sewajarnya menjadi syarat untuk membolehkan sesebuah pusat jagaan kanak-kanak didaftarkan.
Tanggungjawab dalam melatih dan memantau pengasuh yang diambil bekerja di pusat jagaan kanak-kanak perlu diambil serius dan menjadi keutamaan para pengusaha pusat jagaan.
Dalam pada itu, Wanita IKRAM turut menyarankan supaya pihak berkuasa membuat kajian dan mencari jalan supaya kos menghantar kanak-kanak ke pusat jagaan swasta dapat dikurangkan.
Cadangan ini diharapkan dapat mengurangkan risiko ibu bapa yang terpaksa menghantar anak-anak kepada pengasuh yang tidak mempunyai lesen kerana tidak berkemampuan.
Wanita IKRAM juga menyokong cadangan Menteri Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri untuk mewujudkan satu jabatan khas melihat isu kanak-kanak.
Wanita IKRAM bersedia untuk berbincang dan bekerjasama dalam menyelesaikan masalah ini.
Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia