Isu Dera Kanak-kanak Serius, Perlu Ditangani Segera

Isu Dera Kanak-kanak Serius, Perlu Ditangani Segera | IKRAM

SERI KEMBANGAN – Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Negeri Selangor memandang serius isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Tular di media sosial beberapa hari yang lalu, video sepasang suami isteri di Beranang telah mendera seorang kanak-kanak berumur empat tahun yang merupakan anak angkat kepada pasangan tersebut kerana enggan memakan nasi.

Mangsa telah dipukul serta dicucuh dengan pemetik api sebagaimana yang dilaporkan oleh Sinar Harian bertarikh 22 Julai 2022. Aksi tersebut juga telah tersebar luas di media sosial melalui sebuah video yang berdurasi 27 saat.

“Tentunya isu ini bukan suatu isu yang baharu terutamanya di negeri Selangor yang mencatatkan kes tertinggi di Malaysia,” demikian kata Ketua Wanita IKRAM Selangor, Prof. Dr Norhasmah Sulaiman.

Beliau berkata, perlakuan tersebut jelas telah melanggar Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara kerana penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka.

“Selain itu, penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.”

Jelasnya, penderaan fizikal menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak itu. 

“Manakala, penderaan emosi menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat.”

Justeru, menerusi kenyataan medianya, Wanita IKRAM Selangor menggesa agar pihak berkuasa tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki terlibat dengan penderaan dan penganiayaan kanak-kanak yang boleh menjadi kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Wanita IKRAM Selangor menggesa kerjasama yang erat antara NGO Negeri Selangor untuk mewujudkan kesedaran serta cakna dengan isu penderaan serta pengabaian kanak-kanak yang berlaku dalam masyarakat,” ujar Dr Norhasmah.

Menurutnya, pihaknya turut menggesa penglibatan aktif oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menggerakkan Pasukan Perlindungan Kanak-kanak melalui program-program yang aktif di 17 Pusat Aktiviti Kanak Kanak (PAKK) di setiap daerah mengikut keperluan masyarakat setempat.

“Tidak terkecuali, mempromosi secara besar-besaran kepada masyarakat talian ‘hotline’ untuk melaporkan sebarang kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.”

Dalam pada itu, Wanita IKRAM Selangor menyarankan agar semua pihak mengambil bahagian dalam menangani isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak kerana kanak-kanak merupakan suatu bahagian penting masyarakat serta kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran masyarakat.

Terdahulu, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor sehingga September 2021, Selangor mencatatkan 1,076 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud dalam suatu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. 

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia