PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra di sini.
Anwar tiba di bangunan Perdana Putra pada kira-kira 8.10 pagi sebelum mempengerusikan mesyuarat khas tersebut.
Beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas.
Pada 2 Disember, Anwar mengumumkan barisan kabinet yang dianggotai 28 menteri serta dua Timbalan Perdana Menteri, selain beliau sendiri memegang portfolio Menteri Kewangan.
Kebanyakan menteri kabinet telah mengimbas kad perakam waktu dan memasuki pejabat masing-masing sebelum menghadiri mesyuarat berkenaan.
Terdahulu, kabinet yang baru dilantik telah mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada jam 3.00 petang, Sabtu lalu.
Pada Jumaat, Perdana Menteri telah mengumumkan saiz barisan Kabinet Kerajaan Perpaduannya seramai 28 menteri.
Jumlah tersebut, termasuk Anwar yang memegang portfolio Menteri Kewangan, adalah lebih kecil berbanding seramai 31 jemaah menteri dalam kerajaan yang terbentuk sebelum ini.
Foto: Jabatan Perdana Menteri