Menjadi ibu bapa hari ini bukan suatu yang mudah. Sudah menjadi lumrah kebanyakan keluarga, kedua-dua suami isteri perlu keluar bekerja dek kerana kos sara hidup yang tinggi, tambahan pula bagi yang menetap di bandar-bandar besar.
Keluar awal pagi dan pulang lewat petang sudah menjadi kebiasaan.
Bagi isteri yang bekerja, seusai tamat waktu pejabat, tidak menjamin apabila tiba di rumah, mereka dapat merehatkan badan melepaskan lelah.
Masih ada tanggungjawab yang perlu dilangsaikan. Ada anak-anak yang menuntut perhatian. Ada hak-hak rumah tangga yang masih perlu dibereskan, begitu juga dengan suami.
Akibatnya, hari ini kita mendengar banyak rungutan seperti, “Aku bukanlah ibu yang baik kepada anak-anakku.”
Apabila anda mendengar ungkapan-ungkapan yang seumpama ini keluar daripada mulut orang sekeliling anda, jangan terus menghukum mereka.
Mereka bukan tidak bersyukur atau menyesali takdir, namun ada perkara lain yang sedang mereka alami. Inilah yang dinamakan gejala ‘parental burnout’.
Menghadapi tekanan
Seorang pakar psikiatri, Dr Rozanizam Zakaria pernah ditemu bual oleh sebuah stesen radio dan dilaporkan juga dalam Harian Metro pada 2021 ada menyatakan bahawa ‘burnout’ dalam terma psikologi merujuk kepada keadaan kelelahan fizikal, mental dan emosi yang berlaku kepada individu akibat pendedahan kepada tekanan yang berpanjangan.
Manakala ‘parental burnout’ pula merujuk kepada sindrom di mana ibu bapa mula menghadapi tekanan (stres) dan hilang keyakinan diri untuk menjalankan peranan sebagai ibu bapa. [1]
Bagi mereka yang menghadapi ‘burnout’ di tempat kerja, mungkin boleh mengambil tindakan yang drastik dengan berhenti kerja atau mengambil cuti tanpa gaji untuk beberapa ketika.
Namun, bagi mereka yang mengalami ‘parental burnout’, mereka berada dalam situasi yang lebih parah. Ungkapan seperti ‘Rumahku Syurgaku’ tidak lagi bermakna kepada mereka.
Perkara ini dilihat lebih parah sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) berlaku kerana ibu bapa perlu bekerja di rumah dan dalam masa yang sama masih perlu untuk memantau tugasan-tugasan serta kelas anak-anak.
Mencetuskan ketidakharmonian
Menurut pakar, perkara ini boleh berlaku dalam tiga dimensi iaitu mereka merasa sangat penat dan lelah untuk melaksanakan tanggungjawab atau tugas sebagai ibu bapa.
Ada juga dalam kalangan ibu bapa yang berasa jauh daripada anak-anak secara emosi dan tugas-tugas mereka sebagai ibu bapa tidak lagi efektif.
Jika tidak ditangani dengan baik, ini bakal menjadi bibit-bibit keretakan dalam rumah tangga dan juga bakal membuka ruang kepada penderaan serta pengabaian kepada anak-anak.
Ibu bapa adalah dunia kepada anak-anak, jika ibu bapa mula merasa tidak lagi gembira menjalankan tugas sebagai ibu bapa, maka kesannya tidak sahaja terhenti kepada kedua-dua ibu bapa, malah akan mengganggu juga tumbesaran anak-anak serta emosi mereka. Ini akan terbawa-bawa sehingga mereka dewasa kelak.
Antara yang terkesan
Ibu dan bapa, kedua-duanya berisiko mengalami sindrom ini, namun ibu lebih besar risiko untuk menghadapinya. Ini kerana sifat ibu itu sendiri yang sering kali mengutamakan keperluan orang lain terutamanya anak-anak dan suami.
Perkara ini tidak hanya terjadi kepada para ibu yang bekerja, malah ibu yang menjadi suri rumah juga terdedah kepada risiko ini.
Ini kerana, ibu-ibu yang bekerja terpaksa mengimbangi masa untuk melaksanakan kedua-dua tugasnya sama ada di pejabat mahupun di rumah dengan sebaiknya.
Manakala ibu suri rumah pula berasa mereka melaksanakan rutin yang sama, tiada kawan-kawan yang dapat diluahkan apa yang mereka rasa dan kurangnya penghargaan daripada orang sekeliling terutamanya suami membuatkan mereka merasa tidak dihargai.
‘Parental burnout’ boleh dikesan apabila seseorang itu mula rasa penat yang tidak berkesudahan serta mudah merasa marah walaupun hanya dengan sesuatu perkara yang kecil.
Ia juga merasakan anak-anak dengan sengaja membuat perangai hanya untuk menguji atau menjengkelkan.
Walaupun sebenarnya kita sedia maklum, kestabilan emosi ibu bapa itu sangat mempengaruhi emosi anak-anak. Namun apabila berlaku perkara ini, ibu bapa tidak lagi dapat berfikir secara rasional.
Perkara ini juga boleh dikesan apabila perbualan dengan orang lain hanya berkisar tentang anak sahaja dan buntu untuk memulakan perbualan selain daripada topik tersebut.
Selain daripada itu, sering merasa bosan dengan kehidupan namun tidak tahu apa yang hendak dilakukan pada masa senggang serta selalu mengeluh tanpa sebab juga merupakan tanda-tanda anda mengalami ‘parental burnout’.
Banyak lagi kesan-kesan lain yang mungkin dirasai mengikut situasi dan personaliti masing-masing.
Ketahui puncanya
Perkara ini bukan mudah untuk diatasi jika kedua-dua ibu bapa tidak tahu apakah puncanya. Namun jika dibiarkan, ia akan membarah dalam rumah tangga yang mungkin membuka kepada penderaan kepada anak-anak pula.
Dalam situasi lebih parah, ia mungkin juga membuka kepada pintu pengambilan dadah dan perceraian.
Bermula dengan diri sendiri dan pasangan, cuba untuk terima kekurangan masing-masing serta anak-anak. Tiada siapa di dunia ini yang sempurna dan elak membanding-bandingkan situasi keluarga kita dengan keluarga orang lain.
Elakkan juga meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada anak-anak. Ini bukan memotivasikan mereka, malah memberi tekanan serta merenggangkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak.
Mereka perlu saling menerima kelebihan dan kekurangan seadanya. Tampung kelemahan dengan menonjolkan kelebihan mereka. Fokus kepada kelebihan, itu adalah lebih baik.
Selain itu, dapatkan sokongan dan bantuan daripada orang sekeliling. Agihkan tugasan rumah antara suami isteri secara saksama dan berikan juga tugasan kepada anak-anak jika mereka sudah mencapai usia yang sepatutnya.
Jika perlu dan berkemampuan, jangan rasa bersalah untuk menggajikan pembantu rumah sama ada separuh masa atau sepenuh masa bagi membantu pengurusan kerja di rumah.
Mungkin juga sesekali boleh ambil masa untuk keluar berdua hanya dengan pasangan, membuat janji temu dengan sahabat baik masing-masing atau hanya ambil masa untuk keluar berjalan-jalan ke tempat-tempat yang disukai sebagai penghargaan kepada diri sendiri.
Namun jika semua ini tidak membuahkan hasil, maka carilah pertolongan daripada pakar. Berjumpalah dengan pakar kerana pastinya mereka sedia mendengar segala permasalahan kita tanpa prejudis kerana kesejahteraan emosi kedua-dua ibu bapa saling berkait rapat dengan keseimbangan tumbesaran anak-anak.
Barangkali, kesannya tidak kita nampak hari ini, namun ia akan sedikit-sedikit terserlah apabila mereka semakin dewasa. Biarlah kita bersusah-susah sekarang daripada kita menyesal pada kemudian hari.
Rujukan:
[1] https://www.tcer.my/apa-itu-parental-burnout/