SERI KEMBANGAN – Saluran rasmi video-video YouTube Pertubuhan IKRAM Malaysia, TV IKRAM disekat aksesnya semalam.
Menurut Ketua Jabatan Penyiaran dan Komunikasi IKRAM, Siti Hamisah Manan, sekatan itu dimaklumkan oleh YouTube melalui e-mel.
“Saya agak terkejut kerana ini pertama kali berlaku dan kita telah mengemukakan rayuan dengan segera kepada pihak YouTube supaya membenarkan semula akses saluran TV IKRAM,” katanya.
Ketika ditanya langkah-langkah ‘back up’ ekoran sekatan ini, beliau berkata, pihaknya sedang membangunkan satu lagi saluran YouTube alternatif kerana memang banyak video yang mendidik masyarakat sedang dirangka dan diterbitkan setiap hari.
“Di samping itu, ahli-ahli IKRAM dan orang ramai masih boleh menonton TV IKRAM di segmen video Facebook Pertubuhan IKRAM Malaysia di pautan https://fb.com/ikrammalaysia/videos/,” jelasnya.
Tambahnya, banyak kandungan video TV IKRAM yang menarik bakal dihidangkan untuk penonton terutamanya pada bulan Ramadan tidak lama lagi.
“Kami yakin semua kandungan video TV IKRAM bermanfaat untuk masyarakat, namun mungkin terlepas pandang beberapa masalah teknikal dan garis panduan yang menyebabkannya disekat.”
Menurutnya, pasukan TV IKRAM akan berusaha memperbaiki masalah-masalah tersebut dan tidak mengulanginya pada masa-masa akan datang.