SERI KEMBANGAN – MyCARE melalui agensinya Rose2Rose sedang giat melaksanakan program sokongan psikososial selama enam bulan kepada golongan wanita dan kanak-kanak di Gaza.
Dua program dianjurkan kali ini iaitu bantuan psikososial kepada balu para syuhada dan kursus ‘The Effect of PTSD on Children with Special Needs and Mechanism for Dealing with Them‘.
Program tersebut dianjurkan untuk 100 orang peserta wanita termasuk golongan ibu yang mempunyai anak OKU mental dan guru serta pengetua sekolah pendidikan khas.
Kata Koordinator Projek MyCARE di Gaza, Abeer Barakat, pihaknya sudah mengendalikan beberapa aktiviti dalam projek ini yang berterusan selama enam bulan.
“Dalam bengkel ini, kami menjemput ibu bapa kanak-kanak berkeperluan khas di samping pertubuhan dan sekolah yang memberikan perkhidmatan kepada anak-anak kurang upaya.”
Tambahnya, beliau berharap agar projek-projek sebegini dilanjutkan bagi melibatkan lebih ramai kumpulan kanak-kanak dan diperluaskan ke seluruh Gaza.
Menurut seorang peserta yang juga seorang balu syuhada sejak 14 tahun, Hana Othman al-Agha, beliau sangat menderita selepas suaminya syahid dari segi ekonomi, penjagaan anak, masa depan dan pendidikan mereka.
“Saya menghadapi pelbagai masalah yang beliau sendiri tidak tahu bagaimana menguruskannya seperti perangai anak-anak. Saya tidak tahu bagaimana menyokong diri secara psikologi.”
“MyCARE adalah penyokong pertama kami menyediakan sesi-sesi sokongan psikologi.”
Melalui program-program ini katanya, beliau mampu untuk mengatasi tekanan kehidupan dan bagaimana untuk berurusan dengan anak-anak.
“Saya juga belajar bagaimana untuk menjadi pakar psikologi kepada diri sendiri dan bagaimana untuk melepaskan tekanan anak-anak.”
Hana bersyukur kerana telah menyempurnakan pengajian di universiti dan anak-anaknya juga sedang belajar di universiti.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada MyCARE Malaysia yang menyusun program sebegini.”