KUALA LUMPUR – Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 membuka tirainya hari ini setelah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Rakyat.
Baginda bertitah agar ahli-ahli parlimen menghentikan sebarang pertelingkahan, mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 dan mempercepatkan pemulihan ekonomi.
Titah baginda lagi, hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah Keluarga Malaysia, kita dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh.
Merujuk kepada takwim mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan kali ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Oktober.
Sementara itu, Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat hari ini yang akan berlangsung mulai 4 hingga 26 Oktober.
Sidang Parlimen kali ini adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di bangunan Parlimen, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini memaklumkan, pelbagai inisiatif dijalankan antaranya pemasangan penapis udara ultra violet di dewan besar Parlimen serta penggunaan teknologi nano di pejabat bagi membunuh bakteria dan virus.
Kementerian Kesihatan turut melaksanakan ujian saringan RT-PCR terhadap 1,801 individu terdiri daripada petugas Parlimen dan individu terlibat dalam persidangan itu pada 10 dan 11 September.
Sebelumnya, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan melalui hasil saringan yang dijalankan selama dua hari di Dewan Serbaguna Parlimen.
“Seramai 26 individu didapati positif Covid-19 melibatkan seorang Senator dan 25 petugas Parlimen,” kata Dr Noor Hisham.