Alam perkahwinan sebenarnya bukan hanya dihiasi dengan hal-hal yang indah sahaja, namun di dalamnya pelbagai cabaran akan dilalui baik oleh suami mahupun isteri.
Sedangkan rumah tangga Rasulullah SAW pun dilanda ujian, apatah lagi kita, insan biasa.
Dewasa ini, fenomena curang dalam rumah tangga seolah-olah bukan rahsia lagi. Di mana-mana kita dapat mendengar dan membaca kes-kes kecurangan yang dilakukan oleh si suami mahupun si isteri.
Fenomena ini bukan setakat berlegar dalam kalangan masyarakat awam, tapi turut menjangkiti golongan agamawan! Demikianlah betapa liciknya syaitan dalam memilih mangsanya, tidak kira yang berilmu agama ataupun tidak.
Jika tidak melayan, pasti takkan berlaku curang. Begitulah kata-kata segelintir individu yang pernah dikhianati oleh pasangannya. Ya, curang itu bukan takdir namun sebuah pilihan.
Rasulullah SAW pernah mengatakan bahawa apabila seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan, maka pastilah ada syaitan menjadi orang ketiganya. Syaitan akan berusaha memujuk rayu kedua-dua individu tersebut untuk melakukan dosa.
Terlebih lagi pada zaman kita sekarang yang serba moden ini, begitu mudah untuk lelaki dan perempuan saling berduaan, saling berbalas mesej melalui Whatsapp, Facebook Messenger, Instagram dan lain sebagainya padahal tiada keperluan yang mustahak.
Mereka saling meluah yang akhirnya bercerita tentang masalah rumah tangga masing-masing sehinggalah syaitan berjaya menjerumuskan mereka ke dalam dosa yang bertopengkan jatuh cinta secara tidak sengaja.
Padahal jika kita amati, perbuatan sedemikian adalah disengajakan. Sepatutnya apabila seseorang itu menyapa kita (yang bergelar suami atau isteri) tanpa ada hal-hal yang penting, tidak perlulah kita untuk melayaninya.
Banyak perkara lain yang bermanfaat boleh dilakukan selain daripada melayani mesej-mesej atau luahan-luahan mereka yang sengaja hendak menarik perhatian anda, walhal ia pun telah mengetahui status anda sebagai suami atau isteri orang.
Apa pun bentuk permasalahan yang menimpa rumah tangga anda, adalah lebih baik dan sangat tepat untuk suami isteri saling meluah dan berbincang, saling memberi dan mendengar pandangan masing-masing sehinggalah solusi ditemukan, bukannya lari dan mencari tempat curhat (curahan hati) yang tidak halal bagi anda.
Betapa ramai orang hidup membujang di luar sana, bersedih hati kerana tidak mempunyai pasangan yang dapat berkongsi pahit manis kehidupan ini. Nah, anda yang sudah dianugerahi isteri ataupun suami, mengapa tidak bersyukur?
Perkahwinan bukan hanya sekadar cinta tapi amanah dan tanggungjawab. Kelak di akhirat, setiap suami dan isteri akan diminta pertanggungjawaban atas rumah tangga mereka semasa di dunia, adakah menjurus ke arah ketakwaan kepada Allah atau sebaliknya menambah kemurkaan-Nya?
Oleh yang demikian, bab perkahwinan jangan dijadikan permainan. Sesungguhnya semua itu akan ditanya oleh Allah SWT.
Bagi mereka yang berasa seronok atas pengkhianatan terhadap isterinya atau suaminya, lakukanlah sesuka hati anda, tapi di akhirat nanti ada mahkamah Allah yang siap mengadili anda.
Meirose