Gesaan ini dibuat setelah menyedari hakikat bahawa negara kini sedang melalui situasi yang amat sukar dan kritikal gelombang ketiga wabak COVID-19 dan kemelesetan ekonomi hinggakan kehidupan rakyat amat tertekan dengan cabaran wabak serta keupayaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Kesejahteraan institusi keluarga pula terjejas menyebabkan tekanan mental dan memberi kesan terhadap pendidikan dan pembelajaran anak-anak.”
“Kajian terkini UNICEF dan UNFPA mendapati keluarga miskin di Kuala Lumpur berada pada situasi lebih teruk selepas berlakunya wabak COVID-19, manakala kanak-kanak miskin berisiko untuk berhenti sekolah kerana faktor kewangan dan psikologi,” kata Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Haji Badlishah Sham Baharin ketika membacakan memorandum itu dalam sidang media hari ini.
Justeru, sidang media yang berlangsung secara dalam talian itu menyeru semua ahli parlimen agar segera menamatkan kemelut politik yang melanda dan berusaha mengembalikan kestabilan kerajaan berlandaskan lunas undang-undang negara melalui tatacara di parlimen.
Tegas beliau lagi, kepentingan rakyat dan negara perlu menjadi pertimbangan paling utama dalam mencapai kata sepakat dalam kalangan ahli-ahli politik.
“Kepimpinan negara hendaklah diterajui oleh mereka yang benar-benar berwibawa, ikhlas, bermaruah, berintegriti dan kompeten dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi oleh rakyat.”
Memorandum itu juga menggesa agar semua ahli parlimen, dengan menghormati mandat rakyat, perlu berusaha mencapai perjanjian kerjasama mengenai Belanjawan 2021 berasaskan rundingan, perbincangan serta kerjasama antara ahli-ahli politik daripada pihak pemerintah dan pembangkang.
Perjanjian kerjasama perlu berlaku dengan komitmen kepada prinsip-prinsip Ketelusan (transparency), tadbir urus yang baik (good governance), reformasi institusi (institutional reform) dan penyelesaian masalah seluruh rakyat.
“Belanjawan 2021 perlu berlaku secara inklusif dengan menggabungkan bakat-bakat terbaik daripada kalangan ahli-ahli parlimen kedua-dua belah pihak merentasi parti; golongan profesional, teknokrat, pakar bidang dan mereka yang berpengalaman untuk menerajui kerajaan.”
Memorandum turut menggesa supaya Perdana Menteri dan barisan kabinet sewajarnya melaksanakan Belanjawan 2021 dengan memberikan keutamaan menjayakan aspirasi rakyat dan memulihkan ekonomi tanpa terikat kepada kepentingan parti politik. Manakala, kakitangan awam pula hendaklah berkhidmat secara profesional tanpa gangguan, pengaruh dan ugutan politik.
“Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) di Malaysia sebagai sektor ketiga selepas sektor kerajaan dan swasta perlu dilibatkan dengan lebih tersusun dalam usaha pembinaan semula negara dan dalam memantau keberkesanan pelaksanaan polisi dalam menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat.”
Bagi merealisasikan segala itu, Badlishah berkata, semua ahli parlimen perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan perbezaan pandangan politik.
“Kepentingan negara dan rakyat mesti menjadi keutamaan terpenting. Belanjawan 2021 yang diluluskan kelak perlu dipantau oleh semua pihak bagi memastikan pelaksanaannya dibuat dengan telus dan berkesan bagi membuahkan hasil yang terbaik,” tegasnya.
Pembentangan Belanjawan 2021 adalah agenda penting untuk negara yang akan dibentangkan hari ini di parlimen, yang mana tentunya rakyat mengharapkan Belanjawan 2021 yang luar biasa bagi mengatasi situasi luar biasa yang sedang mereka hadapi.
Belanjawan ini perlu dibahaskan dengan tuntas oleh semua ahli parlimen daripada kedua-dua belah pihak bagi mencapai satu kata sepakat dalam melaksanakan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara.
Sidang media tersebut dihadiri Presiden IKRAM, Dr Haji Mohd Parid Sheikh Ahmad, Setiausaha Agung, Hj Mahdzir Isa dan Ahli Jawatankuasa Pusat, Hj Shahrul Aman Mohd Saari.
Turut hadir secara maya beberapa ketua dan wakil pertubuhan antaranya Presiden MAPIM, Tn Hj Azmi Abd Hamid, Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann, Ketua Pegawai Eksekutif ACCIN, Tuan Hj Ir Mohd Jamaludin Mohamed Shamsudin, Presiden MIZAN, Puan Farwina Faroque, Ibrahim Khalil (Belia HARMONI), Leong (NSCAH) dan Puan Azlina Roszy (Yayasan Atfal Jannah) serta wartawan-wartawan.
Teks penuh memorandum: http://bit.ly/kolaborasi-politik