Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengikuti dengan dekat Perutusan Perdana oleh YAB Perdana Menteri di Putrajaya semalam, 9 Mei 2019, sempena setahun kerajaan Pakatan Harapan.
IKRAM mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas usaha gigih dalam membina semula negara.
Pelbagai Inisiatif reformasi institusi serta polisi dan tindakan tegas dalam memerangi rasuah amat dialu-alukan dan merupakan langkah penting bagi mewujudkan kerajaan yang bersih, telus dan efisien.
Tindakan kerajaan membawa mereka yang dikatakan mengkhianati negara ke muka pengadilan diharap akan memastikan keadilan dapat ditegakkan demi kedaulatan undang-undang (rule of law).
Langkah-langkah bijak bagi menyelamat dan memulihkan institusi-institusi penting negara seperti FELDA, Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah petanda komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat.
IKRAM memahami akan pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang satu tahun ini; antaranya barisan menteri yang belum berpengalaman, kedudukan dana negara yang terbatas serta komitmen rendah segolongan penjawat awam. Namun, dengan kesungguhan semua pihak, diharapkan kekurangan-kekurangan ini dapat diatasi pada tahun-tahun akan datang.
IKRAM juga sedar tentang usaha pelbagai pihak yang terlibat meniupkan semangat perkauman dan keagamaan sempit dalam kalangan rakyat sedikit sebanyak telah juga mengganggu kelancaran pentadbiran negara.
Namun, seperti yang YAB ucapkan, “Cukup-cukuplah mainkan isu kaum dan agama untuk kepentingan politik.”
IKRAM menyeru semua pihak untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negara atas segala-galanya.
IKRAM juga menyambut baik pendekatan Kemakmuran Bersama yang mengandungi Tiga Objektif Utama dan Tujuh Teras Strategik seperti yang diungkapkan dalam Perutusan Perdana semalam.
Dengan pendekatan Kemakmuran Bersama, IKRAM percaya ekonomi negara akan lebih mampan, modal sosial akan dapat dimantapkan serta agihan kekayaan akan lebih adil dan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Ini selaras dengan ciri kelapan dan kesembilan Negara Rahmah yang diperjuangkan oleh IKRAM; Ekonomi yang Mampan dan Agihan Kekayaan yang Adil.
Meskipun kerajaan memberi markah 39.01 peratus bagi pencapaian tahun pertama, asas-asas yang telah diletakkan adalah kukuh dan IKRAM percaya pencapaian yang lebih cemerlang dapat diperoleh pada tahun-tahun seterusnya.
IKRAM akan terus berusaha untuk bersama-sama menyumbang bagi membina Malaysia Baharu yang lebih gemilang serta melahirkan rakyat yang berwawasan, kompeten dan berintegriti.
Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)