Bersyukur kepada Allah SWT kerana kita sekali lagi diberi kesempatan untuk menyambut bulan Ramadan yang penuh rahmah dan barakah pada tahun 1440 Hijrah dengan berpeluang mendapatkan kebaikan-kebaikan yang dijanjikan Allah SWT sepanjang bulan ini.
Ia merupakan bulan yang sepatutnya dipenuhi dengan kegiatan-kegiatan amal soleh yang akan menggandakan ganjaran Allah SWT berbanding dengan bulan-bulan yang lain, selain daripada pembasmian dosa-dosa lampau apatah lagi terdapat padanya satu malam (lailatulqadar) yang mana ganjarannya lebih baik daripada 1,000 bulan.
Lantaran itu, umat Islam dituntut berjuang, berusaha dengan bersungguh-sungguh sepanjang bulan Ramadan untuk melipatgandakan amal-amal soleh, memperbaiki diri dan menyantuni keluarga, lingkungan dan masyarakat dengan amalan-amalan kebaikan dan kebajikan agar kita menjadi umat yang bertakwa sebagai balasan Allah SWT pada penghujungnya.
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu (ibadat) puasa sepertimana ia telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu agar kamu bertakwa.” (al-Baqarah: 183)
Kita semuanya dituntut dalam bulan Ramadan untuk menyempurnakan ibadah puasa, membayar zakat fitrah untuk diagih-agihkan kepada lapan golongan yang berhak terhadapnya, membanyakkan sedekah kepada golongan yang memerlukan, di samping sentiasa membaca serta memahami isi kandungan kitab suci al-Quran, hadis-hadis Nabi SAW dan buku-buku yang bermanfaat.
Selain itu, kita juga dituntut untuk melaksanakan solat sunat tarawih, melazimi qiamullail, berzikir, memuji serta mengagungkan Allah SWT, menyediakan juadah kepada orang yang berpuasa, meningkatkan amalan dan ibadah sepanjang sepuluh hari terakhir Ramadan, beriktikaf di masjid dan lain-lain.
Sempena Ramadan ini, IKRAM tidak ketinggalan memberikan peluang kepada para dermawan untuk membantu mereka yang memerlukan seperti program Rayuan Ramadhan anjuran Yayasan Ikram Malaysia, Majlis Iftar Perdana anjuran Hidayah Centre Foundation (HCF) untuk sokongan mualaf serta sumbangan pek makanan dan iftar untuk umat Islam di kawasan konflik oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).
Semoga bulan Ramadan tahun ini akan membebaskan diri kita semua dari semua jenis dosa, belenggu kehidupan, membebaskan umat seluruh dunia daripada semua rintangan yang menghalangnya mencapai kemajuan, kemuliaan dan kemenangan dalam sejarah kehidupannya pada masa kini dan masa hadapan.
Semarakkan Ramadan, Raih Ketakwaan.
Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia