Menurut Pengerusi MyCARE Johor, Prof. Madya Dr Mohd Zin Kandar, melalui program ‘Sayangkan Anak-anak Yatim’ dan ‘Masih Ada Yang Sayang’, sejumlah RM170,000 telah dikumpul dan akan digunakan khas untuk tujuan tersebut.
“Semenjak awal tahun 2017, program-program di atas telah dijalankan di rangkaian Tadika dan Taska Iman yang bertujuan menanamkan bibit-bibit kasih dan sayangkan kawan-kawan sebaya mereka di negara-negara bergolak,” jelasnya.
Tambah beliau, kanak-kanak tadika turut dididik supaya menabung untuk rakan mereka di Palestin, Syria dan Rohingya dengan bimbingan guru-guru tadika dan ibu bapa masing-masing.
“Tabung MyCARE telah diedarkan kepada 1,200 kanak-kanak di Tadika dan Taska Iman di 20 cawangan di Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar pada awal sesi persekolahan 2017 dan telah dikumpulkan semula pada akhir sesi pengajian baru-baru ini.”
Dengan sumbangan tersebut, kata Dr Zin lagi, Tadika dan Taska Iman telah berjaya menaja anak-anak yatim Rohingya seramai empat orang dan 55 anak-anak Yatim Palestin di Gaza.
“Setiap mereka (anak yatim Gaza) akan menerima USD50 (RM190) sebulan melalui tabung tajaan ini yang diuruskan oleh Pejabat MyCARE di Gaza.”
Menurutnya, ini bermakna anak-anak di Tadika dan Taska Iman telah membantu rakan-rakan mereka di Gaza setiap bulan bagi menampung keperluan makanan dan pendidikan mereka.
Ujar beliau, secara keseluruhan, MyCARE telah menaja hampir 2,500 anak-anak yatim sumbangan rakyat Malaysia termasuk daripada program di Tadika dan Taska Iman.