Menurut beliau, gagasan tersebut menepati visi IKRAM Siswa yang inginkan masyarakat kampus harmoni dengan sistem Islam menjelang tahun 2020 dan juga gagasan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), organisasi induk yang memayungi IKRAM Siswa yang menginginkan Malaysia menjadi Negara Rahmah.
Beliau seterusnya menggariskan gagasan ‘Kampus Harmoni Menuju Negara Rahmah’ yang terdiri daripada lapan ciri iaitu:
1. Gaya Hidup Warga Kampus yang Sihat, Mesra dan Berakhlak;
2. Warga Kampus Bebas Bersuara dan diiktiraf;
3. Pentadbiran Kampus yang Cekap dan Berintegriti;
4. Pengamalan Budaya Politik Nilai dalam Pilihanraya Kampus;
5. Penyuburan Budaya Ilmu dan Intelektualisme;
6. Penghasilan Mahasiswa Berkualiti, Berkepimpinan dan Berdaya Saing;
7. Kampus Selamat, Berkebajikan dan Mesra Mahasiswa; dan
8. Peranan Kampus dalam isu-isu Masyarakat, Negara dan Antarabangsa diiktiraf
Tambah Marwan, gagasan ‘Kampus Harmoni Menuju Negara Rahmah’ ini bukan milik IKRAM Siswa sahaja, sebaliknya ianya merupakan suatu gagasan yang wajar disokong oleh mahasiswa seluruh Malaysia kerana gagasan ini amat menepati ciri keadilan dan kesejahteraan yang diimpikan semua.
Dalam Ucapan Dasar tersebut, beliau turut menyeru mahasiswa untuk mengamalkan budaya politik nilai sebagai salah satu budaya politik baru yang wajar diketengahkan dalam Pilihan Raya Kampus (PRK).
Beliau seterusnya menyebut bahawa politik nilai mengajar kita untuk berpolitik secara berhujah dan juga berpolitik berdasarkan merit, bukannya politik jatuh menjatuhkan mahupun politik pembunuhan karakter yang telah sedia berleluasa dalam budaya politik di luar sana.
“Politik nilai mengajar mahasiswa untuk berlumba-lumba memberikan khidmat yang terbaik kepada kampus.
Siapa yang terbaik dalam menawarkan khidmatnya, dialah yang layak untuk menang walau daripada kelompok mana sekalipun dia datang.
Mempertahankan kekuasan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atas dasar sentimen tanpa memberikan pulangan yang diharapkan oleh mahasiswa adalah bukan daripada objektif yang kita impikan daripada pengamalan politik nilai,” ujar Marwan.
HARMONI’15 telah diadakan buat julung kalinya di Dewan Sri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Bangi, anjuran IKRAM Siswa dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Mahasiswa (JKPM) IKRAM dan Asean Young Leaders Forum (AYLF) dihadiri hampir 2,000 orang mahasiswa IKRAM dari seluruh Malaysia.
HARMONI’15 yang dirasmikan oleh Presiden IKRAM, Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, dihadiri Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) IKRAM, wakil Ketua Wanita IKRAM, Dr Hjh Roselainy Abdul Rahman serta para Pengerusi JKPM IKRAM Negeri.
Turut hadir adalah wakil gerakan mahasiswa luar negara yang terdiri daripada Kelab IKRAM Mesir, Kelab IKRAM Jordan, ARIF Perancis, AMIR Jepun, World Assembly of Muslim Youth (WAMY) dan juga wakil gerakan mahasiswa dari dalam negara iaitu Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), HALUAN Siswa, Pemuda Sosialis Malaysia, Gerakan Demokratik Belia dan Mahasiswa Malaysia (DEMA), Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) serta wakil NGO Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH).
IKRAM Siswa adalah sayap mahasiswa di bawah Pertubuhan IKRAM Malaysia, kini mempunyai 26 cawangan di seluruh Malaysia dan keahlian seramai 4,000 orang dengan misi antaranya untuk memperkasakan dakwah dan tarbiah dalam mengarus perdanakan fikrah Islam di kampus serta melahirkan tokoh pemimpin yang holistik dalam kalangan mahasiswa.
Foto HARMONI’15:
FB IKRAM Siswa: https://www.facebook.com/IkramSiswaNasional
Web IKRAM Siswa: http://www.ikramsiswa.com/