Konflik yang berlaku di Yaman telah menyebabkan satu keadaan yang agak tegang antara dua kelompok yang terlibat iaitu kumpulan Houthi, dan para ulama’ dan kumpulan pendakwah di Yaman. Dalam hal ini, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah mengikuti setiap perkembangan yang berlaku di Yaman sejak mingggu pertama konflik ini berlaku dan IKRAM amat bimbang dengan situasi ini.
Oleh yang demikian, IKRAM telah mengambil beberapa langkah awal dan bertindak pantas dengan menghubungi pihak berwajib iaitu Wisma Putra untuk mengetahui perkembangan dan situasi yang sebenar di Yaman serta mengharapkan tindakan pantas Wisma Putra untuk menjaga dan mengawasi keselamatan pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut di sana.
Di samping itu, atas dasar kecaknaan dan keprihatinan terhadap konflik yang berlaku di Yaman ini, ahli-ahli IKRAM telah pun menghulurkan bantuan dan sumbangan semampunya melalui Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA).
IKRAM juga ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia melalui kedutaannya di Yaman atas pengurusannya yang cekap dan pantas. Antara tindakan mereka ialah menyediakan dan menempatkan pelajar-pelajar Malaysia di satu penempatan sementara yang selamat dan jauh dari tempat kejadian agar terjamin keselamatan pelajar-pelajar tersebut.
Terkini, hampir semua pelajar Malaysia telah selamat kembali ke tanah air. Ada di kalangan mereka kembali dengan kos dan perbelanjaan sendiri dan sebahagian lain atas tangunggan Kedutaan Malaysia di Yaman.
IKRAM menyeru rakyat Malaysia agar terus mendoakan keamanan dan keselamatan buat Yaman, dihindarkan daripada sebarang huru hara, rampasan kuasa, ugutan kuasa asing dan hak parti majoriti dalam sistem demokrasi adil dapat dipulihkan demi menjaga kepentingan rakyat dan agama Islam di Yaman.
Akhirnya, IKRAM mengucapkan sekali lagi tahniah kepada Kerajaan Malaysia dan sentiasa mengharap agar Kementerian Pendidikan pula, membantu dan mencari penyelesaian terhadap pelajar-pelajar Malaysia di Yaman untuk menyambung pelajaran mereka, sekiranya keadaan di Yaman tidak menjanjikan sesuatu yang terbaik buat mereka.
Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus
Timbalan Presiden &
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa
Pertubuhan IKRAM Malaysia