1. Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia mengecam dan menentang sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang memalsukan dan menyebarkan berita kononnya berlaku kejadian umat Islam dikristiankan di sebuah gereja.
2. Salah seorang aktivis Wanita IKRAM, Puan Zaiton Ismail yang terdapat dalam gambar tersebut, terkejut dengan dakwaan tersebut dan sedih kerana dirinya dikaitkan dengan berita palsu dan jahat itu. Beliau mengesahkan bahawa sebenarnya gambar yang memperlihatkan peserta duduk dibangku kayu tersebut di ambil di dewan utama Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) di Bukit Tungku pada 29/2/2012 dalam satu majlis anjuran Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) yang membincangkan Dasar Keluarga Negara.
3. Apapun niat blogger tersebut, ternyata perbuatannya itu telah mewujudkan kesan negatif kepada individu terbabit dan masyarakat secara umumnya. Individu yang dikaitkan dengan berita buruk yang palsu itu merasa malu, sedih dan tertekan sedangkan masyarakat umum samada masyarakat Islam dan yang belum Islam terheret sama dalam fitnah yang menjejaskan keharmonian kehidupan masyarakat berbilang fahaman ini. Ternyata niat buruk pihak yang suka menangguk di air yang keruh ini berjaya menggugat persefahaman dan keharmonian antara rakyat yang telah terbentuk sekian lama.
Wanita IKRAM dengan ini menuntut supaya tindakan-tindakan berikut diambil:
1. Pihak berkenaan BERHENTI SERTA MERTA penyebaran berita palsu berniat jahat ini dan memohon maaf secara terbuka kepada pihak-pihak yang mereka khianati ini.
2. Pihak berkuasa MENJALANKAN SIASATAN terperinci bagi mengenalpasti dalang di sebalik penyebaran berita palsu dan fitnah ini, yang bukan sahaja menimbulkan fitnah peribadi tetapi membabitkan hasutan dan menimbulkan ketegangan hubungan agama pelbagai kaum di dalam negara ini.
3. MENGAMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG yang sewajarnya kepada pihak yang menabur fitnah ini. Sekiranya peruntukan yang sedia ada tidak mencukupi, maka kami menyeru agar dikemaskinikan akta dan undang-undang yang sedia ada untuk menyekat sebarang pihak daripada menyalahgunakan kebebasan menyatakan pandangan di semua saluran komunikasi tanpa mengambil kira pandangan dan sensitiviti orang lain.
4. Menasihati orang ramai supaya TIDAK MUDAH TERPEDAYA dengan sebarang berita berunsur fitnah seperti ini terutama di zaman siber ini. Jadikanlah budaya untuk setiap kita memeriksa kesahihan setiap berita yang kita perolehi untuk mengelakkan kita terjatuh dalam kancah persengketaan.
Semoga Allah melindungi kita dari bencana fitnah.
Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita IKRAM Malaysia
Foto: Peguam IKRAM bersama beberapa Ahli JK Wanita IKRAM Pusat bersama kenyataan media dan salinan laporan polis Pn Zaiton Ismail (tengah)