Acara dimulakan sejurus selepas solat Isyak berjamaah di Surau Madrasatul Islamiah dengan ucapan pembukaan oleh Pengerusi Majlis, DJ Idris Muhamad yang menyeru orang ramai untuk bersama-sama menonton persembahan tersebut.
Tayangan multimedia siri Konvoi ‘Aqsa2Gaza’ dimulakan dengan sorotan dan seruan perjuangan, kemudian disusuli pula tayangan video ‘Pelayaran Flotilla 1- Misi Mavi Marmara’ yang mengandungi ucapan semangat dan mesej perjuangan oleh Dr Hafidzi, Ust Hasanuddin dan juga Syarifah Mahiza dikongsikan kepada masyarakat umum pada malam itu.
Kelihatan orang ramai yang menyaksikan terpegun, kemungkinan pertama kali mereka menyaksikan tokoh-tokoh Aqsa Syarif menyampaikan amanat. Video ringkas yang baru diserahkan oleh NGO Wafrah dari Lubnan turut dikongsikan, kisah yang menceritakan keperitan kehidupan seorang balu dan anak-anak yatim, hidup dalam serba kekurangan di bumi Gaza.
Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Karnival Belia dan Masyarakat, Sdr Ahmad Yusri Azme yang ringkas dan padat. Kemudian dua buah lagu Inggeris, Look Into My Eyes dan Freedom, dendangan Anas Tahir (adik Faizal Tahir) membuatkan penonton merasakan suasana persembahan ini bukanlah hanya untuk berhibur tetapi membawa mesej perjuangan yang jelas.
Seterusnya sebuah sajak telah disampaikan oleh Sdr Hassan Imran yang berasal dari Hebron, Baitul Maqdis. Beliau adalah seorang pelajar UIAM yang mewakili NGO PCOM (Palestinian Cultural Organisation Malaysia) yang agak baru ditubuhkan. Beliau menyampaikan sajak dalam Bahasa Arab yang diterjemahkan oleh Ust Kaab Azme yang bertajuk “Jangan Kamu Semua Kata…” dengan penyampaian yang bersemangat dan dedikasi.
Persembahan terakhir dari kumpulan ARRI Band yang dianggotai oleh lima orang anak muda menyampaikan dua buah lagu, diselang seli dengan sketsa spontan DJ Idris Mohamad yang melaungkan kata-kata simbolik perjuangan untuk memanggil jiwa yang lesu supaya bangun melakukan sesuatu bagi membantu mereka yang di zalimi di Palestin dan pembebasan Palestin adalah suatu kemestian.
Majlis pada malam tersebut diakhiri dengan “Doa Buat Palestin Tercinta” disampaikan oleh Ustaz Kaab Azme dengan penuh syahdu dan khusyuk.
Turut hadir pada malam persembahan tesebut ialah Dr Tahir Abd Rahman, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif Berhad, Sdr Muhamad Munawer Ismail, Pengurus Besar Aqsa Syarif dan Sdr Zun Arif Hakim, Pengerusi Aqsa Syarif Selangor.
Selain malam persembahan, karnival dua hari ini turut diwarnai dengan jualan amal dan pameran Aqsa Syarif, Hidayah Centre, gerai jualan, sukaneka, senamrobik, ‘Jumble Sale’, futsal, pertandingan memasak, qiyamullail, kuliah Subuh dan tarik tali dan pelbagai lagi acara menarik di perkarangan Rumah Pangsa AU2.