Setiap tahun menjelang 17 Ramadan, umat Islam menyambut hari Nuzul al-Quran. Bersempena dengan hari yang sangat penting dan bersejarah itu (walaupun tiada persepakatan dari segi tarikh sebenar peristiwa itu), elok kita bermuhasabah sejauh manakah kita telah melaksanakan tanggungjawab sebagai umat al-Quran?
Al-Quran adalah sebuah kitab suci yang tiada tandingannya. Apakah tanggungjawab kita terhadap kitab suci tersebut? Sekurang-kurang terdapat enam tanggungjawab yang wajib kita laksanakan:
Pertama: Beriman kepada al-Quran dengan sebenar-benar iman
Kita wajib beriman bahawa al-Quran adalah kitab suci, kalam Allah yang sangat benar lagi terpelihara daripada sebarang kekurangan, kesilapan dan kebatilan. Hal ini telah dinyatakan dengan cukup jelas dan tegas di samping dalil-dalil aqli yang tidak dapat dipertikaikan lagi.
Firman Allah Taala:
تَنْزِيلُ الْكِتَابِ لَا رَيْبَ فِيهِ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Diturunkan Al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, daripada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (As-Sajadah: 2)
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِالذِّكْرِ لَمَّا جَاءَهُمْ ۖ وَإِنَّهُ لَكِتَابٌ عَزِيزٌ
لَا يَأْتِيهِ الْبَاطِلُ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ ۖ تَنْزِيلٌ مِنْ حَكِيمٍ حَمِيدٍ
“Sesungguhnya orang-orang yang kufur engkar terhadap Al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi, yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan daripada mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan daripada Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.” (Fussilat: 41-42)
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا
“Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (An-Nisaa’: 82)
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
“Sesungguhnya Kami yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Al-Hijr: 9)
Kedua: Membaca al-Quran dengan betul
Membaca al-Quran adalah satu daripada ibadah yang sangat besar pahalanya. Terdapat banyak ayat dan hadis mengenai kelebihan membaca al-Quran.
Antaranya:
إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَنْ تَبُورَ
“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” (Faathir: 29)
لَيْسُوا سَوَاءً ۗ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ أُمَّةٌ قَائِمَةٌ يَتْلُونَ آيَاتِ اللَّهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَهُمْ يَسْجُدُونَ
“Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam, sedang mereka sujud (mengerjakan sembahyang).” (Ali ‘Imran: 113)
Daripada Abi Umamah RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Bacalah al-Quran. Sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari qiamat nanti memberi syafa’at kepada tuannya (orang yang membacanya).” (HR Muslim)
Daripada Ibnu Umar RA, Nabi SAW bersabda maksudnya:
“Tiada iri hati kecuali kepada dua orang: orang yang Allah anugerahkannya (kebolehan membaca) al-Quran, lalu dia membacanya pada waktu malam dan siang, dan orang yang Allah berikannya harta, lalu dia infaqkan hartanya (di jalan Allah) siang dan malam.” (Mutafaq ‘alaih)
Ketiga: Tadabbur untuk memahami ayat-ayatnya dan mempelajari tafsirannya
Al-Quran diturunkan untuk memimpin manusia ke jalan yang lurus, mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya, menyelamatkan mereka daripada kesesatan, kejahilan dan kesyirikan kepada kebenaran serta kebahagiaan dunia dan akhirat. Semua itu tidak akan terlaksana sekiranya manusia tidak memahami apa yang dibicarakan dalam al-Quran.
Maka menjadi kewajipan bagi umat yang menerima kitab suci yang mulia ini memahami dan mempelajarinya dengan sungguh-sungguh. Allah Taala memerintahkan agar mentadabbur dan mengecam keras mereka yang tidak memperhatikan ayat-ayat suci yang telah diturunkan-Nya:
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
“Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?” (Muhammad: 24)
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Sod: 29)
Keempat: Mengamalkan apa diperintahkan dalam al-Quran dan menjauhi larangannya serta menjadikannya rujukan dalam semua urusan kehidupan
Inilah tanggungjawab yang paling penting. Segala suruhan dan larangan Allah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan hamba-Nya. Allah telah memilih umat ini sebagai umat yang adil, umat yang sederhana, umat yang terbaik dari kalangan manusia.
Adakah dengan membaca dan mengkaji al-Quran sahaja sudah cukup untuk menjadikan kita umat yang bersifat seperti di atas? Pastinya tidak. Sifat-sifat itu akan hanya terserlah apabila isi kandungan al-Quran itu dilaksanakan dengan betul sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi SAW.
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ ۚ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.” (Aali ‘Imran: 110)
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيبًا مِنَ الْكِتَابِ يُدْعَوْنَ إِلَىٰ كِتَابِ اللَّهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ يَتَوَلَّىٰ فَرِيقٌ مِنْهُمْ وَهُمْ مُعْرِضُونَ
“Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang (Yahudi) yang telah diberikan sebahagian dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di antara mereka. Kemudian satu puak daripada mereka berpaling engkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).” (Ali ‘Imran: 23)
Kelima: Menyampaikan
Setiap orang yang telah diberikan ilmu, diberikan hidayah memahami al-Quran ini tidak harus menyembunyikannya untuk diri sendiri sahaja. Mereka wajib menyampaikan kepada manusia lain sekadar yang diketahui dan difahaminya.
Daripada Abdullah bin ‘Amru, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.” (HR Bukhari)
إنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَىٰ مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ ۙ أُولَٰئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللَّاعِنُونَ
إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَبَيَّنُوا فَأُولَٰئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ ۚ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Baqarah:159-160)
Keenam: Mempertahankan kebenaran dan kedaulatan al-Quran walaupun terpaksa mengorbankan harta dan nyawa sekalipun
Kesediaan untuk berkorban adalah bukti ketulenan dan ketulusan iman yang tersemat di dalam hati.
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Al-Hujuraat: 15)
Oleh: Ustazah Maznah Daud
Sumber: Blog Zaadut-Taqwa