Sepuluh muka surat ayat-Nya

“Cikgu, saya baca yang ni ya. PKP hari tu saya dah khatam.” kata Arif kepadaku. Juz yang dibaca sekarang ialah Juz 23. Memang laju untuk murid berumur 9 tahun sepertinya.

 

“Wah, banyaknya Arif dah baca. Setiap hari Arif mengaji ya?”

“Ya cikgu, setiap hari ibu cakap mesti mengaji 10 muka surat.”

 

“Bagusnya Arif. Kalau Arif tak mengaji macam mana? Ibu marah tak?”

“Ibu tak marah. Tapi ibu cakap sebelum tidur tu mesti habiskan juga 10 muka surat.”

 

Cikgu terdiam. Rasa malu sendiri. 

“Ibu garang tak?”

“Ibu tak garang.”

 

“Ibu pun rajin mengaji ya di rumah?” Cikgu cuba meneka. 

“Ya cikgu, kalau ibu pula mesti mengaji 20 muka surat setiap hari.”

“Masya-Allah.”

 

Ibu Arif bukan seorang Ustazah, bukan juga seorang cikgu. Dia bekerja di sebuah kilang. 

 

“Selalunya petang lepas balik kerja, ibu akan duduk mengaji di bilik. Kalau tak habis, sambung malam selepas isyak.” 

 

Patutlah bacaan Arif lancar sahaja. Al-Quran tu dah jadi ‘makanan’ dia, setiap hari wajib mengaji 10 muka surat.

 

Dan yang paling mengagumkan, ibu Arif tidak perlu marah-marah, tidak perlu jerit cubit, tidak perlu jegil dan pukul. Arif sedia tahu yang setiap hari dia perlu habiskan 10 muka surat al-Quran.

 

Ibunya hanya menjadi model yang terbaik untuk anaknya. Sebelum menyuruh anaknya mengaji 10 muka surat, diwajibkan dirinya mengaji 20 muka surat al-Quran.

 

Terkadang kita hanya tahu mengarah-arah dan marah. Anak perlu begitu, begitu dan begini.

 

Tapi kita terlupa yang matanya lebih laju menangkap apa yang dipandang berbanding mendengar apa yang didendang.

 

Suruh anak rajin solat, kita pun solat di akhir-akhir waktu. Suruh anak rajin membaca, kita pun setahun sekali memegang buku. 

 

Suruh anak hormat orang tua, kita pun terkadang terkeluar bahasa makian tidak sedap telinga.

 

Kita tidak perasan anak sentiasa memandang pada ‘cermin’ kita.

 

Kita tahu kita bukan yang terbaik, tetapi biarlah banyak perkara baik-baik yang anak belajar daripada kita. Mahu anak yang soleh dan solehah, biar kita usaha jadi soleh dan solehah dahulu.

 

Siti Rabi’atul Adawiyah S. Mohsain ialah seorang pendidik yang berasal dari Melaka. Beliau mula menceburi bidang penulisan sejak tahun 2019 dan telah menulis dalam beberapa buah buku antologi puisi dan cerpen. 

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia