Kemenangan Zohran Mamdani baru-baru ini sebagai Datuk Bandar New York City adalah cerminan gelombang baharu dalam cara rakyat memilih pemimpin.
Ia menunjukkan bagaimana dunia pemikiran generasi hari ini terutama pengundi muda seperti Gen-Z semakin berani menolak politik lama yang dibina di atas identiti, kesetiaan parti dan jaringan elit, sebaliknya memilih pemimpin yang tegas melawan korupsi, ketidaksamarataan dan pengaruh oligarki.
Apabila sebuah masyarakat sampai pada tahap jemu, penat dan hilang keyakinan terhadap struktur sedia ada, undian mereka berubah menjadi bentuk penentangan paling senyap tetapi paling berkesan dengan menolak status quo dan memilih calon yang benar-benar dirasakan mewakili suara mereka.
Mamdani menang kerana beliau dilihat sebagai antitesis kepada politik yang sudah lama dipersepsi sebagai tersangkut dalam “loop” yang sama iaitu sistem yang menyebabkan golongan elit makin kaya dan rakyat biasa makin terhimpit.
Kemenangan beliau memberi isyarat bahawa politik masa depan sedang berubah dan sesiapa yang tidak turut serta dalam perubahan ini akan ditentang.
Tidak lagi terikat pada identiti politik tradisional
Satu perkara penting yang ditunjukkan oleh kemenangan Mamdani ialah perubahan dalam worldview pengundi terkini. Dahulu, politik banyak berasaskan identiti seperti dipengaruhi kaum, agama, kelas, nostalgia parti dan kesetiaan yang diwarisi turun-temurun.
Namun kini, corak pemilihan pengundi telah berubah, khususnya dalam kalangan Gen‑Z. Mereka tidak lagi mahu politik sekadar retorik kosong dan menuntut hasil yang nyata. Mereka mahukan pemimpin yang berintegriti dan menepati janji. Pemimpin yang tidak tunduk pada tekanan elit dan berani mencabar status quo yang melindungi golongan ultrakaya.
Transformasi ini turut kelihatan di negara lain seperti Bangladesh, Nepal, Sri Lanka dan Korea Selatan. Semakin ramai anak muda menolak status quo yang gagal menurunkan kos hidup, gagal mengekang korupsi dan gagal membina masa depan, sementara pemimpin mereka hidup bermewah tanpa menyelami kehidupan realiti rakyat biasa.
Bangladesh dan Nepal: Suara anak muda menolak oligarki
Di Bangladesh, ribuan anak muda turun ke jalan raya, menjerit menentang pengangguran yang membelenggu, rasuah yang meratah sistem dan politik kroni yang menguasai kuasa serta peluang. Negara itu telah lama dibelenggu skandal besar dan jaringan elit ekonomi-politik yang menguasai perniagaan utama.
Di Nepal pula, perubahan politik yang pesat beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan naratif yang hampir sama iaitu rakyat mendesak agar prinsip integriti menjadi asas pemerintahan. Mereka menolak politik yang dibawa oleh segelintir elit yang memonopoli kuasa ekonomi dan politik.
Apa yang sedang berlaku ialah generasi baharu semakin sedar realiti sebenar. Mereka melihat bagaimana oligarki mengawal ekonomi, mempengaruhi dasar dan merompak peluang masa depan mereka.
Maka lahirlah gelombang yang sama iaitu penolakan terhadap politik yang dikawal oleh pelobi, pemodal atau penderma politik. Gelombang inilah yang menyumbang kepada kemenangan Mamdani dan ia juga yang sedang membentuk pentas politik dunia.
Malaysia alami cabaran oligarki?
Malaysia mungkin tidak menghadapi oligarki yang ekstrem seperti sesetengah negara, tetapi benih pengaruh elit yang cuba mencengkam dasar negara seakan-akan wujud.
Sebagai contoh, apabila Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menjalankan operasi mengekang lori yang terlebih muatan demi keselamatan rakyat, ada suara-suara dari pihak tertentu yang menganggap tindakan itu tidak mesra perniagaan.
Naratif sebegini perlu dibendung dari awal kerana ia bukan sekadar isu probisnes atau antibisnes, tetapi melibatkan perkara yang jauh lebih penting iaitu kebajikan serta keselamatan rakyat, keadilan undang-undang dan kesejahteraan majoriti masyarakat.
Apabila kerajaan atau pihak berkuasa melaksanakan dasar demi keselamatan, keadilan, alam sekitar atau kesejahteraan masyarakat tetapi dikritik semata-mata atas alasan “tidak probisnes”, ia menandakan wujudnya pengaruh halus yang cuba menentukan hala tuju negara menurut kepentingan pihak tertentu, bukannya demi kepentingan rakyat.
Di Amerika Syarikat, baik pihak Republikan mahupun Demokrat, kedua-duanya dikritik kerana terlalu bergantung pada dana politik daripada golongan ultrakaya.
Fenomena politik moden yang sering dicengkam oleh kepentingan bisnes besar ini menegaskan betapa pentingnya wujud undang-undang yang jelas dan tegas mengenai pembiayaan dana politik serta tadbir urus yang berintegriti.
Kerajaan yang probisnes membuka ruang bagi pertumbuhan ekonomi dan peluang kepada semua, namun harus tidak tunduk atau dicangkuk oleh kepentingan segelintir. Kekayaan negara perlu dibina tapi tanpa memusatkan nikmat itu hanya pada kelompok tertentu.
Apa pengajaran untuk PRN Sabah?
Menurut data Bank Dunia terkini, Malaysia mempunyai Gini Index kira-kira 39 (atau 0.39 pada skala 0-1). Ia bermakna ketidaksamarataan pendapatan masih agak tinggi.
Laporan Bank Dunia juga menyatakan bahawa walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia inklusif di beberapa bahagian, namun pendapatan masih sangat tertumpu pada kelompok atas. Golongan miskin masih menghadapi halangan dalam mobiliti sosial, menunjukkan bahawa struktur ekonomi negara masih berat sebelah.
Daripada situasi ini, terdapat beberapa pengajaran penting bagi politik Malaysia hari ini, terutamanya untuk parti-parti yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.
Gerakan politik perlu menyesuaikan diri dengan arus perubahan masyarakat. Parti-parti politik tidak lagi boleh berpegang pada formula lama. Rakyat kini lebih celik, berani bersuara dan kritikal terhadap pemimpin yang tidak telus.
Integriti bukan lagi nilai tambahan, sebaliknya telah menjadi komoditi politik yang utama. Pengundi tidak lagi sekadar tertarik pada manifesto berbunga-bunga, tetapi menilai rekod kerja dan kebersihan rekod setiap pemimpin.
Pemimpin perlu benar-benar komited menegakkan integriti, berlandaskan keadilan ekonomi dan kesejahteraan sosial. Dengan pendekatan ini, politik dapat kembali menjadi medan untuk membela rakyat, bukan sekadar arena untuk kepentingan segelintir elit.
Lebih penting lagi, pembaharuan politik mesti merangkumi aspek pembiayaan politik. Selagi wang besar menguasai arus politik, selagi itu keadilan dasar sukar tercapai kerana ia sering tergadai kepada kepentingan golongan elit.
Kekayaan negara harus diagihkan dengan adil untuk semua, bukan hanya untuk kelompok terpilih. Negara perlu tumbuh dengan pemalar Gini (Gini coefficient) yang rendah dan seimbang, sebagai tanda kemajuan sebenar.
Tindakan tegas terhadap rasuah dan pengaruh oligarki mesti disokong, bukannya disabotaj. Apabila agensi penguatkuasa menjalankan tugas mereka, sepatutnya tiada ruang untuk tangan-tangan halus yang cuba menjaga kepentingan “bisnes” pihak tertentu.
Negara yang berintegriti adalah negara yang selamat, stabil dan disegani. Dalam jangka panjang, inilah bentuk kerajaan yang paling probisnes.
Politik baharu, tidak takut oligarki
Kemenangan Zohran Mamdani dan penentangan politik elit di serata dunia adalah satu amaran dan satu harapan. Ia amaran kepada semua pemimpin yang masih percaya politik boleh dikawal oleh golongan pemodal atau elit. Ia juga merupakan harapan bahawa generasi muda sedang membawa era politik yang lebih matang, lebih berani dan lebih telus.
Jika kita benar-benar mahu membina negara maju yang adil, kita mesti memastikan oligarki tidak menguasai dasar, pembiayaan politik direformasi, agihan kekayaan lebih seimbang dan integriti menjadi nadi pemerintahan kerana akhirnya, sebuah negara tidak maju dengan kekayaan hanya segelintir tetapi dengan kesejahteraan majoriti.
Dalam konteks itu, suara rakyat terutama generasi muda sedang menyatakan sesuatu yang sangat jelas. Mereka mahu politik yang tidak tunduk kepada golongan kaya, tetapi memihak kepada kesejahteraan majoriti rakyat biasa.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Sumber: https://www.worldbank.org/en/country/malaysia/overview




