“Bantuan (Zammilouni 2.0) kali ini melibatkan lima buah keluarga pelarian Syria yang tinggal di kawasan Balad Irbid,” demikian ujar wakil i4SYRIA Jordan.
Delegasi misi tersebut turut berkongsi kisah tentang si kecil, Zain Syam yang berumur 4 tahun.
“Terdapat bekas jahitan pembedahan di kedua-dua belah pinggang kiri dan kanan si comel ini. Ibunya perlu membawa si kecil ini ke hospital setiap dua bulan untuk menerima rawatan lanjutan.”
Tambahnya lagi, ayah si kecil ini walaupun telah selesai menjalani rawatan khas di Jerman, tetapi masih tetap berada di sana kerana urusan birokrasi yang sukar menyebabkan tidak dapat kembali ke pangkuan keluarga dalam masa terdekat.
“Jauh di sudut hati, saya merasakan anak kecil ini begitu dahagakan kasih sayang daripada seorang ayah.”
Walau bagaimanapun, kehadiran beberapa wakil i4SYRIA Jordan yang juga mahasiswa Malaysia di sana ke teratak mereka ini untuk menyampaikan bantuan sedikit sebanyak telah menceriakan anak-anak kecil ini.
Selain Zammilouni 2.0, i4SYRIA Jordan juga turut menjalankan projek “Homeschooling” yang mensasarkan beberapa keluarga pelarian Syria di Irbid.
“Antara objektif projek ini adalah bagi memastikan anak-anak pelarian Syria mendapat pendidikan yang seimbang daripada segi akademik dan modal insan,” demikian menurut wakilnya.
Setelah menziarahi rumah-rumah pelarian Syria di Irbid, i4SYRIA Jordan telah mengenal pasti masih ada anak-anak pelarian Syria yang tidak bersekolah dan bagi anak-anak yang bersekolah pula masih ada yang kurang cemerlang yang memerlukan sesi pembelajaran di luar bilik darjah.
“Oleh itu, Biro Pendidikan i4SYRIA Jordan mengambil inisiatif untuk mengadakan tuisyen secara percuma kepada beberapa keluarga pelarian Syria yang terpilih di Irbid.”
i4SYRIA Jordan telah memulakan projek “Homeschooling” untuk keluarga Umm Ahmad, seorang ibu tunggal yang mana suaminya telah syahid di Syria yangmempunyai lima orang anak di Jordan, dua orang di Syria dan seorang di Turki.
“Kami menjalankan tuisyen mengikut tahap pendidikan anak-anak tersebut dengan menekankan subjek yang masih belum dapat dikuasai oleh mereka seperti Bahasa Inggeris dan Matematik.”
Selain itu, i4SYRIA Jordan juga menerapkan konsep “1Visit1Hadith” yang menekankan tentang adab dan nilai-nilai Islam berdasarkan hadis setiap kali tuisyen diadakan.
Semoga usaha mahasiswa Malaysia di Jordan melaksanakan tuisyen percuma ini, akan terbina sosok-sosok yang bersahsiah unggul dan berpendidikan dalam kalangan pelarian Syria untuk masa hadapan yang cerah dan memberi sinar buat mereka, insyaa-Allah.
Sementara itu, i4SYRIA Jordan turut menjalankan projek ternakan kambing untuk membantu keluarga pelarian Syria meningkatkan ekonomi mereka.
Sumber: FB i4SYRIA Jordan