Program anjuran IKRAMTeens Pusat dan IKRAMTeens Wilayah Persekutuan yang bertempat di Kompleks IKRAM Pusat ini disertai kira-kira 194 orang pelajar Tingkatan 4 dari seluruh Malaysia di mana ia merupakan program ketiga Program Dua Tahun Pelajar Cemerlang(PRODUCE) untuk generasi yang ke-10.
Dirasmikan oleh Pengarah XPERT 2015, Saudara Mohd Hafiz Abd Hamid, peserta melalui sesi Ice Breaking untuk berkenalan sesama mereka yang datang dari berlainan negeri dalam permulaan hari pertama program.
Selepas itu, mereka diberi tugasan iaitu Kais Petang Makan Petang di mana mereka perlu menjana pendapatan sendiri dengan menjual barang yang dibawa daripada negeri masing-masing, atau memberi servis perkhidmatan seperti mengemas kedai atau membasuh kereta. Semua hasil keuntungan akan diberikan kepada wakil MyCARE sebagai sumbangan buat mereka yang lebih memerlukan.
Sesi Kais Petang Makan Petang dan sumbangan untuk MyCARE
Pada hari kedua pula, para peserta diberi peluang menjelajah sekitar bandaraya Kuala Lumpur dalam sesi Explorace. Mereka diberi bekalan wang secukupnya, berserta arahan dan tugasan yang perlu diselesaikan sepanjang Explorace.
Menariknya, tugasan-tugasan ini tidak akan berjaya disiapkan tanpa mereka bertanya dan berinteraksi dengan masyarakat sekeliling. Mereka juga perlu berdikari dan membuat keputusan agar laluan yang mereka ambil sesuai dengan masa yang diperuntukkan dan jumlah wang yang diberi.
Sesi Explorace dan tayangan video
Sepanjang program, bermula dari hari para peserta bertolak dari negeri masing-masing, mereka sepatutnya mengumpul sebanyak mungkin gambar-gambar dan video-video yang menunjukkan suasana dan proses berserta apa yang mereka peroleh, dari segi pengajaran dan pengalaman sepanjang penglibatan mereka dalam program XPERT ini.
Pada hari terakhir program, bahan-bahan tersebut perlu dikumpulkan dan dipersembahkan dalam bentuk video. Kelainannya kali ini adalah mereka diwajibkan menggunakan lagu tema program iaitu Gelombang Keadilan oleh Shoutul Harakah.
XPERT 2015 melabuhkan tirainya sejurus sebelum waktu solat Jumaat. Semoga para peserta program memperoleh pengalaman yang bermakna dan berguna buat diri mereka pada masa hadapan, insyaa-Allah.