Seramai 25 orang remaja telah terpilih untuk menyertai program ini. Bilangan yang kecil ini sudah cukup untuk memberikan impak yang maksimum dalam semua slot. Antara slot yang telah diadakan ialah “Talk show – Sukses Akademik Sukses Profil tokoh Ilmuwan Islam” oleh Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, “Science 4 Youth oleh PERINTIS “ dan tayangan filem “Sang Pemimpi”. Kesemua slot ini merupakan suatu kesinambungan yang baik dalam mencapai objektif XCELL 2012.
Pada hari terakhir program, para peserta telah dibawa melawat ke Cyberjaya University College Medical & Science (CUCMS) di Cyberjaya. Lawatan tersebut adalah sebagai pendedahan awal berkenaan kehidupan kampus serba moden yang terletak di Cyberjaya. Setelah para peserta diberi taklimat berkenaan CUCMS, mereka dibawa melawat ke fakulti serta kemudahan yang ada, dan paling menarik dibawa ke bilik mayat.
Program yang telah diadakan di Ibu Pejabat IKRAM Pusat ini telah berjaya menarik minat para peserta untuk terus teguh berada di jalan dakwah di samping menggapai kejayaan dalam bidang akademik. Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada abang dan kakak fasi dari alumni MHi 2012 yang telah membantu menjayakan XCELL 2012.