Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Krisis kemanusiaan di Gaza dan penderitaan rakyat Palestin semenjak 1948 adalah krisis terbesar yang dihadapi oleh masyarakat dunia pada abad ini. Perjuangan ini didokong oleh seluruh masyarakat dunia tidak kira agama, bangsa dan warna kulit.
Sejarah perjuangan pembebasan Palestin bermula semenjak era pemerintahan Umar al-Khattab RA yang telah membebaskan Palestin pada 636 Masihi. Perjuangan ini diteruskan sehingga hari ini kerana bumi Palestin merupakan tanah wakaf umat Islam dan bumi para nabi dan rasul.
Misi Women’s Boat to Gaza (WBG) yang akan memulakan pelayaran pada 14 September dari Barcelona menuju ke Gaza akan disertai oleh dua srikandi dari Malaysia bersama dengan lebih daripada 20 wanita ternama dari pelbagai negara dan agama. Mereka dijangka akan mendarat di pantai Gaza pada 1 Oktober 2016 nanti. Antara objektif perlayaran ini adalah untuk memperingatkan kepada dunia bahawa hak-hak rakyat Palestin haruslah dikembalikan.
Dr Fauziah Mohd Hasan (Ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE) dan Puan Norsham Abu Bakar (Ahli Teras IKRAM dan Setiausaha Lembaga Pemegang Amanah MyCARE) telah menginfakkan sebahagian besar daripada kehidupan mereka untuk membantu insan-insan yang memerlukan semenjak beberapa tahun dulu dan pernah menyertai pelbagai misi kemanusiaan seperti Kosovo, Maluku, Afghanistan, Acheh, Pakistan dan Gaza.
Dalam tradisi jihad di lautan, seorang wanita yang bergelar Ummu Haram binti Milhan RA pernah didoakan Rasulullah SAW untuk turut serta menaiki sebuah kapal dan beliau syahid di Pulau Cyprus pada zaman Muawiyah bin Abi Sufyan RA.
“Telah diperlihatkan kepadaku sekelompok pasukan daripada umatku yang sedang berperang di jalan Allah. Mereka semua sedang mengharungi lautan, pulang bagaikan raja-raja membawa para tawanan. Mereka akan menguasai lautan, pulau-pulau dan kota-kota pelabuhan, dan mereka antara golongan yang pertama dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab, tanpa penyeksaan atau penghinaan. Demikianlah berita gembira datang kepadaku di sisi Allah SWT.” Ketika Ummu Haram meminta baginda mendoakannya agar termasuk dalam kumpulan itu, maka Rasulullah SAW berkata, “Engkau akan menjadi golongan yang pertama.”
Akhirnya apa yang dicita-citakan oleh Ummu Haram RA untuk memperoleh syahid telah berlaku. Beliau adalah seorang wanita yang pertama ikut berperang di lautan. Ini membuktikan kaum wanita juga ada peranan dalam jihad kemanusiaan ini.
IKRAM dengan ini menyokong penuh penglibatan Dr Fauziah Mohd Hasan dan Puan Norsham Abu Bakar dalam misi Women’s Boat to Gaza (WBG) dan menyeru agar seluruh rakyat Malaysia terutamanya ahli-ahli IKRAM mendoakan agar misi ini mencapai kejayaan.
Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden IKRAM