SHAH ALAM – Ir Hj Wan Ahmad Nizar menerima Anugerah Bapa Teladan sempena Majlis Sambutan Hari Bapa 2023 pada Sabtu di Setia City Convention Centre di sini.
Selain itu, CIMB Bank terpilih untuk memenangi Anugerah Badan Korporat Teladan untuk Bapa.
Kedua-dua anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Tuan Hj Abdul Shukur Abdullah, yang turut menyempurnakan ucaptama majlis.
Hj Wan Ahmad Nizar merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Iktisas Ingenieurs Sdn. Bhd. Dalam kesibukan melaksanakan tugasan kerja, beliau turut bergiat aktif sebagai aktivis masyarakat, menjadi suami serta bapa yang penyayang kepada lapan orang anak.
Beliau yang juga ahli IKRAM Ampang Jaya digambarkan sebagai anak dan ahli keluarga yang sentiasa prihatin, menjaga kesihatan, bertanggungjawab dan mementingkan silaturahim.
Beliau memiliki dua anak yang merupakan hafiz dan hafizah. Enam anaknya merupakan graduan universiti dari dalam dan luar negara dalam pelbagai bidang, seorang menuntut di institut pengajian tinggi dan seorang lagi bakal melanjutkan pelajaran ke IPT.
Anak-anak beliau turut menyerlah dalam bidang pengajian serta pekerjaan masing-masing apabila merangkul pelbagai anugerah dan turut sama-sama aktif dalam pertubuhan bukan kerajaaan (NGO). Sepertimana kata pepatah, ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi.
Sambutan Hari Bapa 2023 anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia bersama Better Dads Malaysia dilihat sebagai satu inisiatif yang memberikan pengiktirafan kepada kaum bapa yang memainkan peranan penting dalam kesejahteraan dan perkembangan anak-anak.
Keluarga yang harmoni merupakan tunjang pembentukan masyarakat yang penyayang dan bahagia.
Majlis ini turut disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Semoga penganjuran program sebegini dapat mengangkat peranan bapa dan membangkitkan kesedaran dalam masyarakat tentang pentingnya peranan bapa dalam pembangunan anak, keluarga seterusnya masyarakat dan negara.