Usul 20 dalam psikologi Islamik-saintifik

Usul (jamak kepada asal) adalah perkataan bahasa Arab bermaksud prinsip-prinsip atau asas-asas. 

 

Dua puluh prinsip yang dibentangkan di bawah adalah panduan asas kepada pengkaji psikologi, pensyarah psikologi, pengamal psikologi, graduan psikologi, pelajar psikologi atau orang awam yang ingin berbicara tentang psikologi dari perspektif psikologi Islamik-saintifik.

 

Psikologi Islamik-saintifik ialah ilmu psikologi yang harmoni antara wahyu dan akal, antara syariatullah dan sunnatullah, atau antara ayat maqru’ah (petanda kebesaran Allah dalam al-Quran) dan ayat manzurah (petanda kebesaran Allah dalam diri manusia dan alam).

 

Tulisan ini adalah inspirasi daripada tulisan Imam Hasan al-Banna (pengarang idea Usul 20) dari segi struktur ayat dan lenggok bahasa.


USUL 1:

Psikologi Islamik-saintifik adalah psikologi yang menyentuh seluruh segi kehidupan. Ia adalah psikologi biologi dan psikologi kognitif, psikologi personaliti dan psikologi abnormal, psikologi perkembangan dan psikologi sosial, psikologi jantina dan psikologi budaya, psikologi klinikal dan psikologi kaunseling, psikologi ekonomi dan psikologi pengguna, psikologi organisasi dan psikologi pendidikan, psikologi jenayah dan psikologi undang-undang, psikologi kesihatan dan psikologi sukan, psikologi muzik dan psikologi media, psikologi politik dan psikologi ketenteraan, psikologi kejuruteraan dan psikologi persekitaran, psikologi keluarga dan psikologi komuniti, psikologi positif dan psikologi agama, sebagaimana ia turut menyentuh psikologi akidah, psikologi syariah dan psikologi tasawuf.



USUL 2:

Al-Quran al-Karim dan Sunnah al-Rasul adalah sumber rujukan setiap ahli psikologi Islamik-saintifik untuk memahami jiwa manusia dan manifestasinya dalam bentuk tingkah laku, pemikiran dan emosi berdasarkan kaedah-kaedah ilmiah dalam Ulum Quran dan Ulum Hadith.

 

Fakta-fakta ilmiah dan data-data di dalam makmal dan data-data di lapangan juga adalah sumber rujukan setiap ahli psikologi Islamik-saintifik untuk memahami jiwa manusia dan manifestasinya dalam bentuk tingkah laku, pemikiran dan emosi berdasarkan kaedah-kaedah empirikal dalam metodologi kuantitatif dan kualitatif.



USUL 3:

Iman yang tulus, ibadah yang benar dan mujahadah adalah asas yang penting bagi ahli psikologi Islamik-saintifik. Sedangkan ilham, kasyaf, ilmu laduni dan mimpi bukanlah bahagian daripada sumber untuk menginterpretasi psikologi manusia (tapi sekadar fenomena psikologi yang turut menjadi objek kajian psikologi Islamik-saintifik).

 

Begitu juga intuisi, testimoni, efek plasebo, efek eksperimenter, bias eksperimenter, bias peserta kajian, bias peserta program dan seumpamanya bukanlah bukti Islamik-saintifik untuk menyokong teori/idea mengenai psikologi manusia.



USUL 4:

Jampi, mantera, tangkal, tukang tilik, bomoh, dakwaan mengetahui perkara ghaib, dan sebagainya harus ditolak dalam psikologi Islamik-saintifik. Tapi zikir dan doa yang ma’thur adalah sebahagian daripada intervensi psikologi Islamik-saintifik. 

 

Falsafah, idea dan amalan pseudopsikologi yang tidak berasaskan bukti saintifik dan banyak dipengaruhi oleh gerakan ‘New Age’ harus ditolak dalam psikologi Islamik-saintifik. Tapi pendekatan psikologi positif dan psikologi spiritualiti adalah sebahagian daripada intervensi psikologi Islamik-saintifik.



USUL 5:

Pendapat pakar psikologi dalam bidang-bidang yang spesifik yang telah menganalisis dan menilai kajian-kajian empirikal terdahulu yang tiada ahli psikologi yang lebih pakar daripadanya tapi masih lagi bersifat teori, maka dianggap ia mempunyai kesahihan/validiti, boleh diamalkan selagi tidak bertentangan dengan kaedah-kaedah umum Islam dan kaedah-kaedah metodologi saintifik.

 

Validitinya mungkin berubah mengikut masa, tempat dan keadaan. Secara prinsipnya, psikologi asas/teras harus digunakan untuk mengoptimumkan peranan sebagai abid manakala psikologi gunaan/aplikasi harus digunakan untuk mengoptimumkan peranan sebagai khalifah.



USUL 6:

Setiap orang boleh diambil atau ditolak teori-teori psikologinya atau kata-kata motivasinya kecuali Rasulullah SAW yang maksum. Setiap yang datang daripada golongan salaf al-salih dan ahli-ahli psikologi Muslim kontemporari tentang psikologi manusia yang sesuai dengan al-Quran dan al-Sunnah, boleh diterima.

 

Jika tidak, al-Quran, al-Sunnah, fakta saintifik dan teori yang sah lebih utama untuk diikuti. Namun kita tidak boleh mencaci secara peribadi golongan salaf al-salih dan juga ahli-ahli psikologi Muslim kontemporari.



USUL 7:

Setiap pelajar dan ahli psikologi Islamik-saintifik yang belum mencapai kemampuan untuk menganalisis, mengevaluasi dan mensintesis teori-teori dan intervensi-intervensi psikologi Islamik-saintifik berdasarkan data-data empirikal, bolehlah mengikut pendapat/teori mana-mana pakar psikologi Islamik-saintifik.

 

Walau bagaimanapun, alangkah baiknya jika ia berusaha semampu mungkin untuk merujuk kepada artikel meta-analisis, artikel ulasan ilmiah, ataupun buku akademik yang bersifat khusus, dan artikel-artikel kajian empirikal.

 

Hendaklah ia berusaha menyempurnakan kekurangannya dalam metodologi Islam dan metodologi saintifik di peringkat pascasiswazah sehingga ia mencapai peringkat kepakaran khusus dalam bidang psikologi Islamik-saintifik.

USUL 8:

Khilaf dalam masalah psikologi yang interpretatif hendaklah tidak menjadi sebab pecah-belah, permusuhan dan kebencian dalam usaha memartabatkan psikologi Islamik-saintifik. Setiap pakar mempunyai fakta, bukti dan justifikasinya yang tersendiri.

 

Tapi tiada larangan untuk kita membuat kajian selanjutnya tentang isu psikologi yang menjadi khilaf itu dalam naungan profesional, saintifik dan Islamik dalam usaha mendekati kebenaran. Semua itu dibuat tanpa melahirkan sikap ego dan taasub.

USUL 9:

Mempromosi idea-idea psikologi yang tidak melahirkan implikasi terhadap pembinaan teori dan pembinaan intervensi yang Islamik-saintifik adalah idea yang terlarang.

 

Misalnya mempromosi falsafah-falsafah kajian psikologi sekular Barat, contohnya positivisme dan konstruksionisme sosial, idea-idea psikologi pop dan pseudopsikologi, atau memaksa menerima satu perspektif psikologi Barat seperti perspektif-perspektif psikodinamika, behaviourisme, humanisme, kognitif, biologi dan lain-lain, sebagai yang paling baik dan paling benar.

USUL 10:

Memperakui kewujudan roh dalam kejadian insan adalah salah satu perkara akidah dalam Islam. Sedangkan ayat-ayat dan hadis-hadis sahih tentang tabiat ruh, akal, nafsu dan hati telah melahirkan pelbagai interpretasi dalam kalangan ulama. 

 

Masing-masing golongan salaf al-salih mempunyai sokongan dalil dan teori yang tersendiri tapi pengetahuan sepenuhnya tentang tabiat roh diserahkan kepada Allah SWT.

 

Walau bagaimanapun, fokus ulama salaf al-salih dan ahli psikologi Islamik-saintifik kontemporari ialah terus-menerus melahirkan pelbagai teori dan intervensi Islamik-saintifik tentang tingkah laku, fikiran dan emosi manusia berdasarkan kesedaran tentang kewujudan roh dalam diri manusia.

USUL 11:

Semua amalan pseudopsikologi yang dilakukan atas nama psikologi atau psikologi Islam tapi tanpa sokongan dalil dan kajian saintifik, walaupun popular dalam kalangan orang ramai yang dipengaruhi kecenderungan (bias) dan ralat (error), sama ada dengan menambah atau mengurangkan teori spesifik yang telah kukuh dalam psikologi Islamik-saintifik, maka semua itu adalah termasuk dalam perkara-perkara mitos psikologi (dan ada yg juga bersifat khurafat agama) yang perlu dicegah dan diperbetulkan.

USUL 12:

Perspektif Islam yg bersifat umum yang dilakukan dengan menambah terhadap, atau mengurangkan daripada, atau beriltizam bersama teori-teori psikologi saintifik tertentu yang bersifat umum adalah termasuk dalam perkara-perkara yang diperdebatkan secara ilmiah dalam psikologi Islamik-saintifik. Setiap pengkaji mempunyai teorinya sendiri dan tidak mengapa mencari hakikat berdasarkan dalil dan kajian saintifik.

USUL 13:

Merujuk kepada kepada mereka yang benar-benar pakar dalam bidang psikologi saintifik lebih-lebih lagi psikologi Islamik-saintifik adalah sebahagian daripada usaha memahami dan mendekati kebenaran tentang psikologi manusia.

 

Nama pakar-pakar psikologi ini biasanya disebut dalam jurnal-jurnal akademik/ilmiah, bukannya di dalam buku-buku popular atau kursus-kursus bersifat komersil. Teori dan interpretasi pakar-pakar ini boleh dipercayai berdasarkan dalil dan kajian saintifik.

USUL 14:

Menghadiri kursus jangka pendek untuk belajar mengenai psikologi adalah salah satu cara yang digalakkan untuk pembelajaran/pembangunan profesional berterusan.

 

Tapi kandungannya mestilah berasaskan dalil-dalil yang sahih dan kajian-kajian saintifik yang sahih juga, dan diajar oleh mereka yang pakar dan terlatih secara akademik dan dikawal dengan etika profesionalisme.

 

Tetapi taasub dengan penceramah-penceramah tertentu, modul-modul tertentu, ujian-ujian personaliti tertentu terutamanya apabila ia melibatkan psikologi pop dan pseudopsikologi, maka ia adalah perbuatan yang boleh membawa kepada budaya kultus dan merencatkan pemikiran ilmiah serta menghalang daripada pencapaian keefektifan psikologi sebenar atau kemudaratan di peringkat makro, jangka panjang dan multi-peringkat.

USUL 15:

Intervensi psikologi yang dilakukan berdasarkan data empirikal terlebih dahulu sebelum pembinaan teori seperti pendekatan induktif mahupun pendekatan kualitatif adalah termasuk masalah metodologi yang bersifat teknikal dan tidak termasuk dalam masalah akidah atau falsafah.

 

Yang menjadi masalah ialah apabila intervensi psikologi itu hanya berasaskan testimoni, bukannya data-data empirikal, apatah lagi tidak bersandarkan kepada teori-teori yang sahih.

USUL 16:

Budaya psikologi pop, ‘fads and fashions’, gerakan self-esteem, ‘new-age movement’ dan kursus-kursus motivasi bukan anjuran pakar tidak mengubah makna-makna kepada istilah-istilah psikologi yang sebenar.

 

Perlu dipertahankan definisi konseptual dan definisi-definisi operasional sebenar kepada istilah-istilah psikologi yang sering disalahfahami atau disalah guna.

 

Perlu diawasi istilah-istilah psikologi seperti neuro-saraf, otak, personaliti, aura, bawah-sedar, self-esteem, neurotransmitter, hormon, terapi dan lain-lain, yang digunakan secara tidak benar dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan psikologi.

 

Begitu juga istilah-istilah roh, akal, hati dan nafsu yang diubah-ubah untuk disesuaikan dengan idea-idea psikologi pop dan pseudopsikologi.

 

Yang diambil ialah konsepnya, bukan istilahnya.

USUL 17:

Teori adalah asas kepada praktis sepertimana ilmu adalah asas kepada amal. Praktis Islamik adalah lebih penting daripada praktis saintifik semata-mata. Mencari integrasi antara kedua-duanya, contohnya pendekatan Islamik-saintifik adalah suatu tuntutan perjuangan untuk memahami psikologi manusia sekalipun taraf tuntutannya tidak sama.

USUL 18:

Psikologi Islamik-saintifik membebaskan akal, mendorong supaya kita membuat kajian yang saintifik berkaitan tingkah laku, fikiran dan emosi berasaskan falsafah Islam yang umum dalam al-Quran dan Sunnah.

USUL 19:

Al-Quran adalah kitab hidayah dan bukan sebuah kitab psikologi. Ada perkara yang tidak disebut dalam syarak mungkin ada disebut dalam ilmu psikologi saintifik. Hakikatnya, pandangan syara’ yang qat’i dan fakta psikologi tidak bercanggah antara satu sama lain.

 

Dalil yang zanni dan teori-teori psikologi yang masih bersifat spekulatif perlu diinterpretasikan agar bersesuaian dengan apa yg qat’i dan fakta.

 

Sekiranya pandangan syarak dan psikologi saintifik masih berada di peringkat zanni/spekulatif, maka pandangan syarak yang lebih utama didahulukan terutamanya jika ia berkaitan dengan akidah, hukum-hakam dan akhlak.

USUL 20:

Kita tidak mengkafirkan seorang Muslim yang telah mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan tuntutan-tuntutannya dan menunaikan kawajipan-kewajipannya dengan hanya berdasarkan kepada pendapat atau maksiat yang dilakukannya walaupun mereka mempercayai teori-teori psikologi yang bersifat sekular ataupun idea-idea palsu pseudopsikologi melainkan jika beliau:

 

1. Mengakui kalimah kufur yg diucapkan oleh ahli psikologi saintifik sekular atau oleh penyebar idea-idea pseudopsikologi.

2. Mengingkari perkara agama yang diketahui secara daruri semata-mata untuk menjunjung psikologi saintifik-sekular atau pseudopsikologi.

3. Mendustakan ayat al-Quran yang jelas pengertiannya tentang psikologi.

4. Mentafsirkan al-Quran dengan pentafsiran yang tidak diterima oleh semua uslub bahasa Arab dalam semua keadaan semata-mata untuk menyokong idea-idea psikologi saintifik-sekular dan juga idea-idea pseudopsikologi.

5. Mengaplikasikan psikologi saintifik-sekular atau pseudopsikologi dengan cara yang tidak boleh ditafsirkan dengan apa-apa tafsiran selain daripada kufur.

 

Dr Alizi Alias
Pengerusi
Psikospiritual IKRAM (P.S.I)
Profesional, Saintifik dan Islamik.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia