Selain Ustazah Maznah, dua lagi pakar rujuk adalah Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadot dan Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad. Pakar rujuk akan mengadakan perjumpaan dengan semua pembimbing dari semasa ke semasa untuk mendapat maklum balas, memberi penerangan dan membuat penyelarasan berhubung soal haji serta umrah.
Lapan pembimbing ditempatkan di Madinah dan bakinya di maktab-maktab jemaah haji di Makkah. Para pembimbing ini adalah daripada kalangan penceramah khusus ibadat haji yang dipilih selepas menjalani sesi temuduga, dan jemaah haji dinasihati mengambil kesempatan daripada penyediaan pembimbing ini untuk bertanya mengenai sebarang kemusykilan.
Jemaah haji akan mengikuti enam ceramah serta dua taklimat semasa di Makkah dan dua ceramah serta satu taklimat semasa mereka berada di kota Madinah. Siri ceramah serta taklimat ini adalah kelangsungan kepada kursus-kursus yang dijalani jemaah haji, di samping bertujuan mengulang kaji apa yang sudah dipelajari mereka.
Di samping menjadi pakar rujuk, Ustazah Maznah yang juga Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji bagi Tabung Haji turut sama akan menunaikan haji di Tanah Suci bersama suami, Md Jalil Bongkik dan telah bertolak ke sana pada 12 Oktober yang lalu.
Diharapkan semua jemaah haji umumnya dan ahli IKRAM khususnya, akan mendapat pahala haji yang mabrur dan meneruskan momentum tarbiah haji untuk kesinambungan dakwah di bumi Malaysia, insya-Allah.