Kem yang mensasarkan hanya 80 orang peserta berumur 9-12 tahun akhirnya menerima 97 orang peserta di atas permintaan di saat-saat akhir.
Kini berlabuh sudah tirai Ulul Albab Junior Camp pada 19-30 November yang lalu anjuran oleh Wanita IKRAM Kajang. Penganjuran kali ini agak berbeza kerana ianya pertama kali dilakukan bagi tempoh yang agak panjang, iaitu selama 12 hari dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang setiap hari.
Tema yang dipilih adalah berkisar Ulul Albab sepertimana yang telah dirakamkan dalam Al-Quran melalui 16 potong ayat dan olahan beberapa topik daripada Kitab Tauhid karangan Syeikh Abdul Majid Aziz Az-Zindani. Tiga modul utama yang telah di jalankan adalah:
1) Ulul Albab Junior Basics: Hafazan 16 ayat Ulul Albab, Tahseenul Ibadah, Eeman Attack, Games and Interactive talk with multimedia.
2) Ulul Albab Junior Talent Attack – Master Chef, Stage Performer, Awesome Cartoonist, Fashion Designer, Professional Architect, Multimedia and IT Project, Public Speaking.
3) Ulul Albab Junior Adventure – Explorace di Taman Botani dan lawatan ke Pusat Sains Negara.
Slot khas program silang budaya “Cross Culture Program” juga dimasukkan, agar anak-anak dapat merasakan bahwa pelbagai bangsa dan budaya adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Ianya dikendalikan oleh Sis Noralina Ong daripada MACMA Selangor.
Penerapan sikap ambil tahu terhadap budaya bangsa-bangsa lain di Malaysia ini dilihat sebagai pendedahan positif bagi menyediakan anak-anak untuk berhadapan dengan masyarakat kelak.
Peserta juga diberi pendedahan mengenai isu Palestin sewaktu slot Eeman Attack (nikmat kediaman dan kedamaian) dan berkesempatan menghasilan kad-kad ucapan buat anak-anak Palestin. Kad-kad tersebut telah pun diserahkan kepada Aqsa Syarif untuk dibawa bersama sewaktu misi ke Gaza baru-baru ini.
Bagi melatih sifat berani, spontan, dan mahir berpidato, Pn Hjh Halimah telah memberi tips berkesan pada hari pertama kem. Ini diikuti dengan latihan pembentangan pidato umum setiap sesi petang.
Bila peserta ditanya slot mana yang sangat ‘osem’ kebanyakkan mereka sangat teruja dengan slot ‘Talent Attack’. Subhanallah.. Mereka sangat berbakat! Dari Master Chef, ke Fashion Designer, atau Awesome Cartoonist begitu juga Professional Architect dan Stage Performer.
Peserta juga di beri peluang membuat projek IT & Multimedia. Video dari kumpulan the Caliph dan Geng Muslimah merupakan dua pemenang utama.
[Geng Muslimah Movie] [The Caliph Movie]
Pada hari akhir, kem ditutup dengan bacaan resolusi oleh para peserta.
[Video Resolusi Ulul Albab Junior Camp]
Resolusi Ulul Albab Junior Camp 30 Nov 2012
Alhamdulillah, kami anak-anak Ulul Albab berazam insya-Allah kami akan sentiasa :
- Beriman kepada Allah dan Rasul, menghormati ibu bapa dan guru
- Akan berusaha meningkatkan kualiti wudhu’ dan solat
- Akan berusaha menggunakan bakat yang ada untuk Islam
- Akan berusaha untuk membaca, menghafal dan menghayati al-Quran
- Saling mengenali pelbagai budaya kerana Allah
- Mentadabbur alam serta mengingati Allah sentiasa dan mengamalkan prinsip-prinsip Ulul Albab
Insya-Allah, semoga Allah beri kami kekuatan.
Tahniah kepada Wanita IKRAM Kajang dan Sekolah Rendah Sri Al-Amin Bangi serta para fasilitator atas penganjuran bermanfaat untuk generasi IKRAM Junior. Semoga pengisian cuti sekolah bermanfaat selama 12 hari untuk mereka membuahkan pelbagai ilmu, kemahiran, pengalaman dan kenangan indah yang tidak dapat dilupakan, insya-Allah.
Sumber dan foto: http://ikramjuniorkajang.weebly.com