Ulama wanita dalam sejarah Islam

Para ulama telah banyak merekodkan biografi ulama wanita dalam pelbagai bidang dalam kitab-kitab mereka. Ibn Hajar al-Asqalani telah mengkhususkan bab terakhir kitabnya al-Isobah fi Tamyiz al-Sahabah dengan nama Kitab al-Nisaa’ yang menyenaraikan tokoh-tokoh wanita sepanjang sejarah Islam.

 

Selain itu, dalam kitab-kitab sejarah atau hadis, pasti akan ada lafaz-lafaz seumpama akhbaratna fulanah (seorang wanita telah mengkhabarkan kepadaku) atau sami’na min fulanah (aku telah mendengar daripada seorang wanita) ketika pengarang menukilkan riwayat. Hal ini membuktikan riwayat-riwayat perawi wanita diiktiraf keabsahannya oleh para ulama. 

 

Menurut Imam al-Syaukani, tiada seorang ulama pun yang pernah menolak hadis atau riwayat daripada perawi wanita disebabkan jantinanya itu.

 

Bahkan menurut Imam al-Zahabi, beliau tidak mengetahui adanya walau seorang perawi wanita yang dituduh sebagai pemalsu hadis (muttaham) atau yang ditolak kerana tidak diyakini kebolehpercayaannya (matruk).

 

Hal ini menunjukkan bahawa wanita juga mampu menggapai kedudukan yang tinggi dalam apa jua bidang yang diceburi, sekiranya diberi peluang dan ruang yang saksama. Namun mengapa seakan-akan nama-nama para ulama wanita ini kurang dikenali berbanding para ulama lelaki?

 

Syeikh Mohammad Akram Nadwi – seorang sarjana kelahiran India yang kini bertugas sebagai Dekan di Cambridge Islamic College – telah menulis sebuah karya berjudul ‘Al-Muhaddithat: The Women Scholars in Islam’.

 

Karya tersebut sebenarnya merupakan mukadimah terhadap ensiklopedia setebal 40 jilid yang menghimpunkan penelitian beliau terhadap biografi 8,000 ulama wanita sepanjang sejarah Islam.

 

Hasil kajian beliau ini membuktikan betapa ramai ulama wanita yang diiktiraf sebagai pakar rujuk dalam bidang fatwa, tafsir dan hadis oleh masyarakat, namun sayangnya tidak banyak maklumat berkenaan mereka yang sampai kepada kita.

 

Menurut beliau, antara faktor kurangnya maklumat atau rekod berkenaan para ulama wanita adalah kerana kecenderungan pada waktu itu untuk merahsiakan pencapaian para wanita suri rumah daripada diketahui umum.

 

Al-Hafiz Ibnu al-Najjar contohnya mempunyai seramai 400 guru wanita, namun tidak diperincikan siapakah guru-gurunya itu?

 

Imam al-Qurasyi pula telah menulis sebuah kitab yang menghimpunkan biografi para ulama dalam mazhab Hanafi, dan dalam bab khusus tentang ulama wanita, beliau menyatakan amat sedikit maklumat yang diperolehi berkenaan biografi para ulama wanita kerana secara umumnya hal ehwal wanita bersifat tertutup dan tidak begitu disebarkan. 

 

Berikut disertakan biografi ringkas sebahagian ulama wanita silam dan kontemporari yang wajar dijadikan contoh tauladan kepada kita semua.

 

Saidatina Aisyah RA

 

Keilmuan Aisyah merupakan satu hal yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa. Beliau merupakan salah seorang isteri Rasulullah SAW yang faqih, alim, cerdik dan antara sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW iaitu sebanyak 1,210 hadis.

 

Ramai sahabat besar Baginda SAW telah bertanyakan perihal hukum-hakam faraid kepada Aisyah RA. Menurut Ata’ bin Abi Rabah pula, Aisyah merupakan manusia yang paling faqih, alim dan paling baik pandangannya. Ada juga yang memuji bahawa setiap kali Aisyah ditanya tentang soal ilmu, pasti beliau ada jawapannya. 

 

Menurut Imam al-Zahabi, lebih daripada 160 ulama lelaki dalam kalangan tabiin telah berguru dan meriwayatkan hadis daripada Aisyah, antaranya Tawus, al-Sya’bi dan Ikrimah. 

 

Rabi’ah al-Adawiyah 

 

Terkenal sebagai seorang yang zuhud, kuat dan sangat khusyuk beribadat, wajahnya bercahaya dan sering menangis tatkala mendengar kalamullah. Imam al-Ghazali banyak menukilkan kata-kata Rabi’ah dalam kitab beliau Ihyaa’ Ulum al-Din dalam bab kezuhudan, ketauhidan dan taubat. 

 

Beliau juga terkenal dengan mutiara hikmah dan pesanan-pesanan yang menyucikan hati dan jiwa. Antara ulama terkenal yang belajar daripada beliau ialah Sufyan al-Thauri dan Syu’bah.

 

Rabi’ah pernah berpesan kepada Sufyan al-Thauri, “Tidaklah engkau ini melainkan hari-hari yang kau lalui; apabila satu hari berlalu, berlalulah sebahagian daripada diri dan hidupmu!”

 

Sayyidah Nafisah

 

Sayyidah Nafisah merupakan cicit kepada Saidina Hassan RA yang lahir pada tahun 145H di Mekah, kemudian berpindah ke Madinah bersama kedua-dua ibu bapanya. Beliau berkahwin dengan Ishaq bin Ja’far al-Sadiq, yang merupakan keturunan Ahlu al-Bait daripada jalur Saidina Husain RA.

 

Di Madinah, beliau telah menghafaz al-Quran ketika berumur lapan tahun, dan belajar daripada para ulama di Masjid Nabawi hingga menjadi seorang yang faqih. Beliau banyak mendengar hadis, alim dalam bidang tafsir al-Quran dan ramai ulama yang berguru dan meriwayatkan hadith daripada beliau.

 

Diriwayatkan bahawa Imam Syafii juga pernah meriwayatkan hadis daripada beliau sewaktu kedua-duanya berada di Mesir. Betapa rapatnya beliau dengan Imam Syafii, setelah Imam Syafii meninggal dunia, jenazah beliau telah dibawa ke rumah Nafisah untuk disolatkan, selaras dengan wasiat Imam Syafii sendiri. 

 

Bintu al-Muhamili

 

Beliau mempelajari fiqh mazhab Syafii hingga menjadi seorang yang amat faqih dan mampu berfatwa, serta meriwayatkan hadis daripada bapanya sendiri yang merupakan qadhi, alim dan muhaddis ulung pada zaman tersebut, Ismail al-Warraq dan Abd al-Ghafir al-Himsi. 

 

Banyak riwayat yang menyebut bahawa beliau merupakan antara manusia yang paling alim dalam bidang fiqh, dan ada riwayat menyebut beliau mampu dan layak memberi fatwa, seiring dengan Abu Ali bin Abi Hurairah yang merupakan Syeikh al-Syafi’iyyah ketika itu.

 

Antara murid yang meriwayatkan hadis daripada beliau ialah al-Hasan bin Muhammad al-Khallal. Beliau meninggal dunia pada tahun 377H. 

 

Bintu al-Syati’ 

 

Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah pengajian al-Quran di Universiti Qarawiyyin, Maghribi. Beliau telah mengarang sebuah karya berjudul al-Tafsir al-Bayani li al-Quran al-Karim sebanyak dua jilid, menghimpunkan tafsir-tafsir beliau terhadap beberapa surah pendek dan sederhana panjang, seperti Surah al-Dhuha, al-Balad dan al-Takathur.

 

Zaynab al-Ghazali

 

Beliau adalah seorang aktivis keagamaan dan kemasyarakatan yang terkenal di Mesir yang meninggal dunia pada Ogos 2005. Beliau telah mengarang sebuah kitab tafsir yang berjudul Nazarat fi Kitabillah

 

Dalam karya ini, beliau mensyarahkan ayat-ayat al-Quran dan menjelaskan kesamaran dengan laras bahasa yang mudah difahami, serta menghubungkan makna-makna al-Quran serta hukum-hakamnya dengan realiti kehidupan semasa, sebagai satu usaha untuk memperbaiki situasi keadaan masyarakat agar selaras dengan petunjuk al-Quran.

 

Syeikhah Fatimah binti Syeikh Abdul Wahab Bugis

 

Syeikhah Fatimah merupakan cucu perempuan pertama kepada Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, merangkap anak murid beliau.

 

Seorang pakar dalam ilmu bahasa Arab, tafsir, hadis, aqidah dan fiqh, beliau merupakan guru bagi kaum wanita yang ingin belajar ilmu agama pada zaman tersebut. Beliau meninggal dunia pada 1828 ketika berumur 53 tahun. 

 

Beliau dikenali sebagai penyusun bagi Kitab Perukunan, sebuah kitab yang membahaskan asas-asas Iman dan Islam yang masyhur di rantau nusantara, terutamanya dalam kalangan masyarakat Banjar.

 

Namun ada penyelidik yang menisbahkan kitab ini kepada bapa saudara beliau sendiri, iaitu Syeikh Jamaluddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

 

Kesimpulan

 

Tuntasnya, sejarah Islam sejak dahulu hingga sekarang sebenarnya tidak pernah sunyi daripada keberadaan para ulama wanita dalam pelbagai bidang.

 

Ini merupakan bukti bahawa agama Islam mengiktiraf dan mengangkat peranan serta sumbangan wanita dalam bidang keilmuan, dan juga bukti bahawa wanita ternyata mampu bersaing sama hebat dengan lelaki apabila diberi ruang dan kesempatan. Wallahu a’lam.

 

Muhammad Luqman Ahmad Tarmizi, Pegawai Hal Ehwal Islam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia