1. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) sangat prihatin berkaitan perkembangan mutakhir isu tulisan Jawi dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 mulai 2020 di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).
2. IKRAM berpandangan isu ini telah diperbesarkan oleh sebahagian pihak sehingga menimbulkan ketegangan tidak wajar di dalam negara. Jika kumpulan pendidikan vernakular berkeras, pihak lain pula akan bertindak balas dan suasana keamanan keharmonian negara boleh terjejas.
3. IKRAM berpandangan kebanyakan hujah penentangan tidak berpijak kepada fakta. Sehingga kini, belum ada hujah atau alasan rasional yang dikemukakan bagi mempersoalkan kewajaran pengenalan Jawi berkenaan. Kebanyakannya hanya berasaskan andaian, persepsi dan emosi.
4. Dari sudut perundangan, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 28 November 2019 telah membuat keputusan bahawa pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi oleh kerajaan juga tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
5. Dalam Dokumen Standard Kurikukum dan Pentaksiran (DSKP), mata pelajaran berkenaan adalah bersifat pengenalan kepada beberapa ungkapan dalam tulisan Jawi dalam tiga muka surat sahaja. Ia bertujuan untuk membolehkan murid mengenali ‘simbol-simbol jawi’ di persekitaran mereka, tidak lebih daripada itu.
6. IKRAM menghargai usaha kerajaan untuk meraikan cadangan dan pandangan aktivis pendidikan bukan Melayu sehingga melonggarkan pelaksanaannya dengan mengurangkan bilangan muka surat daripada enam (6) kepada tiga (3) muka surat buku teks.
7. IKRAM berharap aktivis pendidikan vernakular menghargai tolak ansur ini, menerima serta berusaha meredakan ketegangan di sekitar isu ini.
8. IKRAM juga menyeru semua pihak agar berusaha keras membina dan mempertahankan keamanan, keharmonian dan perpaduan antara penduduk Malaysia. Isu ini sangat kecil untuk menimbulkan perbalahan berbanding cabaran lain yang lebih besar dalam membina dan mendaulatkan negara.
Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia