“Siapa yang melihat kemungkaran maka rubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka rubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman.” (Riwayat Muslim daripada Abu Sa’id al-Khudri radiallahuanhu)
Mereka yang tidak melaksanakan tanggungjawab mencegah kemungkaran termasuk dalam golongan orang-orang yang dilaknat oleh Allah Azzawajalla. Allah Taala berfirman maksudnya:
“Orang-orang kafir Yahudi daripada Bani Israil telah dilaknat (dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) daripada perbuatan mungkar, yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” (al-Maaidah: 78-79)
Berdasarkan nas-nas di atas, jelas bahawa menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar merupakan kewajipan yang amat berat yang wajib dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
Pun begitu, ia tidak bermakna boleh dilakukan dengan sembarangan. Ia sama seperti kewajipan-kewajipan yang lain, ada syarat-syarat serta adab-adabnya yang mesti dipatuhi.
Syeikh Salman al-‘Audah berkata: “Sesungguhnya menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar adalah satu ibadah. Wajib ada padanya apa yang wajib ada pada ibadah-ibadah yang lain, iaitu amalan dilakukan dengan penuh ikhlas kerana Allah semata-mata dan mengikuti Rasulullah Sallallahualaihiwasallam.”
Imam Sufyan ats-Tsauri berkata: “Tidak wajar menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar kecuali orang yang memiliki tiga sifat: lembut dan santun dalam suruhan dan larangannya, adil ketika menyuruh dan melarang, mengetahui tentang apa yang disuruh dan dilarangnya.”
Sebahagian ulama menyimpulkan syarat amar makruf dan nahi mungkar kepada tiga:
- Mempunyai ilmu tentang apa yang disuruh dan dilarang
- Lembut, santun dan adil ketika melaksanakan suruhan dan larangan
- Sabar selepas melaksanakannya
Ketika ini, timbul satu kecenderungan yang menjadi ikut-ikutan dalam kalangan ramai orang, iaitu menularkan sesuatu yang dianggap sebagai perkara mungkar. Niatnya mungkin baik, iaitu memberi peringatan supaya menjauhi perkara tersebut.
Namun, ia dilakukan dengan cara yang salah iaitu tanpa usul periksa sama ada betul atau salah maklumat yang ditularkan itu. Contohnya, gambar yang disertakan. Tidak ada sedikit pun keterangan tentang makmal yang melakukan uji kaji, bila ujian dibuat dan siapa yang bertanggungjawab mengenainya?
Maka niat yang asalnya baik, mencegah mungkar bertukar menjadi sebaliknya, iaitu melakukan satu kemungkaran yang lebih besar, apa lagi sekiranya maklumat itu salah. Ia boleh mengundang padah, disaman oleh pihak yang berkenaan.
Penulis: Ustazah Maznah Daud (Ahli DPN IKRAM)
Layari penulisan beliau di http://zaadut-taqwa.blogspot.