Transformasi kerangka fikir merdeka tugas mencabar

Dalam konteks perbincangan berkenaan kemerdekaan dan kebebasan, ruang lingkup perbicaraan sering berlegar sekitar sejarah negara mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah.

 

Namun, apa lebih mendasar adalah proses membangun kerangka fikir merdeka dalam benak fikiran setiap individu. Kerangka fikir adalah asas penentu kepada pilihan sikap dan tingkah laku seseorang.

 

Dalam lipatan sejarah mengenai kemerdekaan sesebuah negara, pasti terdapat gagasan perjuangan rakyat tempatan yang dipelopori dan didukung sekelompok kecil (khususnya belia dan muda yang terpelajar) yang mula mempunyai kerangka fikir berbeza dan lebih terbuka.

 

Perjuangan mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah ini menjadi satu penanda aras membuktikan berlakunya satu anjakan daripada kerangka fikir terjajah, terbelenggu, tertutup, terkunci dan jumud kepada kerangka fikir merdeka yang dinamik, bercambah serta terbuka.

 

Tindakan biasa diambil penjajah terhadap pejuang kebebasan ini diterjemahkan dalam pelbagai bentuk tindakan kejam dan ganas yang membawa kepada hukuman penjara, pertumpahan darah dan kehilangan nyawa.

 

Kelompok pejuang ini dianggap mengancam monopoli penjajahan dengan cara mempengaruhi rakyat marhaen untuk bangun memberontak menentang penjajah yang selama ini memperhambakan mereka.

 

Tekanan semakin memuncak untuk mendapatkan kemerdekaan akhirnya memaksa penjajah meninggalkan tanah jajahan dan memberi laluan untuk anak tempatan mengambil alih – sama ada melalui jalan damai di meja rundingan atau pertumpahan darah.

 

Kerangka fikir merdeka yang mencetuskan kesedaran dan perjuangan patriotik itu mesti mampu untuk terus dipertingkatkan bagi memacu pembangunan pasca kemerdekaan.

 

Cabaran utama untuk melakukan transformasi kerangka fikir rakyat yang selama ini terbelenggu kepada kerangka fikir merdeka yang mampu membawa masyarakat dan negara ke tahap lebih tinggi.

 

Selepas beratus tahun dijajah, ditambah latar belakang budaya feudalisme yang selama ini mencorak interaksi dalam masyarakat Timur, tidak dapat dinafikan kerangka fikir terbelenggu dan terjajah adalah corak pemikiran dominan dan sudah berakar umbi.

 

Kerangka fikir terbelenggu ini disandarkan keyakinan bahawa kehidupan ini sudah tersurat sebagaimana catatan untung nasib, jodoh pertemuan, tahap kepintaran, bakat dan rezeki.

 

Peribahasa seperti ‘rezeki secupak takkan jadi segantang’; ‘kalau kail panjang sejengkal, janganlah laut hendak diduga’; ‘enggang sama enggang, pipit sama pipit’ atau ‘atap genting, atap rumbia’ – memberi gambaran jelas mengenai kerangka fikir yang jumud.

 

Ciri utama hasil kerangka fikir terbelenggu dan terkunci adalah kurangnya kesungguhan untuk berusaha memperbaiki keadaan hidup semasa, mudah putus asa dan kecewa, rendah rasa diri, kurang berkeyakinan, sentiasa meragui kebolehan dan bakat yang ada, tiada kekuatan untuk bersaing dan tidak berani keluar daripada zon selesa.

 

Kerangka fikir tertutup sangat dipengaruhi dan mudah terkesan dengan tanggapan orang lain terhadapnya. Kerangka fikir statik ini menjadi batu penghalang utama kepada kemajuan dan inovasi.

 

Perasaan mudah terancam dan sentiasa curiga dengan kelompok lain yang lebih maju dan berjaya akhirnya menyebabkan kelompok yang mempunyai kerangka fikir terkunci mengasingkan diri dan merasa lebih selesa serta selamat apabila berada dalam kelompok eksklusif mereka sahaja.

 

Jelas betapa perlunya untuk segera menganjak dan membangunkan kerangka fikir merdeka, bercambah dan dinamik bagi memacu kemajuan yang menguntungkan semua pihak.

 

Kerangka fikir merdeka dicetuskan keyakinan bahawa setiap manusia mempunyai potensi dan bakat untuk memajukan diri sendiri dengan syarat dia sanggup rajin berusaha gigih, tanpa jemu serta lelah.

 

Peribahasa yang jelas menunjukkan kerangka fikir dinamik – ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’; ‘usaha tangga kejayaan’; ‘berakit ke hulu berenang ke tepian, bersakit dahulu bersenang kemudian’; ‘kalau tak dipecah ruyung bagaimana hendak dapat sagunya’ atau ‘sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’.

 

Kerangka fikir merdeka menyebabkan seseorang itu mahu berdikari, tidak sanggup terus terbelenggu dikuasai dan diperhambakan orang lain. Kerangka fikir dinamik menimbulkan keyakinan diri dan kekuatan dalaman untuk belajar serta mencuba perkara baharu, sentiasa berdaya saing, berkeyakinan tinggi, mampu bingkas segera daripada kegagalan dan kekecewaan serta tidak mudah putus asa.

 

Dengan mempunyai kerangka fikir yang sentiasa bercambah, setiap halangan dan rintangan akan dianggap sebagai peluang serta kesempatan untuk berinovasi dan lebih kreatif dalam menyelesaikan masalah.

 

Kerangka fikir terbuka menganggap mereka lebih berjaya sebagai suri teladan, aspirasi dan motivasi untuk meraih kejayaan, bukannya mencetus rasa dengki serta permusuhan.

 

Cabaran terbesar adalah untuk melakukan refleksi dan muhasabah diri – bagi mendapatkan kesedaran untuk mengetahui sejauh mana keupayaan kita mengubah kerangka fikir yang masih tertutup serta terbelenggu kepada kerangka fikir yang bercambah, dinamik dan merdeka.

 

Kita tidak harus tertipu dengan tanggapan bahawa kita sudah menjadi seorang individu berfikiran merdeka, terbuka, bercambah dan dinamik disebabkan tingginya tahap pendidikan serta pangkat serta luasnya pengalaman dan pendedahan yang dilalui.

 

Kita juga tidak boleh menganggap orang lain yang lebih rendah dari sudut tahap pendidikan dan pengalaman berbanding kita, sebagai kelompok berfikiran jumud serta statik.

 

Tanggapan sebegitu membuktikan kita sendiri masih mempunyai kerangka fikir terbatas berkaitan aspek ini. Sebaliknya kita mesti sedar, bahawa corak pemikiran kita sentiasa berubah-ubah dan berulang alik antara kerangka fikir jumud dan yang bercambah serta dinamik, bergantung aspek kehidupan yang sedang kita berikan perhatian.

 

Kerangka fikir terbuka juga tidak boleh lepas bebas daripada hakikat keterbatasan akal fikiran manusia, yang memerlukan petunjuk dan hidayah dari langit, yang diturunkan Allah SWT.

 

Semoga Bulan Kemerdekaan ini, kita beroleh kekuatan untuk terus memerdekakan kerangka fikir yang masih terbelenggu, demi memanfaatkan potensi besar kita untuk menjalankan amanah Allah SWT selaku khalifah-Nya di muka bumi ini.

 

Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj adalah pensyarah di Jabatan Pendidikan Perubatan, Fakulti Perubatan UKM.

Sumber: Berita Harian

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia