Tradisi Umat Islam 7 Negara Menyambut Ramadan

Tradisi Umat Islam 7 Negara Menyambut Ramadan | IKRAM

Ramadan yang ditunggu-tunggu kini tiba. Penduduk Muslim di seluruh pelusuk dunia menyambut bulan mulia ini dengan pelbagai persediaan.

Pada bulan ini, orang Islam akan lebih memperbanyakkan amal ibadah dalam usaha menjadikan diri berubah ke arah yang lebih baik.

Ramadan terlalu istimewa untuk dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa berusaha sekuat tenaga demi mengharapkan ganjaran kemenangan daripada Ilahi.

Disebabkan ini, Ramadan telah menjadi bulan pesta ibadat. Hanya pada bulan suci ini, Allah telah janjikan ganjaran berganda-ganda berbanding bulan-bulan lain.

Masjid-masjid dibersihkan dan dipersiapkan untuk menerima tetamu yang lebih ramai daripada biasa untuk bertarawih, iftar, qiamullail dan juga iktikaf.

Malah, Ramadan juga adalah waktu menghidupkan budaya dan tradisi. Walaupun secara umumnya umat Islam di seluruh dunia menyambutnya dengan cara yang sama, akan tetapi tradisi Ramadan yang diamalkan berbeza mengikut amalan negara masing-masing. 

1. Tanglung warna-warni di Mesir

Orang Mesir menyambut Ramadan dengan menghiasi jalan-jalan dan rumah-rumah mereka dengan Fanoos, iaitu sejenis tanglung yang diperbuat daripada kaca berwarna-warni. Tanglung ini adalah lambang kesatuan dan kegembiraan sempena kedatangan bulan yang dinanti-nantikan sekian lama.

2. Gendang sahur di Turki

Seperti kebanyakan negara Timur Tengah, ada kumpulan pemain gendang yang akan meredah jalan-jalan di perkampungan dan kota Turki bagi mengejutkan umat Islam agar bangun bersahur. Mereka digelar sebagai davulcusu, yang akan memakai pakaian tradisional Uthmaniyyah termasuk fez (topi) dan rompi semasa menyusur jalan-jalan sambil mengetuk gendang.

3. Nyanyian, gula-gula di UAE

Haq Al Laila adalah tradisi berabad-abad yang disambut oleh kanak-kanak UAE sebagai tanda permulaan Ramadan. Acara tahunan ini berlaku beberapa hari pada pertengahan Syaaban. 

Semasa perayaan ini, kanak-kanak pergi dari rumah ke rumah, menyanyi dan mengumpul gula-gula dan kadang-kadang dijamu jamuan daripada jiran-jiran sambal menyanyikan lagu  tradisional tempatan. 

Laungan Aatona Allah Yutikom, Bait Makkah Yudikum, yang diterjemahkan daripada bahasa Arab bermaksud, “Berikan kepada kami, semoga Allah akan memberi ganjaran kepada anda dan membantu anda mengunjungi Rumah Allah di Makkah.”

Acara itu bukan sahaja sebagai perayaan, tetapi juga sebagai peluang untuk mendidik orang ramai tentang Ramadan sambil mempromosikan nilai seperti berkongsi dan memberi.

4. Seruling sahur di Maghribi

Di keheningan malam, jalan-jalan di Maghribi dikejutkan oleh Nafar (pemain seruling) dan Tebbal (pemain gendang), iaitu tukang kejut sahur yang akan berjalan di sekitar bandar Maghribi sambil memainkan alat muzik mereka.

Mereka berpakaian jubah tradisional dengan memakai gandoro, selipar dan topi. Nafar dan Tebbal biasanya dipilih daripada masyarakat tempatan yang dikenali ramai sebagai watak yang disenangi.

5. Mandi sempena Ramadan di Indonesia

Padusan (bermaksud mandi) adalah acara tradisi khususnya masyarakat Jawa Tengah dan Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY). Tradisi turun temurun ini dilakukan dengan cara berendam atau mandi di sumber mata air. Kebiasaannya acara ini dilakukan sehari sebelum menjalani ibadah puasa Ramadan.

6. Meriam iftar di Syria

Tembakan meriam, yang dikenali sebagai midfa’ al-iftar, biasanya dilepaskan pada waktu matahari terbenam untuk menandakan berakhirnya puasa hari itu.

Midfa’ al-iftar yang bermaksud ‘meriam untuk berbuka puasa’ adalah tradisi kuno yang bermula di Mesir dan tersebar ke beberapa negara Arab sekitarnya termasuk Syria.

Setiap hari, beberapa minit sebelum azan Maghrib, meriam akan melepaskan satu das tembakan untuk memberitahu orang ramai tentang waktu berbuka puasa pada bulan Ramadan.

7. Sehariwla, Zohridar di India

Tukang kejut sahur di India dipanggil ‘Sehariwla’ atau ‘Zohridaar.’ Kebiasaannya mereka bergerak dengan basikal, memukul gendang dengan kayu sambil memanggil penduduk dengan kuat untuk bangun. Pada masa kini, ada di antara mereka menggunakan pembesar suara.

Seawal 2.00 pagi, mereka sudah menjelajah kawasan perumahan, mengetuk pintu dan dinding rumah sambil melantunkan selawat dan zikir. Penduduk akan menunjukkan penghargaan dengan pemberian seperti pakaian, barangan runcit dan wang.

Apa pun cara dan tradisi yang dilakukan umat Islam untuk menyambut Ramadan, misinya hanyalah satu, iaitu mencapai darjat takwa dalam keadaan suci daripada dosa-dosa dan memperolehi pahala yang tidak terhingga.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Sumber: Karam Foundation | Stars in Summetry

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia