Saranan DYMM Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim agar ahli-ahli Yang Berhormat menjaga tatatertib dan tutur kata semasa berbahas seharusnya dipandang serius oleh kesemua 222 ahli parlimen kita.
YDPA tidak menitahkan perkara tersebut tanpa sebab, sebaliknya baginda memang mengikuti rapat perjalanan persidangan parlimen di negara ini sejak dahulu lagi.
“Saya harap semua ahli Dewan akan menunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan yang mulia ni. Jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan, bukannya memaki hamun orang lain. Kalau tengok perangai ahli Dewan sebelum ini, saya pun berasa malu nak masuk ke Dewan ini,” titah baginda.
Benar, perlakuan sesetengah ahli parlimen yang kadang-kadang “mengalahkan budak-budak” semasa bertikam lidah di Dewan Rakyat amat menjengkelkan.
Agaknya para pengundi sendiri pun berasa malu apabila melihat wakil rakyat yang mereka pilih terpekik-pekik menyerang pihak lawan. Tambahan pula sesi perbahasan boleh diikuti secara langsung di TV dan di media sosial sekarang ini.
Lebih memalukan apabila kadang-kadang sidang parlimen turut dihadiri pelajar sekolah atau kumpulan-kumpulan kecil dari luar negara yang hadir sebagai pemerhati.
Menekankan lagi peringatan baginda tersebut, Sultan Ibrahim menambah:
“Saya berikan “green light” kepada Speaker untuk ambil tindakan kepada ahli-ahli yang melampaui batas. (Mereka) boleh dikenakan “ban” (halangan daripada memasuki sidang parlimen) 14 hari jika ada yang masih degil.”
Ramai yang “terhibur” dengan gaya YDPA yang baharu ini. Kalau YDPA sebelum ini, Al-Sultan Abdullah diingati kerana sikap baginda yang bersahaja dan mesra rakyat, YDPA ke-17 ini pun tidak kurang daya tarikannya.
Wajahnya lembut tapi bicaranya tegas. Titah ucapan baginda diselang-selikan dengan sindiran mencuit hati yang kadangkala bernada amaran.
“Ucapan saya hari ini lebih halus kalau dibandingkan dengan ucapan saya di Johor. Saya bagi peluang supaya tidak ada yang tersinggung, tapi (yang) akan datang harap-harap berjaga-jaga,” titah baginda sambil tersenyum penuh makna.
Kita berharap Dewan Rakyat era Yang di-Pertuan Agong yang baharu ini akan menyajikan suasana perbahasan isu negara dan antarabangsa yang lebih segar dan matang.
Sepanas mana pun perbahasan, usahlah terjerit-jerit dan terlalu emosional seperti sebelum ini. Suarakanlah kepentingan rakyat yang diwakili dengan penuh hikmah dan efektif.
Cukup-cukuplah berpolitik untuk menunjukkan diri sendiri atau kumpulan sendiri lebih baik daripada orang lain. Hakikatnya, siapa pun yang memerintah pasti terdapat kelompongan dan kepincangan di sana sini.
Kekurangan itu harus dibaiki bersama-sama oleh semua ahli parlimen, dibincangkan secara rasional, dipersetujui dan diambil tindakan. Kalau asyik menghentam, mengutuk dan memaki hamun, sampai bila pun masalah tidak selesai.
Kesimpulannya, hormatilah kerajaan sedia ada yang pembentukannya direstui oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri. Ketepikanlah perbezaan, sebaliknya bekerjasamalah demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat jelata.
Nanti kalau hendak “berperang” kembali, lakukanlah apabila gendang pilihan raya ke-16 sudah dipalu!
Kalam Editor