Tip Para Ibu Manfaatkan 10 Malam Akhir Ramadan 

Tip Para Ibu Manfaatkan 10 Malam Akhir Ramadan  | IKRAM

Menjelang 10 akhir Ramadan, pastinya semua orang berlumba-lumba mahu memperbanyakkan amal memandangkan padanya terdapat salah satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

Alangkah beruntungnya mereka yang berusaha mengejarnya dan akhirnya dipertemukan Allah dengan malam lailatulqadar seperti sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya bulan  ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, padanya terdapat malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam tersebut lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam tersebut, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara tersebut kecuali orang-orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah Taala.” (HR Ibnu Majah) 

Untuk meneruskan amal yang telah bermula ini, marilah kita sama-sama menetapkan niat untuk terus beribadah kerana Allah SWT dan memohon sebanyak-banyak doa daripada Allah SWT yang bertanggungjawab memegang hati-hati ini. 

Sudah pasti kita sebagai ibu-ibu tidak mahu melepaskan juga peluang yang Allah hadiahkan kepada semua umat Muhammad ini. Oleh yang demikian, perlulah dipersiapkan agar kita mempunyai arah tuju serta tidak tergelincir daripada matlamat yang ingin kita capai.

Sebaiknya kita menulis sasaran apakah amalan yang ingin kita lakukan pada akhir Ramadan ini. Sasaran ini boleh menjadi kayu ukur kepada kita sejauh mana pada akhirnya kita berjaya mencapai apa yang kita mahukan. 

 Dalam kita berusaha mengejar pesta ibadah dalam sepuluh malam terakhir, kita tidak boleh mengabaikan keperluan ahli keluarga kita yang lain. Oleh yang demikian, perbincangan bersama pasangan dan anak-anak amatlah digalakkan.

Jika boleh, bentangkan kepada ahli keluarga akan perancangan kita agar mereka dapat menyokong usaha kita sekali gus bersama-sama menyertai kita dalam mengejar peluang beroleh pahala berganda yang dijanjikan oleh Allah SWT ini. 

Antara yang boleh kita usahakan bagi mencapai matlamat bersama-sama dengan ahli keluarga, pengagihan kerja rumah boleh dilakukan sebaiknya agar setiap orang saling menampung satu sama lain agar kerja-kerja rutin tidak terabai walaupun dalam usaha kita untuk mengejar pahala pada malam-malam terakhir Ramadan.

 Inilah yang dikatakan oleh pepatah Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Siapa lagi yang dapat kita harapkan untuk menyokong dan membantu kita selain daripada ahli keluarga kita sendiri. 

Apabila kata sepakat sudah kita perolehi sesama ahli keluarga, maka lebih mudah untuk kita mengurus jadual seharian kita seperti yang telah dirancang.

Makanan ringkas, berkhasiat

Juadah berbuka dan sahur juga, tidak perlu pelbagai jenis, cukup sekadar juadah yang ringkas namun berkhasiat buat seisi keluarga. Ini juga salah satu tarbiah yang kita boleh terapkan ke dalam diri anak-anak kita agar sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada dan tidak membazir. 

Makanan yang seimbang sangat penting agar kita kekal sihat untuk meneruskan amal-amal kita. Minum air secukupnya untuk mengelakkan kita daripada terhidrasi pada siang hari serta ambil makanan tambahan yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jika diperlukan.   

Sudah tentu kita ingin menjadi insan yang sentiasa disukai oleh Allah SWT dengan berusaha sehabis baik memperbaiki setiap amalan kita dengan mengambil pengajaran daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda seperti berikut:

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun, kedua-duanya tetap memiliki kebaikan. Bersemangatlah atas hal-hal yang bermanfaat bagimu. Minta tolonglah kepada Allah, jangan engkau lemah. Jika engkau tertimpa suatu musibah, maka janganlah engkau katakan, ‘Seandainya aku lakukan demikian dan demikian.’ Akan tetapi hendaklah kau katakan, ‘Ini sudah jadi takdir Allah. Setiap apa yang telah Dia kehendaki pasti terjadi.’ Kerana perkataan ‘law’ (seandainya) dapat membuka pintu syaitan.”   (HR Muslim, No. 2664)

Pelihara solat

Ketika kita ghairah untuk meraih sebanyak pahala melalui ibadah sunat, ada baiknya kita memperelokkan juga amalan-amalan fardu kita. Tetapkan tekad untuk solat pada awal waktu secara berjemaah bersama pasangan, anak-anak mahupun di masjid.

Ini kerana solat di awal waktu merupakan sebaik-baik amalan yang sangat digalakkan oleh Nabi SAW seperti sabda baginda: 

“Amalan apakah yang paling utama? Baginda menjawab: Solat pada awal waktu.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, No. 155)

Dengan itu apabila kita bersolat awal waktu, secara tidak langsung kita telah mengikut amalan sunnah Rasulullah SAW yang merupakan suri tauladan umat.

Solat-solat sunat juga sewajarnya jika jaga sebaiknya dengan melazimi solat duha dan solat-solat rawatib. Semoga amalan ini tidak kita laksanakan sekadar pada bulan Ramadan, malah kita teruskan juga dalam bulan-bulan yang lain. 

Banyakkan berdoa

Sesungguhnya diri-diri kita ini bukanlah hak mutlak kita. Walau hebat bagaimana sekalipun perancangan yang telah kita aturkan, namun tanpa izin dari Allah SWT, maka ia tidak akan ke mana. 

Maka, lazimi untuk sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar disampaikan hajat kita untuk bertemu dengan malam lailatulqadar. 

Istiqamahkan diri juga untuk berdoa seusai solat dengan doa-doa yang ma’tsur (doa yang berasal daripada Nabi SAW). Senaraikan doa-doa daripada al-Quran agar mudah untuk kita membacanya. Amalkan juga berdoa pada waktu-waktu yang mustajab seperti berikut:

1. Waktu antara azan dan iqamat

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Doa di antara azan dan iqamat tidak tertolak.” (HR Tirmidzi. No. 212 dan Abu Daud, No. 521)

2. Semasa turun hujan

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Doa tidak tertolak pada dua waktu, iaitu ketika azan berkumandang dan ketika hujan turun.” (HR al-Hakim, No. 2534)

3. Dua waktu pada hari Jumaat

Rasulullah SAW pernah membicarakan tentang hari Jumaat dalam sebuah hadis sahih di mana baginda bersabda:

“Hari Jumaat ada 12 jam yang mana tiada seorang hamba Muslim berdoa padanya kecuali akan diberikan (dimakbulkan), maka carilah ia pada hujung waktu selepas asar.” (HR Abu Daud, No. 1048)

Selain itu, satu lagi waktu yang patut dianggap mustajab oleh para ulama adalah ketika imam duduk di mimbar sehingga solat Jumaat selesai.

Daripada Abu Burdah bin Abu Musa al-Asy’ari RA katanya bahawa Abdullah bin Umar RA berkata:

Adakah engkau pernah mendengar ayahmu menceritakan tentang Rasulullah SAW melakukan solat Jumaat? Lalu Abu Burdah menjawab, “Ya” aku pernah mendengar ia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Masa yang paling mustajab itu ialah ketika bermulanya duduk imam di atas mimbar sehinggalah selesai solat Jumaat.” (HR Muslim, No. 853)

4. Sepertiga akhir malam

Daripada Jabir bin Abdillah, Rasulullah SAW bersabda:

Pada malam hari terdapat suatu waktu yang tidaklah seorang Muslim memanjatkan doa pada Allah berkaitan dengan dunia dan akhiratnya bertepatan dengan waktu tersebut, melainkan Allah akan memberikan apa yang ia minta. Hal ini berlaku setiap malamnya.” (HR Muslim, No. 757)

5. Hari Arafah pada musim haji.

Sabda Rasulullah  SAW, “Doa yang terbaik adalah doa ketika hari Arafah.” (HR Tirmidzi, No. 3585)

6. Ketika waktu sahur dan berbuka puasa 

Sesuai dengan hadis yang dikemukakan tentang keajaiban waktu terakhir sepertiga malam, waktu sahur juga tergolong dalam waktu mustajab itu. Oleh itu, banyakkan berdoa dan berzikir sambil bersahur sehingga masuknya waktu solat fardu subuh.

Setelah penat seharian berpuasa, Allah mengurniakan satu lagi waktu mustajab untuk orang berpuasa memanjatkan doa kepada-Nya. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga doa yang tidak tertolak: Doa orang yang berpuasa ketika berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.” (HR Tirmidzi, No. 2526)

Tadabbur, zikir

Penuhi juga masa-masa terluang dengan membaca, mentadabbur serta belajar untuk memperbaiki mutu bacaan ayat-ayat al-Quran pada bulan ini kerana imbuhan yang dijanjikan oleh AllahSWT berlipat kali ganda.

Selain daripada itu, perbanyakkan berzikir, berselawat dan beristighfar dalam masa-masa senggang yang ada agar masa tidak dibazirkan dengan perkara yang sia-sia. 

Iktikaf

Antara ibadah yang disyariatkan oleh Rasulullah SAw pada bulan Ramadan adalah melakukan iktikaf terutamanya pada 10 hari terakhir Ramadan. Iktikaf bermakna berdiam atau tinggal di masjid dengan adab tertentu, pada masa tertentu dengan niat ibadat serta bagi mendekatkan diri kepada Allah SWTpada siang atau malam hari.

Ini juga adalah sebahagian daripada usaha untuk mencari lailatulqadar pada 10 malam terakhir. Antara dalil yang menganjurkan kita untuk beriktikaf adalah:

Adalah baginda SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan sehinggalah baginda wafat. Kemudian para isteri baginda turut beriktikaf selepas kewafatan baginda. (HR Muslim, No. 1172)

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama berazam untuk memperbaiki amalan kita dalam tempoh masa yang masih berbaki ini. Akan tiba masanya Ramadan bakal berlalu pergi dan pada berikutnya ia akan kembali.

Persoalannya di sini, adakah kita masih sempat untuk bertemu semula dengan Ramadan pada tahun-tahun berikutnya?

Semoga amalan kita pada bulan Ramadan kali ini mampu untuk meningkatkan keimanan kita dan menyucikan dosa-dosa kita yang telah lalu agar sambutan Aidilfitri pada tahun ini benar-benar sambutan kemenangan buat kita. 

Sumber:

1. https://wadah.amru.com/siri/general/hikmah-kelebihan-solat-awal-waktu/

2-3.  https://siraplimau.com/waktu-mustajab-doa/ 

4. https://www.hmetro.com.my/addin/2019/05/460485/beriktikaf-10-malam-terakhir

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia